Saturday, January 23, 2010

Takziah Atas Kemangkatan Sultan Johor


JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, yang memerintah Johor hampir tiga dekad, mangkat pada jam 7.15 malam tadi selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri di sini kerana gering.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di Pejabat Kerajaan Negeri, Bukit Timbalan, kira-kira jam 11.30 malam tadi. Baginda yang meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 putera dan puteri, akan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, kira-kira jam 2 petang ini.

Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada jam 11.30 pagi Jumaat, 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981. Tiga tahun kemudian pada 15 November 1984, baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan. Jenazah Almarhum akan dibawa dari Istana Besar pada jam 1.30 tengah hari sebelum disembahyangkan di Makam Diraja, Bukit Mahmoodiah pada 2 petang.

Jika direnung kembali di dalam sebuah hadis ada menyebut:

سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله، إمام عادل
"Tujuh golongan yang dapat lindungan Allah s.w.t pada hari dimana tiada lindungan selain dari lindungannya: pemimpin yang adil........"

Marilah kita sama-sama sedekahkan surah al-Fatihah buat kemangkatan Sultan Johor, Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail. Semoga roh baginda dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t juga semoga baginda ditempatkan dalam tujuh golongan yang disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w. aamin..

~Al-Fatihah~
sumber:bharian online

0 Pandangan: