Friday, November 11, 2011

Jemputan ke Majlis Perkahwinan


Bismillahirrahmanirrahim. In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, dengan ini saya akan melangsungkan Majlis Perkahwinan pada 13 November 2011, bersamaan 17 Zulhijjah 1432H (Ahad) bersama pasangan,Masturah Abu Bakar bertempat di kediaman Lot 1866 Lorong 8, Kg Merbau Sempak, 47000 Sg Buloh Selangor. Sukacitanya saya menjemput semua kenalan sekolah, warga Universiti Malaya, kenalan facebook, twitter dan blogger untuk sama-sama hadir ke walimatul urus kami pada tarikh tersebut. Moga kehadiran dan doa kalian memeriahkan lagi majlis ini. 
Terima Kasih Daun Keladi, Jumpa Nanti

Saturday, October 8, 2011

Bajet P Ramlee buat Mahasiswa


Bajet 2012 kali ini seolah-olah menggambarkan apa yang sebenarnya terkandung dalam pemikiran Perdana Menteri kita sepertimana dialog dalam filem P Ramlee yang masyhur, “ budak-budak tak boleh pegang duit banyak-banyak ”. Justeru, mahasiswa sekali lagi kecewa dengan pembentangan bajet kali ini yang juga seolah-olah tidak langsung memikirkan soal pembinaan generasi akan datang. Boleh jadi kerajaan sekarang beranggapan mahasiswa tidak boleh terlalu selesa, nanti mereka malas belajar.

Cadangan peringkat kita mahasiswa sebelum ini antaranya seperti pemberian pinjaman Ptptn mengikut zon berdasarkan kenaikan kos sara hidup mutakhir ini, namun ia ibarat mencurah air ke daun keladi. Belum lagi kita cadang supaya Ptptn diubah menjadi biasiswa! Lahirlah pelacur daripada kalangan mahasiswi yang rata-rata tidak sanggup untuk berhadapan dengan krisis kewangan walaupun telah menuntut ke menara gading. Boleh jadi ianya bukan menara gading lagi, tapi menara taring yang misinya membunuh masa depan mahasiswa dan belia remaja! Banyak lagi berita-berita di dada akhbar yang mengejutkan kita, ada yang jadi keldai dadah kerana bayarannya sangat lumayan dan tidak kurang ada yang sanggup menjadi pencuri kecil-kecilan di kampus!

Mana tidaknya, sebaik sahaja mahasiswa keluar bergraduasi mereka sudah punyai belenggu hutang kiri dan kanan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. Mahasiswa juga dikenali sebagai OKU iaitu orang kuat utang!

Pendirian di peringkat mahasiswa adalah untuk pihak kerajaan mempertimbangkan soal yuran pengajian di universiti. Sebagai contoh mudah, yuran internet dan ICT di sebuah IPTA sehingga mencecah RM100 untuk satu semester. Dalam masa sama juga dikenakan yuran perpustakaan RM100. Tidak kurang lagi bas universiti pun dikenakan kos perkhidmatan. Bas kilang pun percuma,ini pula bas universiti!

Boleh jadi ia jumlah yang tidak besar di mata para Menteri dan mereka yang menaiki kereta import yang mewah, namun ia adalah beban di peringkat kami mahasiswa! Ada yang ikat perut dek kerana kos sara hidup benar-benar menjerut kehidupan mahasiswa terutama mereka yang berada di lokaliti Lembah Klang.

Kenapa tidak kerajaan memperuntukkan sejumlah bajet bagi menampung kos kemudahan internet dan ICT di IPT-IPT ini? Bukankah kerajaan sebelum ini beria-ria sangat mahu memperkenalkan emel percuma kepada seluruh rakyat Malaysia? Mana mahu guna emel tanpa internet! Nah, itulah persoalannya. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga pula. Malang sungguh mahasiswa di Malaysia! Bukan tidak bersyukur dengan kerajaan yang memberikan baucer RM200 untuk pembelian buku melalui syarikat kroni ini, tetapi tidak lagi percaya. Jom ubah kerajaan sekarang!


Penulis adalah ;

MUHAMMAD SAFWAN BIN ANANG @ TALIB
PRESIDEN
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA

Saturday, July 23, 2011

Kebangkitan Golongan Intelektual Muda

Memacu Kebangkitan!

Saya merasakan bahawa kita perlu memberikan konotasi yang kritikal terhadap istilah golongan intelektual muda agar setanding dengan nilai dan fungsi golongan ini terhadap masyarakat.  Saya tidak mahu menyempitkan ruang lingkup perbincangan dengan hanya meletakkan latar belakang pengajian sama ada formal atau tidak formal sebagai tanda aras golongan ini.

Pada pandangan saya, apa yang perlu diberi perhatian ialah sejauhmana mereka yang mempunyai latar belakang pengajian ini memberi kesan terhadap masyarakat dan negara.  Raja Ahmad Aminullah dalam bukunya Minda Tertawan meletakkan lima ciri penting golongan intelektual, termasuklah memiliki pengetahuan tinggi, mempunyai keupayaan untuk menelaah permasalahan masyarakatnya, mampu mengemukakan saranan-saranan untuk pembaikan, mempunyai komitmen dan iltizam yang tinggi terhadap masyarakat dan mempunyai keupayaan serta keberanian untuk menyampaikan hujah dan nasihat-nasihat kepada penguasa!


Konotasi yang merangkumi ciri yang kritikal ini sepatutnya menyedarkan mereka yang menganggap diri sebagai golongan intelektual mengoreksi semula diri.  Mereka yang mengangkat diri sebagai golongan intelektual seharusnya malu jika sekiranya ketinggian pendidikan formal yang sudah mereka capai tidak setanding dengan fungsi mereka kepada masyarakat dan negara.

Lebih memalukan apabila para intelektual sanggup menjual nilai harga intelektual itu demi kepentingan peribadi atau kepentingan periuk nasi.  Kita tidak dapat menafikan fenomena para intelektual "plastik" ini berlaku dalam negara kita.  Para intelektual "plastik" lebih sanggup melihat kehancuran masyarakat dan negara demi memastikan survival mereka terjaga.

Walau bagaimanapun akhir-akhir ini kita sudah mendengar suara-suara keramat kelompok inteligensia yang sudah berani menyampaikan nasihat dan kritikan kepada penguasa.  Kebangkitan golongan intelektual ini amat mengujakan, bermula dengan tampilnya Sasterawan Negara A. Samad Said (gambar kanan), diikuti oleh para sasterawan yang lain.  Tidak ketinggalan juga para agamawan muda, para doktor, para peguam, para pensyarah, penjawat kakitangan awam dan lain-lain kelompok yang sedar dan bangkit menentang kezaliman.

Femonena kebangkitan ini mengingatkan kita kepada sejarah lampau, sejarah perjuangan kelompok inteligensia ini dalam menentang penjajahan.  Sumbangan nama-nama besar seperti Burhanuddin Helmi, Syed Shaykh Al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Abu Bakar Baqir dan tokoh-tokoh yang lain memberi inspirasi kepada perjuangan golongan intelektual yang berprinsip.
Perjuangan mereka adalah perjuangan yang mandiri.  Mereka bebas menyatakan pendirian, kritikan atau saranan kepada para penguasa tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.  Mereka juga jauh sekali untuk memperbaiki saranan dan kritikan mereka sesuai dengan kehendak dan citarasa para penguasa.

Kini sudah tiba masanya perjuangan yang dipelopori oleh orang terdahulu kita sambut semula.  Seluruh sosok intelektual khususnya mahasiswa dalam negara ini perlu sedar bahawa tanggungjawab para intelektual ialah menyatakan kebenaran dan keadilan setanding dengan nilai keilmuan yang mereka ada.  Golongan intelektual muda kini tidak terkecuali dalam usaha untuk terus memberi pencerahan kepada masyarakat demi menyaksikan tanahair yang kita cintai ini tertegak di atas norma-norma keadilan dan kebenaran.

Salam kebangkitan anak muda! Road to BERSIH 3.0!

*Muhammad Safwan b. Anang @ Talib selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)

Sumber ; http://www.merdekareview.com/bm/news

Tuesday, July 5, 2011

Ambiga VS Abu Thalib

Tuntutan Rakyat! Kembalikan ketuanan rakyat!


Nah, jawapan para ilmuan yang berautoriti lagi faqih dalam isu ini!


