Tuesday, April 19, 2011

Memimpin Perubahan!



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Salam perkenalan dan salam perjuangan saya ucapkan kepada semua rakan-rakan mahasiswa. Alhamdulillah, saya bersyukur kehadrat Allah Taala kerana masih membenarkan kita meniti usia muda di alam kampus yang mengajar kita pelbagai pengalaman dalam kehidupan. Di alam universiti, mahasiswa juga tidak terlepas daripada memegang amanah kepimpinan dengan harapan status mahasiswa sebagai manusia yang lahir dari kelompok inteligensia serta mampu memberi sumbangan penuh terhadap universiti, masyarakat dan negara.

Menyorot kembali prinsip akar penubuhan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), saya melihat PMIUM mempunyai kelainan daripada persatuan-persatuan yang lain. PMIUM berdiri di atas prinsip-prinsip syariat Islam yang menjulang prinsip keadilan, kebebasan, persamaan hak, keamanan, kesejahteraan dan prinsip yang lainnya yang juga didokong oleh agama lain. Di atas asas ingin menyebarkan idea faham Islam kepada masyarakat kampus, PMIUM menjadi gerakan sepenuh masa dan semakin hari mendapat partisipasi daripada ramai mahasiswa yang bersedia menjadi aktivis sukarelawan PMIUM.

PMIUM bukanlah sekadar persatuan yang hanya bergerak melalui aktiviti dan program tahunan sahaja. Malah PMIUM tampil menjadi jurubicara masyarakat yang berusaha memberi partisipasi dalam semua aspek termasuk ekonomi, politik, institusi sosial, hiburan, kesukanan dan lainnya. PMIUM berusaha untuk menjadi wakil anak muda yang berbekalkan semangat aktivisme dan idealisme perjuangan Islam di samping memegang nilai keintelektualan mahasiswa serta nilai-nilai sejagat.

Dengan usia yang sudah menjangkau 54 tahun, PMIUM menjadi sebuah gerakan yang matang dalam mencorakkan aktivisme. Sejarah membuktikan bahawa PMIUM sudah berjaya menerajui gerakan mahasiswa terutamanya dalam memperjuangkan isu-isu di peringkat kampus dan nasional. Kita patut berbangga menjadi salah seorang pendokong PMIUM yang juga sudah berjaya melahirkan tokoh-tokoh negarawan yang cemerlang dalam bidang masing-masing.

Pertemuan pertama kita kali ini, saya ingin mengisytiharkan bahawa semua mahasiswa Universiti Malaya adalah ahli PMIUM sama ada bagi mereka yang berdaftar atau tidak. Di atas tanggungjawab meneruskan tradisi kecemerlangan dengan melahirkan negarawan, saya mengharapkan partisipasi penuh daripada semua masyarakat kampus agar kita sama-sama menggerakkan PMIUM sebagai wadah aktivisme dan menimba pengalaman selama usia pengajian kita di universiti ini. Semoga dengan usaha kita yang sedikit ini mampu memberi sumbangan dan mencetus perubahan di peringkat masyarakat dan negara.

 
"Bersama Menerajui Perubahan"

Salam hormat daripada saya,

Muhammad Safwan Bin Anang @ Talib

Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)
sesi 2011/2012

0 Pandangan: