Monday, February 7, 2011

Pergolakan?


MESIR MENUJU SINAR BARU



Hujung Januari lepas, dunia Afrika Utara menjadi gempar dengan kemaraan rakyat Mesir yang menuntut agar Presiden mereka, Hosni Mubarak meletak jawatan dengan segera. Ia ekoran kemarahan rakyat Mesir berhubung pemerintahan Mubarak yang bersifat kuku besi.
Rakyat Mesir dikatakan bangkit selepas melihat kejatuhan Presiden Tunisia, Zine el Abidine sebelum ini. Tambahan pula, Hosni Mubarak dikatakan mahu menjadikan anak sulungnya, Alaa Mubarak sebagai Presiden Mesir sesudah beliau. Ia ternyata menimbulkan kemarahan puluhan ribu rakyat Mesir yang mahu perkara ini tidak berlaku.

Qaradhawi : Angkat kaki atau dihalau rakyat

Susulan itu, pada 2 Februari lalu, Ketua Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Muslim, Sheikh Yusuf al-Qaradawi, meminta Presiden Mesir Hosni Mubarak agar mengangkat kaki secara pilihan sebelum beliau akan pergi secara paksaan. 

Menurut Syeikh Yusuf Al-Qaradawi lagi, Mubarak perlu mengambil pengajaran dari nasib Presiden Tunisia, Zine el Abidine Ben Ali yang akhirnya terpaksa melepas jawatan akibat kemarahan rakyat Tunisia yang kian tidak terkawal. 

Kenyataan Syeikh Yusuf Al-Qardawi itu merupakan satu tamparan buat Mubarak ketika dia dilihat bersungguh hendak mempertahankan pendiriannya mahu meneruskan pemerintahannya sehingga habis tempohnya pada September ini.

Obama : Turun secara ‘baik’

Ketika Mubarak dilihat mempunyai sokongan negara luar, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama 5 Februari lalu membuat kenyatan mengejutkan.
Amerika Syarikat sebelum ini dilihat sekutu kuat Mesir khususnya dibawah pemerintahan Hosni Mubarak meminta agar Mubarak membuat keputusan yang wajar demi rakyat Mesir & Mesir sendiri.

Obama meminta agar Hosni Mubarak mendengar suara rakyat selain menyelesaikan masalah ini dengan keadaan yang aman tanpa pertumpahan darah dari mana-mana pihak.
Ia ternyata membuat Hosni Mubarak menjadi semakin tertekan ketika dia memerlukan sokongan luar khususnya dari sekutu rapatnya itu.

Mesir & Harapan

Sehingga kini, Hosni Mubarak dilihat degil untuk mempertahankan pendiriannya untuk meletak jawatan hanya pada September ini atas alasan tertentu.
Rakyat Mesir dilihat akan terus memperhebatkan desakan demi mengembalikan hak mereka seterusnya memastikan Mesir dalam keadaan lebih baik dari sebelum ini.

Harapan itu kini semakin jelas kelihatan. Saya secara jujurnya merasa kagum dengan usaha rakyat Mesir yang mahukan keadilan ditegakkan dengan sewajarnya.
Seharusnya kekejaman yang telah berlangsung hamper 30 tahun ini dihentikan dengan kadar segera. Saya menyeru kepada Hosni Mubarak agar mendengar suara rakyatnya yang telah dizaliminya selama 30 tahun.

Secebis pandangan dan pemerhatian, usaha Rakyat Mesir ini akan diabadikan dalam sejarah sebagai usaha penggulingan pemerintahan yang zalim. Selain itu, ia akan menjadi sinar baru kepada rakyat Mesir untuk menikmati hidup yang lebih baik pada masa akan datang.

0 Pandangan: