Thursday, October 2, 2008

Mengapa Insan Mencari Agama

Artikel 06

Islam bukan agama ikutan dengan serba kejahilan tetapi Islam adalah ad-Din kefahaman dan penghayatan. Kefahaman dan penghayatan adalah satu-satu cara untuk mempertahan dan memperkukuhkan umat. Dukacita apabila orang Islam sendiri tidak berusaha memahami Islam apatah lagi untuk benar-benar menghayati dan menyampaikannya .


Dalam konteks dakwah, betapa kita umat Islam bertanggungjawab untuk menyampaikan Islam yang sebenar kepada mereka yang bukan muslim. Malangnya kebanyakan umat Islam bahkan hampir keseluruhannya begitu agal melaksanakan tugasan ini. Setiap hari kita berurusan dengan mereka yang non-muslim atau bukan muslim tetapi sepatah pun dari dakwah Islam tidak kita sampaikan kepada mereka sehingga mereka terus terbabas tanpa dihulurkan sebab-sebab untuk sampai kepada hidayah. Lebih malang dari itu, kita kadang-kala memberikan gambaran yang buruk tentang Islam terhadap mereka. Apakah kita tidak merasai betapa kita akan dipersoalkan di hadapan Allah di akhirat kelak di atas kecuaian ini...


Saya begitu tertarik dengan apa yang diceritakan oleh as-Syeikh `Ali at-Tontawi dalam bukunya Ta’rif al-`Am bi Din al-Islam, katanya:"Pernah aku bertanya kepada para pelajarku, "Sekiranya datang kepada kamu seorang lelaki asing dan berkata kepada kamu bahawa dia hanya ada waktu sebanyak sejam sahaja dan ingin memahami apakah Islam dalam tempoh tersebut? Bagaimanakah kamu boleh memahamkan Islam kepadanya dalam tempoh sejam?. Mereka menjawab: "Ini mustahil, dia mesti mempelajari tauhid, tajwid, tafsir, hadith, fiqh, usul fiqh, melibatkan diri dalam perbahasan masalah-masalah agama, dan dia tidak akan tamat melainkan setelah lima tahun". Aku pun berkata: "Subhana Allah! Adapun seorang `arab badawi datang menemui Rasulullah s.a.w. dan tinggal bersama baginda selama sehari atau setengah hari lalu mengetahui Islam lantas membawanya kepada kaumnya. Selepas itu, dia menjadi pembimbing dan guru, menjadi pendakwah dan mubaligh untuk Islam. Lebih dari itu, Rasulullah pernah mensyarahkan ad-Din keseluruhannya (dalam hadith Jibril) dalam tiga ayat sahaja. Baginda berbicara dalamnya mengenai Iman, Islam dan Ihsan....Kenapa tidak kita hari ini mensyarahkan Islam dalam tempoh satu jam!!?"

[m.s. 27, Dar al-Wafa, Mesir]


Demikian menariknya tokoh pendakwah Islam yang terkenal ini mengemukakan contoh kesilapan dalam menguruskan dakwah. Ya! Kebanyakan kita apabila diminta memulakan dakwah terutama kepada bukan muslim dia akan bertanya "Apakah perkara pertama yang hendak diterangkan?". Inilah persoalan yang bermain di kepala kebanyakan muslim ketika di minta berdakwah. Lebih malang lagi ada yang penerangannya bermula dengan masaalah berkhatan...


Ada pula yang apabila menemui seseorang yang baru menganut Islam atau ingin memahami Islam maka dia mengatakan "Engkau wajib menghafal sifat duapuluh dengan perbahasan falsafahnya jika tidak iman engkau tidak dikira sah dan solat kau juga tidak bermakna....


Ini semua adalah contoh golongan yang menyusahkan manusia mendekati dan memahami Islam dengan cara yang jelas dan diterima.


Manusia Dan Agama


Sesiapa sahaja yang memiliki akal yang waras pasti akan mencari hakikat di sebalik kehidupan yang dirasai dan disaksikannya. Jiwa insan yang sempurna tidak akan terhenti bertanya tentang rahsia kehidupan ini. Allah telah menfitrahkan insan iaitu memberikan sifat di dalamnya jiwanya perasaan ingin mengetahui. Apatah lagi jika sesuatu itu berkait langsung dengan diri insan itu sendiri.


Berbagai perkara sering kita lihat dalam kehidupan ini, sebahagian daripadanya kita gagal memberikan jawapan yang tepat mengenainya jika tidak dibimbing oleh cahaya petunjuk yang sebenar.


Sebab itu jika diandaikan ada seorang bayi yang dihanyutkan air sehingga ke sebuah pulau yang tiada penghuni dari keturunan manusia. Sekiranya dia ditakdirkan hidup sehingga dewasa dan akalnya tidak cacat pasti dia sering bertanya dalam dirinya bagaimana dia boleh wujud di alam ini atau hadir ke pulau tersebut. Sekalipun tanpa bimbingan agama dia tetap akan bertanya siapakah yang menjadikan dirinya dan alam yang dia lihat. Mengapa mesti dia hidup. Perasaan dan jiwanya akan memberontak bertanya tentang hakikat diri. Sehingga akhirnya, jika jiwanya tidak dibimbing dengan hidayah tentu dia akan mengagak objek-objek tertentu yang dikagumi atau digeruninya sebagai punca pergantungan harapan atau dalam kata lain sebagai tuhan dalam kehidupannya. Begitu bermulanya agama yang tidak dibimbing oleh wahyu sebenar.


Sebabnya ini adalah sifat yang sudah wujud dalam jiwa insan iaitu keinganan mengetahui rahsia alam sekaligus desakan jiwa untuk mencari tuhan.


Allah menggambarkan hal ini di dalam al-Quran melalui watak yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s., firman Allah dalam menceritakan kisah ini:


Maksudnya:

Dan demikian itu kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan kami yang terdapat di langit dan di bumi agar dia termasuk di dalam orang-orang yang yakin. Ketika malam telah menjadi gelap dia (Ibrahim) melihat sebuah bintang (lalu) dia berkata: "Ini adalah tuhanku". Tetapi apabila bintang itu hilang dia berkata aku tidak suka kapada yang lenyap". Kemudian apabila dia melihat bulan terbit dia berkata "Ini adalah tuhanku". Namun apabila bulan itu hilang dia berkata: "Sesungguhnya jika tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku tentu aku termasuk dalam golongan yang sesat". Kemudian apabila dia melihat matahari terbit dia berkata, "Inilah tuhanku, ini lebih besar". Namun apabila matahari itu hilang, dia berkata "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu semua sekutukan. Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada tuhan yang mencipta langit dan bumi dalam keadaan cenderung kepada agama yang benar dan aku bukan termasuk dalam golongan yang mempersekutukan tuhan.

[Surah al-An`am ayat 75-79]


Demikian Al-Quran menggambarkan peribadi insan yang waras dan sempurnaan nilai keinsanannya iaitu senantiasa mencari tuhan yang sebenar. Jika insan tidak dibimbing oleh petunjuk dari tuhan yang sebanar maka pasti dia akan tersesat.


Manusia Dan Persoalan


Insan yang waras senantiasa menimbulkan tanda tanya tentang tuhan atau dalam kata lain bertanya "siapakah yang telah menjadikan dirinya dan alam di sekelilingnya". Akal yang waras meyakini bahawa dirinya tidak muncul dengan kehendaknya tetapi tentulah adanya kuasa yang maha agung yang menciptakannya. Tidak terhenti untuk itu sahaja, dia tentu juga merasai keperluan diri bergantung kepada zat yang agung itu kerana dalam hidup dia pasti menghadapi peristiwa-peristiwa yang terjadi tanpa pilihan atau kemampuannya. Perasaan mencari tempat pergantungan akan terus timbul dan keperluan kepada pertolongan tuhan akan benar-benar dirasai oleh setiap insan. Seterusnya, apabila insan memerlukan tuhan tentu insan ingin mengetahui kehendak atau tuntutan tuhan terhadap dirinya. Ini bagi memboleh insan merasai tuhan bersamanya dan merestuinya. Insan melihat berbagai kejadian dan peristiwa di alam ini, ada golongan yang baik dan ada pula yang jahat. Ada golongan golongan yang zalim dan ada pula yang dizalimi. Ini sekali lagi mendesaknya bertanya "Apakah kesemua ini akan berlaku begitu sahaja. Apakah yang zalim tidak ada sebarang tindakan tuhan terhadapnya sedangkan dia telah menzalimi hamba tuhan yang lain. Apakah selepas adanya penindasan dan penginayaan maka hidup pun hilang begitu sahaja. Apakah sama antara hamba yang ingin mentaati tuhan dengan yang memusuhi tuhan?


Demikianlah berbagai persoalan timbul yang mendesak jiwa insan sekaligus membawa sekali lagi insan bertanya ke manakah perginya manusia selepas berakhirnya kehidupan di dunia ini...


Perumpamaan Yang Menarik


Dr. Muhammad Sa`id Ramadhan al-Buti telah memberikan perumpamaan yang menarik dalam bukunyaMadkhal ila Fahm al-Juzur katanya: "Apa pendapat kamu mengenai seorang insan yang membuka kedua matanya selepas tidur yang panjang, dia yang sebelum ini berada di atas katil di dalam bilik tidurnya, tiba-tiba dia dapati diri berada di dalam salah satu gerabak keretapi. Dia dibawa oleh suatu perjalanan ke arah yang dia sendiri tidak tahu. Merentangi bukit-bukau dan lurah yang dia tidak pernah dia lihat dan tahu mengenainya.


Siapakah yang membawa dan meletakkan dia di dalam keretapi tersebut? Bilakah perkara ini bermula? Siapakah yang sedang memandunya? Siapakah pula yang menyusun dan mengatur perjalanannya? Apakah yang orang tersebut mahu daripadanya secara peribadi selepas ini?

Sesungguhnya dia benar-benar tidak tahu semua ini.....!


Apakah anda berpendapat insan berkenaan boleh menutup fikiran dari segala persoalan tersebut? Bolehkah dia merehat urat sarafnya dari terus mendesak dan mencari jawapan mengenai apa yang dia tidak tahu itu?. Bolehkah kemudiannya dia terus asyik berseronok suka dengan melihat jalanan yang cantik dan pandangan yang asing?


Samaada gerabak tersebut dipenuhi dengan peralatan mewah dan terhias dengan segala perkara yang melalaikan, atau ianya dipenuhi dengan perkara yang menduka dan menyusahkan, namun apakah mungkin untuk dia menjadikan semua itu melupakan dia dari apa yang didesak kepadanya oleh tekanan fikiran dan akalnya? Juga dari kerisauan dan kekeliruan disebabkan keadaan yang tanpa pilihannya, dia dalam lautan kejahilan.


Sekalipun demikian, namun masalah tersebut adalah masih kecil lagi terhad, bilamana keluasan keretapi tersebut adalah terhad dan dalam lingkungan alam yang diketahui tanda-tanda dan kebiasaanya. Ini kerana, bagaimana sekalipun ia bergerak ke timur atau ke barat ia sama sekali tidak akan keluar dari ruang lingkupnya dan tidak akan melepasi melainkan dalam lingkungan bumi.


Namun masalah tersebut bertukar menjadi besar dan begitu besar bilamana keretapi tersebut adalah alam ini keseluruhannya. Bilamana pergerakannya itu adalah merupakan keadaan rangkaian kehidupan insan....[m.s. 6-7, Cetakan Dar al-Fikr al-Mu`asir, Lubnan]


Demikian Muhammad Sa`id Ramadhan al-Buti cuba membayangkan keadaan insan yang sejak kecil membuka matanya dan melihat alam serta pergerakan di sekelilingnya. Juga yang lebih penting melihat dirinya sendiri serta rangkaian perjalanan hidupnya. Apakah tidak terdesak jiwanya untuk bertanya tentang hakikat diri, apakah keadaan yang sedang dihadapinya dan apakah kesudahannya nanti? Mungkinkah pengaruh suasana sekelilingnya boleh atau mampu melupakan dia untuk mencari jawapan bagi erti kehidupannya? Kalaulah ada insan yang demikian tentulah dia sejahil-jahil manusia secara mutlak kerana dia telah lalai memikirkan perkara yang menjadi dasar insan berakal.