Bagaimana pula pandangan anda mengenai hadis ini...;


إِنَّهُ لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ إِلَّا نَفْسٌ مُسْلِمَةٌ، وَإِنَّ اللَّهَ لَيُؤَيِّدُ هَذَا الدِّينَ بِالرَّجُلِ الفَاجِرِ

Maksudnya: "Sesungguhnya tidak masuk ke syurga kecuali jiwa yang muslim, dan sesungguhnya ALLAH akan menguatkan agama ini dengan seorang lelaki yang fajir (Ahli Maksiat dan Pendosa)". [Al-Bukhari & Muslim].

Lihat bagaimana Rasulullah s.a.w menegaskan, Syurga hanya boleh dimasuki oleh mereka yang beriman, namun baginda tidak menafikan ada tindakan daripada mereka yang tidak beriman menguntungkan agama ALLAH dan menjadi sebab kuatnya Islam dan Umatnya namun tindakannya ini tidak menjadikannya sebagai Ahli Syurga jika dia seorang kafir.



Namun,masih ada lagi mereka yang berkepentingan tertentu mengaitkan isu tuntutan rakyat ini dengan tohmahan dan fitnah segala macam! Sedangkan kezaliman yang paling besar dalam agama yang terus berleluasa tidak diendah!! Gejala Murtad! Fakta Kes Murtad!


Berkenaan tohmaan ini penulis sarankan untuk adil dalam bab ini. Beberapa penulisan yang boleh dijadikan rujukan antaranya;


Dr.Maza tentang Bersih

Benarkah Ambiga ada kaitan dengan isu Murtad?

Apa pula pandangan Kerajaaan Isu Murtad?


Bukankah sama sahaja statusnya Ambiga dan Abu Thalib(bapa saudara Nabi) ??


Sekadar mencabar minda!!

Friday, June 17, 2011

Sengaja menimbulkan kontroversi

Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Unversiti Malaya (PMIUM), Muhammad Safwan Anang menyifatkan minggu ini sebagai minggu yang penuh dengan ‘kehinaan’.

“Saya khuatir sekiranya tiada tindakan tegas diambil terhadap segala yang berlaku pada minggu ini,” katanya.
Safwan dalam kenyataannya menyatakan sedemikian merujuk kepada beberapa rentetan peristiwa yang sedang heboh diperbincangkan masyarakat ketika ini.
Sabtu lalu, katanya selepas perlawanan Piala FA, kecoh tentang isu rakyat menghina Yang di-Pertuan Agong.
Dua individu dipercayai penyokong pasukan bola sepak tanah air bertindak kurang ajar apabila sanggup menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menerusi laman sosial Facebook.
Mereka dikenali sebagai Nik Rabani dan Kay Shakila.
“Dan semalam kecoh tentang isu sebuah akhbar tempatan hina hukum Allah,” tambahnya merujuk karikatur dalam Utusan Malaysia yang menghina hukuman kes rogol.
Tambahnya, perkataan ‘jihad’ juga dihina oleh penganut Islam sendiri.
Belau merujuk kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ail yang memberi amaran kepada komuniti Kristian bahawa beliau akan melancarkan ‘perang jihad’ jika mereka meneruskan agenda mahu merampas kedudukan Islam negara ini.
Tambahnya, wang rakyat juga ‘dihina’ dengan begitu rakus sekali yang merujuk kepada perbelanjaan RM1.8 juta semata-mata untuk menyelenggara satu Facebook.
“Saya lihat beberapa isu yang berlaku kebelakangan ini adalah berpunca daripada kesilapan kita sendiri.
“Kita selaku yang faham tentang Islam dan tahu serba-sedikit tentang sifat hormat-menghormati serta akhlak baik perlulah bertanggungjawab turun ke lapangan masyarakat,” ujarnya lagi.
Safwan sedia turun ke lapangan masyarakat adalah berkenaan dengan usaha penyebaran dakwah dan pemahaman tentang Islam kepada seluruh lapisan masyarakat.
“Kita yang perlu turun menyedarkan mereka dan sebar fahamkan apa yang kita faham tentang Islam serta perkara-perkara berkaitan,” katanya.
" Ya Allah, selamatkan kami dari fitnah. "

Thursday, June 9, 2011

Pmium bersama front utama mahasiswa serah deklarasi sempena Hari Hak Asasi



Kuala Lumpur , 8 Jun 2011: Front-front utama mahasiswa hari ini menyerahkan Deklarasi Hari Hak Asasi Mahasiswa/i kepada SUHAKAM.
Berikut merupakan isi kandungan deklarasi tersebut.
DEKLARASI HARI HAK ASASI MAHASISWA/I
1. Mansuhkan AUKU
2. Perlaksaan Pilihan Raya Umum yang Bersih dan Adil
3. Mengguling kuasa hegemoni yang zalim, dan merealisasikan pemerintahan sistem parti bersaling ganti

Pada hari 8 Jun 2001, seramai 200 orang mahasiswa  berkumpul di Masjid Negara mendesak kerajaan untuk memansuhkan ISA dan menyeru pelepasan tahanan ISA tanpa bersyarat. Pihak polis menggunakan kekerasan untuk menghalang perhimpunan tersebut dan menahankan 7 orang mahasiswa yang terlibat. Akibatnya, 7 orang mahasiswa tersebut telah didakwa ke mahkamah atas kesalahan menyertai perhimpunan haram.
Jadi, 8 Jun  telah dikenali sebagai Hari Hak Asasi Mahasiswa kerana ia merupakan hari pengingatan  terhadap penindasan mahasiswa di Malaysia. Kita perlu  mengingati  peristiwa ini dan meneruskan perjuangan supaya mempertahankan hak asasi mahasiswa  serta menyedarkan mahasiswa/i tentang kepentingan sistem demokrasi sama ada di dalam kampus atau seluruh negara.
Dengan kewujudan ruangan demokrasi dalam kampus , baru dapat memupukkan fikiran terbuka yang lebih matang di kalang Mahasiswa/i. Kami telah banyak melibatkan diri dalam perhimpunan aman seperti himpunan pembantahan ISA , melalui penglibatan diri dalam aktiviti yang menuntut hak asasi manusia sebegini, kami telah memahami bahawa sistem masyarakat dan dasar kerajaan telah dipergunakan oleh pihak pentadbir untuk menekankan kuasa pembantahan.
Mereka yang terdiri di depan perjuangan adalah daripada pelbagai kaum dan latar belakang, di sinilah kami menyedari bahawa setiap manusia adalah insan saksama.
Pemikiran kami adalah sama, semua orang bersatu untuk nenuntutkan kebenaran.
Universiti jarang mengajar kita supaya berjuang demi kebebasan, kesaksamaan dan demokrasi. Perlu berfikir di luar kotak pendidikan, baru kami dapat memahami makna pendidikan, ini adalah masalah pendidikan Malaysia pada hari ini.
1.0 Mansuhkan AUKU
1.1 Memberi Sokongan Kepada Mangsa AUKU
Perjuangan menuntut  Auku dimansuhkan  telah berlangsung selama 40 tahun, dan kebelangkan ini penggunaan AUKU untuk menindas mahasiswa telah bergiat semula.
Universiti Malaya betapa kali berlaku pengenaan tindakan displin AUKU pada tahun ini. Antaranya, penindasan terhadap Pro-Mahasiswa yang menang dalam piliharaya kampus. Wakil palajar Tan Tiong Yih dan Mastura Abu Bakar telah dipanggil hadir ke prosiding atas sebab yang mustahak dan seterusnya mereka yang mengadakan sesi persidangan juga dikenakan tindakan AUKU.
Kini, tindakan university bertambah zalim. Jika berbanding dengan dulu, mereka mengenakan tindakan displin adalah sekadar untuk menakutkan mahasiswa lain, namun sekarang mereka tidak akan ragu-ragu untuk meneruskan tindakan mereka yang zalim itu walaupun tekanan luar yang diberikan adalah tinggi. Hal ini dapat dibuktikan dengan pemanggilan semula prosiding kes UKM 4 pada 13 June.
1.2       Mengembalikan Kesatuan Mahasiswa
Universiti kini menghilangkan kuasa auntonomi. Di bawah AUKU, pihak pentadbiran university dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi manakala Majlis Perwakilan Pelajar tidak mempunyai hak membuat keputusan. Tambahan lagi pihak pentadbiran yang menuduk kepada kuasa Barisan Nasional telah mencabuli kepentingan ahli akademik dan hak asasi mahasiswa.
Sebelum AUKU diwartakan, pihak pentabiran dan ahli akademik university adalah bebas daripada campur tangan politik kerana terdapat pemisahan kuasa antara pihak pentabiran, dan ahli akademik yang ketara, manakala hal ehwal mahasiswa diurus sepenuhnya oleh mahasiswa sendiri.Suasana pada masa tersebut adalah bebas dan demokratik, dan mahasiswa telah bersama-sama untuk memperjuangkan hak dan kepetingan peneroka Bandar dan golongan miskin seperti peristiwa Teluk Gong, tanpa mengira bangsa dan agama.
Kami bertegas untuk mengembalikan Kesatuan Mahasiswa, kerana Kesatuan Mahasiswa dapat menyatukan mahasiswa. Suara dan kritikan mahasiswa perlu diperdengarkan oleh kerajaan seperti mana mahasiswa England telah mengadakan bantahan terhadap peningkatan kos yuran dan mahasisa Itali telah membantah terhadap pengurangan subdisi pendidikan pada tahun lepas.
AUKU telah menjadi peralatan untuk kerajaan menyalahgunakuasa.Kerajaan sering mengunakan AUKU untuk menakutkan mahasiswa, yang terbaru sekali adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pengajian Tinggi telah menghalang mahasiswa daripada menyertai Perhimpunan Bersih 2.0
1.3       Bantahan Polisi Pengkorporatan Universiti
Barisan Nasional mengkorporatkan IPTA dengan melibatkan diri dalam pentadbiran dan pengurusan yang ditetapkan oleh AUKU.
Kini, IPTA mengutamakan prestasi, permintaan dan penawaran pasaran. Secara tidak langsungnya, konsep universiti dan pendidikan kemanusiaan semakin menjauhi daripada mahasiswa/i.
Kita harus mengetahui bahawa penggubal dasar pendidikan adalah golongan bourgeois Barisan Nasional. Oleh itu, kapitalisme mengancam ke dalam sistem pendidikan dan telah menghasilkan golongan yang utilitarianisme. Hal ini juga menyebabkan kita tertumpu kepada kejayaan keseorangan, malah merosotkan keupayaan berfikir bebas, berpandangan cetek dan tidak berprihatin terhadap sistem kemasyaratkan selama ini.
Dalam segi pembelajaran, kursus IPTA yang dapat menyumbangkan kepada ekonomi telah diswastakan. Sebagai contoh, Kuala Lumpur Education Park telah bekerjasama dengan USM untuk membuka Ijazah Tinggi Pengurusan. Sesetengah universiti bekerjasama dengan sektor swasta untuk membuka cawangan kampus dengan “sub-kontrak” kursus kepada IPT tersebut.
Universiti menjalankan pelbagai kajian seperti penciptaan ubat baru yang dapat menyumbang kepada masyarakat, tetapi hasil kajian ini tidak dinikmati oleh orang yang memerlukannya. Hakikatnya, hasil kajian ini dipatenkan oleh syarikat, kemudian dijual kepada pasaran. Oleh itu, syarikat sering memberi bantuan kewangan untuk menggalakkan pembukaan universiti penyelidikan. Secara tidak langsungnya, syarikat telah menentukan corak operasi sesebuah universiti.
Selain mahasiswa/i, staf akademik juga menjadi mangsa dalam perkara ini. Mereka tidak lagi membuat kajian tentang ilmu dan pengetahuan kerana tidak digalakkan. Syarikat tidak menggalakkan kajian yang tidak membawa keuntungan dengan tidak memberi cuti penggal dan kos kajian. Oleh itu, staf akademik mementingkan keputusan pembelajaran dan materialistik lebih daripada kajian yang dapat memanfaatkan. Dalam IPTA, staf akademik menghadapi masalah campur tangan dari segi politik dan birokrasi. Hal ini telah menyebabkan suasana akademik tidak lagi wujud dalam kampus.
Oleh itu, langkah-langkah terhadap pemansuhan AUKU harus dilaksanakan dengan segara untuk memulihkan Kesatuan Mahasiswa dan kuasa autonomi university awam.
2.0 Perlaksaan Pilihan Raya Umum yang Bersih dan Adil
Sistem pilihan raya umum yang bersih dan adil merupakan tuntutan yang amat dipentingkan oleh warganegara kerana ia melibatkan hak pemilihan wakil rakyat.
Penyertaan anak-anak muda dalam pilihan raya umum memainkan peranan yang mustahak dalam pembangunan demokrasi. Kami menyeru rakyat yang berlayak berdaftar menjadi pengundi supaya menjalankan tugas yang diwajibkan bagi masa depan negara. Mereka juga diberikan kebebasan dalam penyertaan apa jua kempen atau kumpulan pemantauan pilihan raya umum. Kita harus menyokongkan kempen yang menyeru ketelusan pilihan raya umum supaya menghapuskan taktik helah seperti rasuah, pengundi hantu. Selain itu situasi Malaysia Timur harus mendapatkan keprihatinan terutamanya golongan bumiputera yang tidak dapat berdaftar sebagai pengundi.
3.0       Mengguling kuasa hegemoni yang zalim, dan merealisasikan pemerintahan sistem parti bersaling ganti
Gerakan sivil di Malaysia masih bergelut dengan Kerajaan Barisan Nasional. Isu-isu nasional seperti tanah nadir Lynas yang masihsebelum selesai, timbul pula isu loji kuasa tenaga nuklear, penyelewengan oleh badan penguatkuasaan, isu Interlok dan banyak isu yang masih belum diselesaikan.
Mengapakah isu-isu ini masih berulang? Ini disebabkan sistem demokrasi Malaysia yang masih belum matang. Dominasi oleh parti politik pemerintah, ketidaktelusan dalam dasar-dasar negara, politik wang, memainkan isu-isu perkauman, monopoli dalam media, serta menggunakan sistem pendidikan untuk mendoktrinkan dan memperbodohkan rakyat.
Matlamat panjang perjuangan rakyat adalah menjurus kepada masyarakat yang bebas dan adil, kini semua gerakan sivil menghadapi suatu halangan besar secara bersama, iaitu kuasa hegemoni oleh Barisan Nasional. Perjuangan yang penting pada kini adalah meruntuhkan kuasa politik Barisan Nasional, supaya melengkapan proses demokrasi.
Jika rakyat masih percaya terhadap bohongan manis BN dan menyokongnya, maka semua ini akan terulang seperti jurang kekayaan, penswastaan perkhidmatan asas, penyelewengan kuasa dan dasar kroni. Jangan biarkan menyesal pada masa depan, kerana berasa lemah dan takut untuk melakukan perubahan.
Pilihanraya umum yang akan datang merupakan peluang perubahan yang sangat penting. Biarkan kami menggulingkan kuasa hegemoni BN bersama-sama, supaya mengubah sistem masyarakat yang teruk. Negara ini telah menunggukan perubahan dengan masa yang terlalu panjang.-Pmium
Front mahasiswa:
PMIUM, SMM , DEMA ,PKPIM , MPMN ,PRO MN , PMIUPM , PRO MAHASISWA UM
Sumber ; http://pmium.org/v3/2011/06/08/3-isu-utama-dituntut-dalam-deklarasi-hari-hak-asasi-mahasiswai/

Wednesday, April 27, 2011

Tiong, AUKU & Mahasiswa

Akhirnya, KEBENARAN membadai penindasan!

Tahniah Tiong Dan Lee Kee!

Pengguguran kes Tiong dan Lee Kee baru-baru ini daripada hukuman oleh mahkamah universiti pada 24 April lalu menunjukkan sesuatu yang amat jelas kepada semua pihak. Mereka berdua tidak bersalah!
Bahkan dituduh dengan melulu tanpa dibenar membuat pembelaan sehingga dinafikan hak untuk membawa saksi sekalipun pihak pendakwa juga menggunakan saksi!

Di sini penulis juga ingin merakamkan jutaan tahniah kepada mereka berdua atas kebenaran tersebut.
Ternyata mereka berdua menjadi mangsa keadaan pihak tertentu yang tidak berpuas hati terutama dalam
pilihanraya kampus 2011 yang telah menceritakan peristiwa kelam di universiti perdana ini.


Penulis juga menyeru kepada mana-mana pihak supaya berhenti daripada mempolitikkan isu ini.
Ini isu keadilan mahasiswa. Keadilan sejagat!

Antara perkara penting juga, jangan dilupakan tarikh 29 April sebagai tarikh ulang tahun seluruh aktivis mahasiswa disergah ke tali gantung yang ternyata sebenarnya teori lemah orientalis bobrok! Maka Auku digubal dan telah dicop mohor oleh YDP Agong pada 29 April 1971!

Sedikit mengenai Auku!

Peningkatan kesedaran berpolitik, impak peristiwa 13 Mei dan pengaruh parti luar ke dalam pertubuhan pelajar membimbangkan kerajaan. Kerajaan berkeputusan mengawal aktiviti politik di kampus. AUKU diwartakan pada 24 Februari 1971 dan diluluskan oleh parlimen pada 17 Mac 1971 dan diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong pada 29 April 1971. Kebangkitan pelajar pada tahun 1974 secara militan dan radikal mendesak kerajaan melakukan pindaan pada AUKU. Pada 8 April 1975, Dr. Mahathir Mohamad mengusulkan agar AUKU dipinda dan ianya dikuatkuasa pada 12 Mei 1975.

Pengarahan kepada AUKU berlaku apabila kerajaan menegaskan pelajar tidak dibenarkan bergabung atau menyokong mana-mana parti politik dan kesatuan sekerja. Penegasan ini merupakan satu kesedaran kerajaan bagi mencegah ketidakstabilan melalui perundangan. Larangan ini termaktub dalam Undang-undang Darurat (kuasa perlu) no. 74, Artikel 150 (2) yang dipinda pada 18 Februari 1971. PMUM membantah perundangan ini, Jai Mohan (Setiausaha Agong) menjelaskan larangan ini akan menjauhkan pelajar dengan rakyat dan menyekat idea pelajar untuk menyumbang ke arah pembangunan. Sokongan pihak pelajar kepada mana-mana pertubuhan politik tidak bermakna pelajar menyokong pertubuhan politik tersebut.

AUKU diusulkan setelah kegagalan Akta Universiti Malaya 1961 yang tidak berkesan mengekang peranan pelajar terutamanya keterlibatan pelajar dalam pilihanraya 1969. Para pimpinan parti oposisi dan pelajar membidas AUKU terutamanya Bahagian III (fasal 15 dan Fasal 16) dan Bahagian V (Seksyen VI Fasal 48, Seksyen VI Fasal 50 dan Seksyen VI Fasal 51). Di Parlimen, Dato Asri meminta AUKU ditangguhkan manakala Lim Kit Siang dan Dr. Tan Chee Khoon mempersoalkan prosedur penubuhan persekutuan pelajar peringkat nasional dan antarabangsa. Kerajaan bersedia melonggar perkara tertentu dalam AUKU tetapi AUKU perlu diteruskan bagi menghalang anasir-anasir subversif dalam gerakan pelajar.

Pada 6 Julai 1971, PBMUM dan PKPM menghantar memorandum kepada kerajaan. Gan Yap Swe, Setiausaha Agung PKPM dan Noordin Razak, Presiden PBMUM yang mewakili 15 pertubuhan pelajar menyatakan AUKU akan membantut pemikiran kritikal dan rasional pelajar. PMUM pula mengadakan forum pada 23 Ogos 1971 dan 9 Disember 1971 disamping sudut pidato pada 4 Disember 1971. Namun, reaksi pelajar tidak berjaya memujuk kerajaan menlonggarkan AUKU.

Pada tahun 1975, kerajaan memugarkan kembali AUKU agar lebih tegas bagi mengekang budaya politik pelajar yang semakin radikal dan revolusioner. Perkara ini terbukti dalam tindakan pelajar sepanjang tahun 1974 terutamanya isu Tasik Utara dan Baling. Menurut Dr. Mahathir Mohamad, AUKU adalah alat mengekang pelajar daripada membuat kacau apabila sesi 1975/76 bermula. Usul agar pindaan AUKU 1975 ditangguh ditolak. Penolakkan penangguhan ini memulakan era baru bagi gerakan pelajar dalam perjuangan mereka.

Tegasnya , Mahasiswa tolak Auku!

Akhirnya, penulis menyeru kepada semua sahabat mahasiswa di seluruh kampus supaya meneruskan
agenda kebangkitan mahasiswa di seluruh kampus dalam Negara. Kita akan terus menjadi lidah rakyat sebagai jurubicara dalam memperjuangkan hak rakyat marhaen yang kini kian terhakis dek kerakusan pihak tertentu demi kepentingan mereka sendiri!

PMIUM optimis dengan tema Bersama Menerajui Perubahan untuk cuba memacu kembali Gerakan Kebangkitan Mahasiswa Malaysia! Tahniah buat seluruh mahasiswa Malaysia!