Friday, February 19, 2010

Tafsir Al-Quran.

Memahami Al-Quranul Karim.



سورة الكوثر

Surah Al-Kauthar
Surah Ni’mat Yang Banyak
Surah (108) - Makkiyah - 3 ayat

Dengan nama Allah Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.

1. Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad)
ni'mat yang melimpah-ruah.

2. Kerana itu dirikanlah solah dan berkorbanlah dengan ikhlas kerana
Tuhanmu.

3. Sesungguhnya orang yang benci kepada engkau dialah orang yang putus
keturunan.

Surah ini dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w. sama seperti Surah Ad-
Duha dan Surah al-Inshirah.

Dalam surah ini Allah hiburkan Rasul-Nya dan menjanjikannya dengan ni'mat kebaikan yang limpah dan mengancamkan musuhnya dengan mala-petaka keputusan keturunan dan mengarahkannya ke jalan bersyukur. Kerana itu surah ini merupakan satu gambaran dari kehidupan da'wah dan kehidupan penda'wah pada zaman permulaan Islam di Makkah, iaitu satu gambaran dari angkara dan gangguan-gangguan yang dihadapi Nabi s.a.w.
dan da'wah yang disampaikannya, juga satu gambaran dari pemeliharaan dan
naungan Allah terhadap hamba-Nya dan sekumpulan para mu'min yang kecil.

Allah meneguhkan hati Rasul-Nya, menenangkan fikirannya memberi janji yang
baik kepadanya dan mengancamkan musuhnya dengan mala-petaka.
Begitu juga surah ini menggambarkan hakikat hidayah, ni'mat kebajikan
dan keimanan yang sifat-sifatnya ialah jenuh melimpah-ruah dan berlanjutan dan
menggambarkan hakikat kesesatan, kejahatan dan kekufuran yang sifatnya ialah
remeh, tersorok dan terputus walaupun orang-orang yang lalai mempunyai
tanggapan yang berlainan dari itu.

Tersebut dalam hadith-hadith bahawa tokoh-tokoh Quraysh yang biadab
selalu mengganggu Rasulullah s.a.w. dan da'wahnya dengan berbagai-bagai tipu
daya, sendaan dan ejekan untuk menjauhkan orang ramai dari mendengar
da'wahnya yang benar yang dibawa dari Allah.

Di antara mereka al-'As ibn Wa'il,'Aqabah ibn Abi Mu'ait, Abu Lahab, Abu Jahal dan lain-lain.
Mereka mencemuhkan Rasulullah s.a.w. sebagai manusia yang putus keturunan, kerana semua anak lelakinya wafat.

Kata salah seorang mereka: "Biarkannya, kerana ia
akan mati tanpa meninggalkan seorang pun anak lelaki dan perjuangannya tak
lama akan berakhir begitu sahaja."

Tipu daya yang kecil ini mempunyai kesannya dalam masyarakat yang
memang berbangga-bangga dengan adanya anak lelaki yang ramai. Tikaman ini
digunakan oleh musuh-musuh Rasulullah s.a.w. yang benci kepadanya. Dan
mungkin tikaman ini telah mengguriskan hati beliau dan mendukacitakannya,
kerana itulah turunnya surah ini untuk menenang dan menghiburkan hatinya dan
untuk menerangkan hakikat ni'mat kebajikan yang kekal berterusan yang telah
dipilih oleh Allah untuknya dan menerangkan hakikat keputusan dan kepupusan
yang disediakan untuk musuh-musuhnya.

1. Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad)
ni'mat yang melimpah-ruah.

Maksudnya Kami kurniakan kepadamu ni'mat-ni'mat kebajikan yang
banyak dan melimpah-limpah tidak tersekat dan tidak terputus iaitu bertentangan
dengan kempen-kempen yang dilancarkan oleh tokoh-tokoh Quraiysh yang biadab
itu. Bagi siapa yang ingin memeriksa ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah
dikurniakan Allah kepada Rasul-Nya ia akan menemuinya pada segala aspek yang
difikirkan olehnya iaitu ia akan menemuinya pada ni'mat nubuwwah dan ni'mat
hubungannya dengan Allah yang Maha Besar, kerana orang yang telah menemui
Allah tidak akan kehilangan sesuatu apa. Ia akan menemuinya pada ni'mat al-
Qur'an yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w., kerana satu surah dari al-
Qur'an merupakan satu ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah tidak
berkesudahan. Ia akan menemuinya pada ni'mat al-mala'ul a'la (para Malaikat
yang tertinggi) yang sentiasa mendoakan rahmat ke atas Rasulullah s.a.w. dan
mendoakan rahmat ke atas orang-orang yang mendoakannya.

Nama Rasulullah s.a.w. sentiasa berkembar dengan nama Allah baik di
bumi mahupun di langit. Ia akan menemuinya pada ni'mat sunnah Rasulullah
s.a.w. yang kekal berterusan sepanjang zaman di merata pelosok bumi. Berjutajuta
manusia bersilih ganti menurut sunnahnya. Berjuta-juta lidah dan bibir tak
berhenti-henti menyeru namanya. Berjuta-juta hati sentiasa cinta akan sirahnya
dan sentiasa mengingatinya sampai hari Qiamat. Ia akan menemuinya pada ni'mat
kebajikan yang banyak yang melimpahi umat manusia dari seluruh generasi
dengan sebab da'wahnya sama ada manusia-manusia yang mengenal ni'mat
kebajikan itu dan beriman dengannya atau manusia-manusia yang tidak
mengenalnya tetapi turut dilimpahi ni'mat ke atas mereka.

Ia akan menemuinya pada ni'mat-ni'mat kebajikan dalam berbagai-bagai bentuk
dan rupa yang tidak terhitung banyaknya. Sebarang usaha untuk menghitungkan
ni'mat-ni'mat Allah merupakan semacam usaha hendak memperkecil-kecilkannya.

Ni'mat al-kauthar yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah
ni'mat yang melimpah-ruah tidak terhingga, tidak terkira dan tidak terbatas. Oleh
sebab itu ayat ini ditinggalkan begitu tanpa diberi huraian yang tertentu. Ia
meliputi segala kebajikan yang berkembang subur.

Terdapat banyak hadith dari berbagai-bagai saluran yang menerangkan
bahawa al-Kauthar itu ialah sebuah sungai di dalam syurga yang dikurniakan
kepada Rasulullah s.a.w., tetapi menurut Ibn 'Abbas sungai itu merupakan salah
satu ni'mat daripada ni'mat-ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah yang
dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w. dan pendapat ini amat munasabah dengan
keterangan ayat al-Qur'an.

"2. Kerana itu dirikanlah solah dan berkorbanlah dengan ikhlas kerana
Tuhanmu."

Setelah menerangkan ni'mat yang melimpah-ruah yang bertentangan
dengan kempen-kempen orang-orang kafir itu Allah memerintah Rasul-Nya s.a.w.
supaya mensyukuri ni'mat itu dengan kewajipannya yang pertama, iaitu
kewajipan melahirkan keikhlasan dan pemusatan hati kepada Allah dalam amal
ibadat dan tujuannya dalam mengerjakan solat dan menyembelihkan binatang
korban dengan ikhlas kerana Allah tanpa menghiraukan kesyirikan orang-orang
musyrik dan tanpa menyertai upacara ibadat mereka mengikuti perbuatan mereka
yang menyebut-nyebut lain dari nama Allah ketika menyembelih korban-korban
mereka.

Keterangan yang berulang-ulang supaya disebutkan nama Allah sahaja
ketika disembelih binatang-binatang korban dan diharamkan binatang-binatang
sembelihan yang disebut nama lain dari nama Allah menunjukkan betapa
besarnya perhatian agama Islam dalam usaha membersihkan seluruh kehidupan
dari kesan-kesan syirik bukan hanya sekadar membersihkan fikiran dan hati
sahaja. Islam adalah agama keesaan dalam erti katanya yang sebenar dan agama
Tauhid yang bersih dan jelas, kerana itu ia memburu dan menyerang syirik dalam
segala bentuk rupanya dan di mana-mana sahaja sama ada dalam hati, dalam
'ibadat dan dalam 'adat resam kehidupan.

Kehidupan lahir dan batin ini merupakan satu kesatuan dan Islam melayani
kehidupan sebagai satu kulli/kesemestaan yang tidak berbelah-bahagi dan
membersihkannya dari segala noda syirik dan membawa kehidupan ini tawajjuh
kepada Allah dalam bentuknya yang bersih dan jelas sebagaimana yang kita dapat
lihat dalam masalah binatang-binatang sembelihan dan lain-lainnya dari syi'arsyi'ar
'ibadat dan tradisi-tradisi kehidupan.

"3. Sesungguhnya orang yang benci kepada engkau dialah orang yang putus
keturunan."

Dalam ayat pertama Allah menerangkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w.
bukanlah seorang yang terputus, tetapi seorang yang dikurniakan ni'mat kebajikan
yang melimpah-ruah dan berterusan. Dalam ayat yang akhir ini pula Allah
menjelaskan bahawa orang yang terputus itu bukannya Nabi Muhammad s.a.w.,
tetapi orang-orang yang memusuhi dan membencinya dan janji Allah itu amat
benar kerana sebutan nama mereka telah terputus, sedangkan Nabi Muhammad
s.a.w. terus disebut dan disanjung tinggi.

Pada hari ini kita dapat saksikan kebenaran Firman Allah yang Mulia ini
dalam gambaran (kemasyhuran namanya) yang gemilang dan amat luas tidak
pernah disaksikan oleh orang-orang zaman dahulu yang telah mendengar nama
beliau. Keimanan, kebenaran dan kebajikan tidak mungkin terputus. Ia akan
menghulurkan dahan-dahan dan cabang-cabangnya dan menunjangkan akar
umbinya jauh ke dalam. Yang terputus ialah kekufuran, kebatilan dan kejahatan
biarpun bagaimana ia membesar dan kuat.

Ukuran-ukuran Allah berlainan dari ukuran-ukuran manusia, tetapi
manusia sahaja yang terkeliru dan tertipu apabila mereka menyangka bahawa
ukuran-ukuran merekalah yang menentukan hakikat-hakikat segala perkara. Di
hadapan kita terpampang contoh yang diterangkan dalam ayat ini sebagai satu
contoh yang jelas dan abadi. Di manakah tokoh-tokoh Quraysh yang mengejek
Nabi Muhammad s.a.w. dengan ejekan-ejekan yang hina dan menarik hati orang
ramai?

Ketika itu mereka menyangka bahawa mereka telah berjaya
menghancurkan Nabi Muhammad s.a.w. dan menyekat jalan da'wahnya, di mana
mereka sekarang? Di mana nama-nama mereka dan kesan-kesan peninggalan
mereka dibandingkan dengan ni'mat-ni'mat kebajikan yang melimpah-ruah yang
dikurniakan kepada Rasulullah yang dicap mereka sebagai manusia yang terputus
keturunannya itu?

Da'wah kepada Allah, kepada kebenaran dan kepada kebajikan tidak
mungkin terputus. Dan penda'wahnya juga tidak terputus. Bagaimana ia mungkin
terputus, kerana ia sentiasa mempunyai pertalian yang kukuh dengan Allah yang
Maha Hidup, Maha Kekal, Azali dan Abadi. Hanya kekufuran, kebatilan dan
kejahatan sahaja yang terputus bersama pejuangnya walaupun dalam setengahsetengah
ketika ia kelihatan panjang umur dan akar-akarnya menunjang jauh.

Amatlah benar Firman Allah yang Maha Agung dan amatlah bohong
tanggapan kaum Musyrikin yang melakukan tipu daya yang jahat itu!

dipetik daripada Tafsir Fi Zilalil Quran karangan As-Syahid Sayyid Qutb.

2 Pandangan:

Muhammad Safwan Bin Anang @ Talib said...

Menyambung mata rantai perjuangan Nabi SAW!

PesonA Info said...

Salut dengan isi blog sobat.Sukses perjuangannya. salam kenal dari DK.

http://dalam-kesendirian.blogspot.com/2010/02/dunia-di-bawah-dunia.html