Tuesday, July 27, 2010

Fatwa al-Qaradhawi: Tiada Bidah Hasanah dalam Islam


Soal: Apakah dia pembahagian bidah? Adakah benar di sana terdapat bidah hasanah (baik) dan bidah saiyiah (keji)?

Jawab: Berlaku pertentangan pendapat antara kalangan ulama tentang pembahagian bidah. Sebahagian mereka membahagikannya kepada bidah hasanah dan bidah saiyiah. Sebahagiannya pula menjadikan bidah kepada lima bahagian seperti hukum syari. Semua pembahagian ini tidak ada asalnya. Kerana hadis s.a.w. menyatakan: "Setiap bidah itu dhalalah." Ia adalah sesuatu yang diada-adakan yang tidak berada di bawah mana-mana asal atau sumber dari sumber-sumber tasyri (pensyariatan) atau ia bukanlah perkara yang ada dalilnya dari mana-mana dalil hukum.

Dr Syeikh Yusof al-Qaradhawi menyatakan:
Di sana sebahagian ulama membahagikan bidah kepada: Hasanah dan Saiyiah. Manakala sebahagian dari mereka membahagikannya kepada lima bahagian, menurut pembahagian hukum-hakam syarak: Bidah wajib, sunat, makruh, haram dan harus/mubah.

Al-Imam al-Syathibi telah membahaskan masalah ini secara terperinci, dan ditengah-tengah beliau membahaskannya itu beliau berpendirian: Bahawa pembahagian ini adalah perkara yang direka-reka yang tidak ditunjukkan oleh mana-mana dalil syarii pun, malah pembahagian itu sendiri saling bertolak-tolakan. Kerana hakikat bidah itu ialah sesuatu yang tidak ditunjuki oleh mana-mana dalil syarak, tidak juga oleh mana-mana nash syarak dan tidak dari qaedah-qaedahnya. Kerana jika di sana terdapat suatu dalil syarak yang menunjukkan atas wajibnya sesuatu, sunat atau harus, mengapa pula perkara berkenaan dikatakan bidah (hasanah). Ia sebenarnya (bukanlah bidah hasanah) tetapi perkara berkenaan telahpun masuk di bawah keumuman amal yang diperintahkan atau perkara yang dibolehkan (membuat pilihan).

Akhirnya natijahnya adalah satu, kerana mereka mengatakan bahawa penulisan al-Quran, menghimpunkannya dalam satu mushaf, menyusun ilmu Nahu, Usul Feqh dan ilmu-ilmu Islam lain adalah sebagai bidah wajib dan sebagai fardu kifayah.

Manakala sebahagian yang lain tidak bersetuju perkara-perkara di atas (penulisan al-Quran, menghimpunkannya dalam satu mushaf, menyusun ilmu Nahu...) itu dinamakan sebagai bidah hasanah. Kata mereka: "Pembahagian ini adalah pembahagian untuk bidah dari sudut bahasa sahaja. Yang kami kehendaki dengan bidah adalah bidah dari sudut syarak. Tentang perkara-perkara di atas, kami mengeluarkannya dari senarai bidah. Adalah tidak baik jika ia disebut sebagai sesuatu yang bidah. Yang utama adalah kita berpegang kepada Hadis yang mulia; kerana hadis datang dengan lafaz berikut dengan terang dan nyata: "Maka sesungguhnya setiap bidah itu dholalah (menyesatkan)."

Dengan keumuman lafaz hadis di atas, maka apabila dikatakan: "Setiap bidah itu dholalah" maka tidak perlulah kita katakan lagi: "bidah itu ada yang baik, ada yang keji, ada yang wajib, ada yang sunat dan seterusnya...." Pembahagian sebegini adalah tidak perlu.

Apa yang benar ialah, bahawa kita katakan apa yang telah disabdakan oleh s.a.w. di dalam hadisnya: "Maka sesungguhnya setiap bidah adalah dholalah." Yang dimaksudkan adalah bidah sebagaimana yang telah ditahqiq oleh al-Imam al-Syathibi: "Bidah ialah jalan di dalam agama yang direka-reka/diada-adakan." Iaitu yang tidak ada asal-usulnya dari syarak, tidak juga dari al-Quran, al-Sunnah, ijmak, qiyas, mashlahah mursalah dan tiada di kalangan fuqaha yang menyatakan dalil mengenainya.
Sumber: Islamonline.net
dan http://al-ahkam.net/

P/S; Jawapan entri ini khusus buat mereka yang menimbulkan persoalan ini kepada penulis. Terima kasih!

0 Pandangan: