Friday, April 30, 2010

Sang Murobbi!

AS-SYAHID IMAM HASSAN AL-BANNA (1906-1949)
LETAK JAWATAN SEBAGAI GURU UNTUK BERDAKWAH

hassan al-banna


"...Kupersembahkan jiwa ini ke hadrat Allah dan Ia pula yang akan menyelamatkannya. Inilah perjanjian antara Allah dan seorang hamba-Nya, yang kucatat di sini, dengan guruku sebagai saksi. Apa pun tak bisa mempengaruhinya, kecuali nurani. Siapa pun tak bisa menebusnya, kecuali Tuhan. Hanya mereka yang memenuhi janjinya kepada Allah, berhak menerima imbalannya."

Inilah tekad dan keghairahan jihad seorang pejuang Islam dan pengasas gerakan Islam terkenal, Imam Hassan al-Banna. As-syahid yang gugur pada 12 Februari 1949, menyatakan tekad tersebut sewaktu masih menuntut di pusat pengajian tinggi Darul Ulum, Kaherah.

Janji As-syahid yang dibuat semasa masih berusia lewat belasan tahun dikotakan dalam perjalanan hidupnya sehinggalah beliau kembali ke pangkuan Allah (SWT). Imam Hassan al-Banna dilahirkan pada 0ktober 1906 di desa al-Mahmudiyyah yang terletak di daerah al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir. Beliau berasal dari sebuah perkampungan petani yang terkenal kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam, serta keluarga ulama yang dihormati.

Bapanya Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna adalah seorang ulama, imam, guru dan seorang pengarang terkenal. Beliau berkelulusan Universiti al-Azhar dalam jurusan agama dan banyak dipengaruhi oleh fikrah serta cita-cita perjuangan Syeikh Muhammad Abduh dan Sayyid Jamaluddin al-Afghani. Sungguhpun Syeikh Ahmad al-Banna berkelulusan tinggi, beliau hanya bekerja sebagai pembaiki jam Mahmudiyyah. Masa selebihnya beliau gunakan untuk mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al-Qur'an dan hadis kepada penduduk tempatan. Malah beliau juga adalah pengarang beberapa kitab-kitab hadis dan fiqh perundangan Islam.

Ketokohan, keilmuan dan keperibadian tinggi Syeikh Ahmad al-Banna diwarisi pula oleh anak sulungnya, Hassan al-Banna yang kemudian menjadi pemimpin dan pengasas gerakan Ikhwan Muslimin yang dihormati serta merubah sejarah. Melalui kepimpinan dan didikan Hassan al-Banna, Ikhwan Muslimin menjadi penggerak kebangkitan semula Islam abad ini.

Sifat kepimpinan pemimpin agung ini terserlah sejak beliau masih di sekolah rendah. Beliau menjadi pemimpin badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi yang dikelola oleh gurunya di sekolah. Pada peringkat ini beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh sebuah pertubuhan sufi, al-Ikhwan al-Hasafiyyah. Melalui pertubuhan ini beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang kemudian memainkan peranan penting dalam penubuhan Ikhwan Muslimin.

Pada usia 16 tahun, beliau ke kota Kaherah untuk melanjutkan pelajaran di Darul Ulum. Di sana beliau didedahkan dengan pergolakan parti politik dan aliran-aliran menentang Islam yang dicetuskan oleh gerakan Kamal Ataturk. Yang dilihatnya ialah parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial sekular semuanya terdorong ke arah melemahkan pengaruh Islam.

Beliau kemudian menganggotai pertubuhan Jama'atul Makram al-Akhlaq al-Islamiyyah yang giat mengadakan ceramah-ceramah Islam. Melalui pertubuhan ini, Hasan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata pelosok tempat, di kedai-kedai kopi dan tempat-tempat perhimpunan orang ramai.

Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain. Al-Imam Hassan al-Banna menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Ismailiyyah pada Mac 1928. Ketika itu beliau berusia 23 tahun dan baru mendapat ijazah dari Darul Ulum, serta berkhidmat sebagai guru bahasa Arab di salah sebuah sekolah rendah di bandar Ismailiyyah.

Setelah berkhidmat 19 tahun dalam bidang perguruan, beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusun kegiatan dakwah dengan berkesan dalam masyarakat di bandar itu. Pengalaman ahli jemaah yang dikumpulkan sekian lama menjadikan Ikhwan Muslimin sebuah gerakan yang berpengaruh.

Ternyata Hassan al-Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasi. Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu, memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad seterusnya melaksanakan cita-cita perjuangan Islam dengan tegas.

Ikhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas perang dunia kedua apabila ia turut bertanding di dalam perebutan kuasa politik.

Pengaruh Ikhwan yang kian kuat amat dikhuatiri oleh kerajaan Mesir yang diketuai oleh al-Nukrasi Bassa dari parti al-Sa'di. Ikhwan Muslimin kemudian diharamkan pada 1948 atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Sungguhpun begitu Hassan al-Banna masih dibebaskan dan beliau cuba sedaya upaya menyelamatkan Ikhwan.

Malangnya usaha beliau belum berhasil sehinggalah ditembak pada waktu Zuhur 12 Februari 1949, ketika keluar dari bangunan Ikhwan Muslimin. Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital dan pembunuhan beliau dikatakan telah dirancang oleh polis rahsia kerajaan berikutan kematian perdana menteri yang dibunuh oleh seorang pelajar yang kecewa dengan pembubaran Ikhwan Muslimin.

Jenazah al-Imam Hassan Al-Banna telah dikebumikan dengan kawalan kereta-kereta kebal dan perisai. Orang ramai tidak dibenarkan menghadiri upacara pengebumiannya, yang hadir hanya keluarganya sendiri.

Semoga Allah S.W.T. mencucuri rohnya dengan rahmat Kasih Sayang-Nya.

Disalin semula daripada [www.halaqah-online.com] Oleh Binti Jamaludin

Buat tatapan bersama mengenang perjuangan Syaikh Tarbiah !

Monday, April 26, 2010

Terpilih!

 Pemilihan Mereka Yang Berkeahlian.

 

Tugas perubahan yang sukar itu dituntut oleh Islam untuk melepaskan manusia dari kerendahan jahiliah, dan ianya memerlukan kepada para pemuda sebagai pihak yang berkeahlian dan mempunyai persediaan. Ini memerlukan adanya pemilihan yang baik.

Logik pemilihan ini bukanlah satu perkara baru atau yang diada-adakan. Ia suatu logik yang telah berlaku dalam sejarah bagi melaksanakan perubahan di mana penerimaan umat manusia, persiapan dan kebolehan berbeza dari segi kualiti dan kuantiti. Apa yang mampu dilakukan oleh seseorang itu mungkin tidak mampu dilakukan oleh yang lain, begitu pula sebaliknya. Memang benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw dalam menggambarkan perbezaan manusia dalam memberi dan menerima.

Sabdanya:

'Bandingan apa yang diutuskan oleh Allah kepada aku yang berupa petunjuk dan ilmu adalah bagaikan hujan yang banyak yang menimpa bumi. Bumi itu sebahagiannya baik, ia menerima hujan dan dengan itu menumbuhkan rumput (tumbuhan) yang banyak. Sebahagiannya tidak menumbuhkan tanaman tetapi ia menakung air lalu Allah jadikan manusia mendapat manfaat dengannya untuk minuman dan menyiram tanaman. Dan sebahagian yang lain tidak menakung air serta tidak menumbuhkan tumbuhan. Maka begitulah bandingan mereka yang faham agama Allah. Apabila di beri manfaat yang diutus oleh Allah maka dia belajar dan mengajar. Bandingannya ialah mereka yang tidak diangkat dan tidak menerima petunjuk Allah yang telah diutuskan itu.'

Pemilihan ini digunakan oleh Rasulullah apabila baginda memilih mereka yang mempunyai persediaan dan keupayaan untuk berdakwah sebelum dihantar untuk menyeru kaum qabilah Arab dan manusia umumnya. Prinsip pemilihan ini telahpun berlaku dalam tugas-tugas yang penting.

Pada hari peperangan Khaibar telah bersabda Rasulullah saw:

"Akan aku berikan bendera ini kepada lelaki yang Allah akan membuka Khaibar di
tangannya, dia kasih kepada Allah dan RasulNya dan dia pula dikasihi Allah dan
Rasul-Nya."

Esok paginya semua menemui Rasulullah dengan harapan bendera tersebut akan
diserah kepada masing-masing. Bersabda Rasulullah, "Di mana Ali bin Abu Talib?"
Maka dijawab, "Dia mengadu kesakitan mata." Bersabda Rasulullah, "Jemputkan dia
ke mari."

Ali datang menemui Rasuluilah. Maka Rasulullah pun meludahkan ke dua
mata Ali dan berdoa supaya sembuh, lalu ia segera sembuh seperti tidak pernah
mengalami kesakitan. Maka Rasulullah saw pun memberikan bendera itu kepadanya..."

Al-Quran telah menunjukkan kepada kita akan prinsip pemilihan dalam banyak ayat
dan tempat dalam membentangkan tentang para anbiya' dan mursalin.

Thursday, April 22, 2010

Pesanan!


Sekadar pesanan ringkas...
 
...ingat dua perkara...

...dan lupakan dua perkara...

"...ingat-ingatkanlah kebaikan orang pada kita dan keburukan yang kita pernah lakukan pada orang lain..."

"...lupa-lupakanlah keburukan orang lain kepada kita (maafkanlah) dan kebaikan kita kepada orang lain..."


buat mengingati hakikat diri...

Thursday, April 15, 2010

Let's Do It !


Menyeru manusia kepada Allah s.w.t (ad-da’wah ila Allah) adalah kewajipan setiap muslim dan muslimat di setiap masa. Terutamanya di zaman kita ini, ia lebih wajib kerana umat Islam pada hari ini terdedah kepada serangan jahat musuh-musuh Allah s.w.t yang bertujuan mencabut teras dakwah Islam dari jiwa umat Islam.Menyeru manusia kepada Allah s.w.t adalah satu kemuliaan yang besar kepada pendukung dakwah.

Firman Allah yang bermaksud:

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah,
mengerjakan amal yang soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang
yang menyerah diri.”  (Fushilat: 33)

Menyeru manusia kepada Allah s.w.t menghasilkan pahala dan ganjaran yang besar dan tidak ternilai sebagaimana pengakuan Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Jika Allah s.w.t memberi hidayah kepada seorang lelaki lantaran anda,
itu lebih baik bagimu daripada setiap apa yang disinari matahari.” (Riwayat at-Tabrani)

Menyeru manusia kepada Allah s.w.t dan kepada jalan yang benar, adalah sebaik-baik urusan dan amat perlu diketengahkan, terutama di zaman ini yang berkecamuk dengan pelbagai kefahaman dan ideology, trend semasa yang memperbodoh, menyesat dan menyelewengkan.

 
Menyeru manusia kepada Allah s.w.t adalah salah satu peringkat (marhalah) yang penting dalam amal Islami yang dilakukan secara bersungguh-sungguh. Ia merupakan marhalah ta’arif (memperkenalkan), yang mendahului marhalah takwin (pembentukan). Di sana terdapat dakwah ‘Ammah (dakwah umum) yang dicernakan melalui pidato, ceramah ceramah, majlis-majlis ilmu, media masa seperti buku-buku, risalah-risalah, surat khabar, majalah, kaset dan lain-lain. Di sana juga terdapat dakwah Fardiah (dakwah individu) yang tidak kurang pentingnya.


Ya, dakwah individu yang benar-benar mengajar umat ini supaya beringat tugas dakwah bukan mudah dan semua perlu menjadi pemain utama dalam kerja buat ini. Bukankah contoh terbaik kalangan para sahabat-sahabat Nabi SAW pun sangat menitikberatkan aspek dakwah ini. Keperibadian mereka semua sehingga mampu menarik kaum jahiliyah perlahan-lahan menerima dakwah Islam. Sehingga kemuncak pembukaan kota Makkah! Keberjayaan ini bukankah juga bermula dengan dakwah Fardiah ini??

                                                       Tahajud sebagai bekalan buat para daie!

Seruan ini saya tujukan buat diri yang kerdil ini. Ayuh rakan-rakan, kita kongsikan apa yang pernah Allah anugerahkan pada kita semua. Semoga usaha Dakwah Fardiah yang sedikit ini kan menjadi saksi kelak. Mulakan dengan diri, sebelum mula memberi. Jangan sampai terlupa diri yang selalu dikejar mati!

Thursday, April 8, 2010

Makin Dekat Kian Terasa!


Ayuh bersama mendokong perjuangan Mahasiswa!

Monday, April 5, 2010

Kekuatan Pemuda Islam!

Kenapa Pemuda Islam?


Islam, apabila ia menekankan supaya para pemuda melaksanakan matlamatnya yang menginginkan perubahan, bererti bukanlah diserahkan tugas itu kepada mana-mana generasi sahaja yang tidak mempunyai ciri-ciri tertentu, tetapi terlebih dahulu dimestikan atau dituntut supaya generasi itu mempunyai sifat-sifat Islam dan berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam iaitu berkehendakkan generasi Islam yang tulen.

Para pemuda yang bersifat Islam adalah suatu hal, dan para pemuda tanpa Islam adalah suatu hal yang lain dan tidak ada apa-apa selain dari itu. Para pemuda dengan Islam bererti pemberi, iaitu kebaikan dan pembinaan dan yang tanpa Islam ialah celaka dan bala'. Pemuda ialah suatu tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangunkan dan memakmurkan alam tetapi orang lain mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umat manusia.

Sesungguhnya masyarakat manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda-pemuda tetapi pemuda-pemuda ini hanyalah yang kosong, hanyut dan terbiar;

Pemuda yang tiada peribadi,bersikap seperti kera;

Pemuda yang tiada mempunyai akhlak, yang lebih dekat dengan binatang ;

Pemuda yang dijadikan tentera oleh kuasa-kuasa jahat dan zalim, disusun oleh parti parti kufur dan syaitan;

Pemuda pondan yang tiada kebaikan pada mereka;

Tetapi keberkatan datang bersama pemuda yang tinggi cita-citanya.

Kenapa Perlunya Persiapan Pemuda Islam?

Ada beberapa gambaran yang berbeza di sekitar tugas seorang pemuda Islam dan matlamat dari persiapan mereka itu. Apakah matlamat utama dari persediaan pemuda Islam ini?

Adakah matlamatnya sekadar memelihara dirinya daripada kecundang oleh hawa nafsu dan dorongan-dorongan fitnah, atau setakat supaya dia menunaikan fardhu-fardhu wajib yang ditaklif oleh Allah dan meninggalkan segala larangan Allah? Adakah itu sudah mencukupi?

Atau adakah matlamatnya untuk membekalkan mereka dengan pengetahuan Islam yang cukup yang membolehkan mereka menulis dan bercakap sahaja? Dan adakah matlamat persiapan seorang pemuda Islam bagi untuk menjalankan amal-amal kebajikan, memberikan makan kepada orang miskin, merawat orang sakit dan bersimpati dengan mereka yang menderita sahaja?

Atau adakah sekadar mempersiapkan pemuda Islam supaya boleh menjalankan dakwah Islamiah sekadar melepaskan batuk di tangga?

Atau menjadikan mereka itu berada dalam suatu suasana organisasi pemuda Islam dan cukup setakat itu tanpa mengira samada dia menjadi da'i atau pembimbing sematamata? Pada hakikatnya kita tidak bebas untuk memilih matlamat-matlamat yang di gariskan itu, pada masa dunia Islam berada di bawah pemerintahan sistem 'Taghut', dan Islam berada jauh dari memegang teraju pimpinan.

Sebenarnya, matlamat utama persiapan pemuda-pemuda Islam hari ini ialah untuk melaksanakan matlamat tercapainya 'Qawamah' (penguasaan) Islam terhadap masyarakat dan dunia. Ini memerlukan tugas para pemuda Islam bagi memindahkan pimpinan umat dari tangan jahiliah ke tangan Islam.

Dan juga pemikiran, perundangan dan akhlak jahiliah kepada pemikiran, perundangan dan akhlak Islam.Amal seperti itu dan apa yang diperlukan olehnya, apa yang berhubung dengannya dan apa yang bercabang darinya atau apa yang dituntut olehnya dan juga tujuan terbesar dari persiapan seorang pemuda Islam tadi; perkara-perkara ini hendaklah dianggap penting oleh para pemuda Islam. Ini adalah wajib dari segi syara' dan ianya 
itu tidak akan gugur dari menjadi tanggungjawab mereka sehinggalah Kalimah Allah lebih tinggi, mengatasi kalimah-kalimah orang kafir.

Tujuan 'manhaj' (method) Islam ialah untuk mengembalikan 'ubudiyah' manusia kepada Allah dalam segala urusan hidup mereka. Dalam bidang akhlak dan urusan hidup, dalam bidang undang-undang dan pemikiran mereka. Ini bererti meruntuhkan asas-asas dan pusat-pusat yang menjadi tempat tegak dan berdirinya masyarakat jahiliah dan tamaddun materialisme. Di tempatnya pula ditanam asas-asas supaya tertegaknya sistem Islam.

Ini bermakna bahwa tugas dan peranan pemuda Islam ialah melakukan "Perubahan" dan bukannya menempel atau memperbaiki, dan inilah yang sewajibnya berlaku.

Tugas ini pada hakikatnya adalah tugas yang berat dan sukar tetapi ianya adalah tugas yang dituntut dan tugas selain dari ini tidak mempunyai nilai. Malah tugas yang lain ini akan mem-bawa bencana yang akan menangguhkan kemahuan para pemuda kepada perubahan, malah akan membawa kepada perjalanan seiring dengan realiti jahiliah yang ada dan cuba hidup bersamanya.

Dipetik dan diolah daripada buku Generasi Pemuda Dan Perubahan karangan Syeikh Fathi Yakan.

AYUH!


JOM MAIN FUTSAL!