Friday, October 3, 2008

Sekalung Tahniah Buat PM Erdogan & AKP

Aktiviti, Anwar and Demokrasi
Kunjugan persahabatan menemui Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Turki dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Abdullah Gul di Ankara. Saya terkesan dengan sikap tawaddu’ kedua-dua pemimpin besar Turki, menunggu ketibaan saya sehingga 9.45 malam untuk makan malam bersama dalam suasana kekeluargaan.
Saya juga merupakan di antara tetamu luar pertama yang menemui mereka selesai pilihanraya umum yang berjaya menabalkan mereka dan AKP dengan kemenangan besar dalam sejarah pilihanraya Turki. Bertuah saya kerana mendapat pandangan langsung mengenai pilihanraya, isu calon presiden dan komitmen kuat PM Erdogan meneruskan agenda reformasi.

Ini termasuk cadangan perlembagaan baru yang mempertahankan kebebasan dan hak rakyat, memperkukuh badan kehakiman dan kuasa parlimen. Perlantikan rektor universiti bukan lagi budi bicara presiden tetapi melalui lantikan tenaga akademik. Hak wanita lebih terpelihara dan kebebasan beragama terjamin. Ekonomi akan dipacu dengan lebih pantas dengan kaedah serta prosedur telus, membanteras rasuah dan mengumumkannya secara terbuka kepada media.
Dasar luar mereka cukup bebas, menjalin hubungan erat dengan negara jiran, meneruskan rundingan dengan eu, mengekalkan hubungan baik dengan Amerika. Namun sikap bebas mereka berlandaskan prinsip yang jelas, memartabatkan hak rakyat - maka PM meneruskan hubungan dengan Fatah dan Hamas. Semalam hasrat Mahmud Abbas berkunjung ke Turki ditangguh bagi meredakan keadaan. Langkah aktif membantu wilayah miskin atau dilanda malapetaka diteruskan samada di Darfur, Pakistan, Aceh atau Afrika.
Kenyataan PM Erdogan sejurus setelah menang besar menarik sekali - nada sederhana, merendah diri dan mengajak rakyat membina negara dan memperkukuh perlembagaan rakyat. Kontroversi calon presiden masih kedengaran dengan ketua angkatan tentera melafazkan pendirian bahawa presiden harus benar-benar menghayati semangat sekular. (Hal tersebut ada saya sentuh dalam rencana Washington Post dan temubual akhbar Zaman).
Abdullah menegaskan bahawa semangat perlembagaan dipertahan, hak beragama disanjung dan pemilihan ditentukan rakyat. Dunia membangun dan dunia Islam menantikan corak kepimpinan yang prihatin terhadap keluhan rakyat, tabah, bebas dan bertanggungjawab. Saya ucapkan tahniah bagi pihak ramai di Malaysia, Indonesia dan sahabat serantau dan mendoakan kejayaan mereka.
ANWAR IBRAHIM

0 Pandangan: