Sunday, November 7, 2010

Surat Seorang YDP MPMUM?

Sekadar pandangan seorang Mahasiswa!

Saya ada terbaca dalam Malaysiakini tentang sepucuk surat daripada YDP MPMUM meluahkan pendapat berhubung Isu hasrat kerajaan ingin menubuhkan Hub Hiburan Malam (Klik sini sebagai bukti). Rasa kecewa pun ada sebagai seorang mahasiswa Islam berpandangan sebegini.

Berikut saya salin apa yang ditulis : 



Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan penubuhan hub pusat hiburan malam bagi memacu Program Tranformasi Ekonomi (ETP).

Perancangan itu adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan bagi memperkasakan sektor pelancongan di negara kita. Bayangkan betapa besar angka yang keuntungan yang akan diraih. Saya difahamkan sehingga mencecah RM 1.8 bilion seandainya projek ini mendapat sokongan semua.

Bagi saya saranan penubuhan hub pusat hiburan malam ini adalah bertepatan dengan slogan 1 Malaysia, rakyat sememangnya didahulukan seterusnya memenuhi citarasa warga Malaysia yang bagi saya tidak salah untuk berhibur.

Inilah sebenarnya kerajaan yang betul-betul memahami hasrat hati rakyat dan juga kami sebagai mahasiswa.

Saya juga berpendapat ini juga satu langkah yang cukup bijak bagi mengatasi gejala-gejala negatif yang timbul apabila hiburan disekat sekeras-kerasnya oleh pihak tertentu. Mereka tiada tempat untuk berhibur, dan keadaan inilah yang akan menyebabkan berlakunya masalah seperti pusat-pusat hiburan haram dan gejala lepak di jalanan.

Selaku mahasiswa juga saya melihat langkah ini sudah pasti sedikit sebanyak membantu kadar penurunan jenayah yang banyak kes melibatkan warga asing yang berpeleseran di ibu kota. Gangguan di jalanan juga dapat dibanteras apabila mereka tidak lagi berkumpul di jalanan semata-mata.

Saya juga berasa sedih apabila usaha murni kerajaan ini dianggap sia-sia oleh sesetengah pihak. Mereka tanpa ada pandangan dan maklumat yang jelas tentang situasi sebenar dengan mudah dan bongkak menolak bahkan membantah usaha kerajaan ini. Apakah mereka ini lebih rela melihat kadar jenayah di negara semakin meningkat hari demi hari?

Justeru , saya mewakili seluruh mahasiswa yang berdiri teguh bersama kerajaan menyokong penuh usaha murni ini. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah.


Penulis adalah Yang Dipertua, Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya

______________________________________________________________

Sekadar pandangan juga,boleh jadi ini adalah provokasi murahan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Setahu saya YDP MPMUM sendiri memang menafikan sekeras-kerasnya bahawa surat tersebut bukan tulisannya. Persoalan yang cuba saya timbulkan disini adalah sekiranya benar YDP MPMUM tidak menulis surat tersebut,maka apakah pandangan sebenar mengenai isu Hub Hiburan malam ini?


Bukannya hanya sekadar pandai menafikan dan membuat laporan polis sehingga mahu menyaman Malaysiakini, dalam masa sama hanya berdiam masih tidak berani mengeluarkan pendapat langsung berkaitan isu ini. Mengapa tidak menghantar surat balas berkenaan pendirian terhadap usaha kerajaan Barisan Nasional ini? Ataupun takut kepada sesetengah pihak yang sedang 'bermain' di belakang isu ini?

Sebagai pimpinan kampus, pandangan saya YDP MPMUM masih ditakuk lama. Perkara ini amat malang bagi saya walaupun saya ini bukanlah antara pimpinan warga Universiti Malaya tika ini. Adakah kita selaku mahasiswa hanya tunduk kepada kezaliman dan kongkongan pihak yang tidak bertanggungjawab ini?

Mahasiswa perlu punyai idealisme mereka tersendiri. Tanpa ada belenggu dogma daripada mana-mana pihak tidak kira kerajaan mahupun pembangkang. Biar mahasiswa bebas memilih. Saya juga ingin sebutkan disini bahawa mahasiswa perlu menjadi check and balance kepada kerajaan mahupun pembangkang. Bukannya kesemua idea usaha kerajaan yang mahasiswa bantah dan tidak pula mengatakan sepenuhnya idea usaha pembangkang yang betul. Mahasiswa bukan lembu yang boleh dicucuk hidungnya dan diheret ke mana-mana. Tegas, mahasiswa bukan pak turut. Sesekali tidak!

Justeru,berkenaan isu ini saya mencabar YDP MPMUM untuk mengeluarkan pendirian sebagai seorang mahasiswa. Jangan hanya pandai menjawab tohmahan yang belum pasti datangnya daripada siapa dan boleh jadi mereka yang dibelakangnya sendiri. Mahasiswa berhak menentukan keputusan hari ini memandangkan merekalah pemimpin negara akan datang. Bukan mahasiswa mereka yang penakut dan tidak ada idealisme tersendiri. 
Mahasiswa menggugat!

0 Pandangan: