Monday, March 21, 2011

Desak Kerajaan Campur Tangan!



Pada hari Isnin lalu bertarikh 14 haribulan 3, sekitar seribu orang tentera daripada pasukan khas daripada Arab Saudi bersama dengan 500 orang polis Emiriah Arab Bersatu telah memasuki Bahrain.

Tujuan mereka memasuki Bahrain beralasankan mempertahankan Bahrain daripada kebangkitan golongan pemberontak. Ataupun lebih dikenali dengan golongan anti kerajaan.
Kebangkitan rakyat Bahrain ini dek kerana rakyatnya terkena tempias daripada bahang kebangkitan rakyat di sekitar dunia Arab.

Cuma disini, apa yang membezakan Bahrain berbanding negara lain yang rakyatnya bangkit melawan adalah kerana ia melibatkan campur tangan kuasa luar iaitu Arab Saudi, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam melawan rakyat.

Disini penulis ingin menyatakan rasa kesal dengan tindakan kuasa asing tersebut dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut. Campur tangan kuasa asing dalam menghadapi suara rakyat adalah tindakan memalukan.

Penulis juga meminta agar kerajaan Malaysia masuk campur dalam hal ini bagi menyelesaikan masalah ini dengan kadar yang segera.
Penulis memahami tindakan kuasa asing tersebut adalah bagi memastikan golongan rakyat yang majoritinya berfahaman Syiah dapat dihalang daripada bangkit memberontak.

Namun harus diingati bahawa mereka tetap rakyat yang mempunyai hak dalam kehidupan mereka. Penulis berasakan hal ini boleh diselesaikan tanpa pertumpahan darah.

Malahan boleh dilakukan dalam suasana yang harmoni dan damai seterusnya mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain dalam kalangan rakyat dan pemerintah.