Perlunya Hidayah Islam


Persoalan-persoalan ini walaupun muncul dari fitrah manusia dan ianya sesuatu yang sangat baik untuk membolehkan insan mencari kebenaran namun jika insan tanpa bimbingan hidayah atau petunjuk dari Allah, persoalan-persoalan tersebut juga boleh menjadi punca insan sesat dengan sesesatnya. Jika insan tidak dibimbang dengan petunjuk daripada Allah maka persoalan-persoalan tadi terus mencari berlegar dalam fikiran insan dan akhirnya mereka mencipta jawapan yang salah lagi sesat dalam kehidupan. Jika petunjuk sebenar tidak sampai kepada insan maka tuhan-tuhan palsu pasti akan muncul, kehendak-kehendak tuhan secara palsu juga akan diandaikan dan alam selepas kematian akan dibayangkan mengikut kehendak fikiran dan kepentingan tertentu. Akan ada yang mengambil kesempatan dari kehendak atau tuntutan fitrah tersebut dengan mencari kepentingan dunia lalu mencipta ajaran agama untuk kepentingan diri dan harta. Maka lahirlah agama-agama palsu di atas muka bumi.


Allah Tuhan Yang Sebenar tidak akan membiarkan insan tenggelam dalam kesesatan tanpa bimbingan hidayah yang asli dariNya sendiri yang menciptakan alam keseluruhannya serta Maha Berkuasa dengan penuh keagungan. Untuk itu, setiap umat diutuskan Rasul yang membawa ajaran Islam bagi memberikan jawapan sebenar terhadap persoalan insan dalam hidup. Para Rasul bukan mencipta ajaran mengikut akal mereka tetapi mereka menyampaikan ajaran daripada Allah Yang menurunkannya kepada mereka menerusi proses yang dinamakan wahyu. Tiada siapa yang berhak berbicara mengenai Allah melainkan Allah sendiri dan perbicaraan Allah itu telah disampaikan kepada sekelian insan menerusi para Rasul. Para rasul bukan sekadar memberitahu tetapi membimbing dan mendidik. Rasul yang terakhir ialah Muhammad bin `Abdillah yang membawa ajaran Islam dari Allah.

Firman Allah: (Maksudnya):Sesungguhnya ad-Din (agama) di sisi Allah ialah Islam.

[Surah Ali `Imran ayat 19]


Firmannya lagi: (Maksudnya):


Sesiapa yang mencari selain dari Islam sebagai agama maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak termasuk dari kalangan mereka yang rugi.[Surah Ali `Imran ayat 85]


Maka kedatangan Islam daripada Allah yang mencipta alam dan segala isinya telah memberikan jawapan yang sebenar kepada semua persoalan tersebut. Nabi Muhammad s.a.w. adalah kesinambungan dalam menyampaikan risalah dari Allah dan memberikan jawapan kepada persoalan insan.


Justeru itu wajib kepada semua insan -tanpa kecuali- yang hidup selepas kedatangan Nabi s.a.w meyakini, menerima dan menghayati ajaran Islam yang bawa oleh Muhammad bin Abdullah, utusan Allah yang akhir itu demi keselamatan kehidupan mereka yang hakiki.


Setiap insan tahu bahawa dia tidak datang ke dunia ini dengan kebijaksanaannya. Tidak juga kerana kebijaksaan kedua ibubapanya.


Kalaulah insan wujud di dunia dengan pilihan dan kebijaksanaannya tentulah semua insan dapat menentukan rupa paras yang cantik lagi menawan bagi diri dan keluarganya. Tentu kesemuanya memilih untuk lahir di tengah banglo atau istana mewah dan keluarga yang kaya-raya. Namun keadaannya tidak begitu. Hinggakan pasangan suami isteri pun sama sekali tidak boleh memilih paras rupa anak yang bakal lahir. Kalau hal ini boleh ditentukan sudah pasti setiap insan lahir dalam keadaan paling sempurna. Namun ternyata ianya di luar kawalan insani.


Ini semua menyedarkan insan bahawa adanya suatu kuasa yang Maha Agung yang mewujudkan manusia dengan kehendakNya. Dia adalah Allah. Dia tidak akan mempersoalkan insan tentang keputusan yang dipaksa ke atas mereka seperti hitam atau putihnya warna kulit seseorang, siapa ibu atau bapanya, di mana negeri kelahirannya, mengapa dia tidak pintar atau cerdas, sempurna atau cacat dan seumpamanya. Dia hanya akan menyoal apakah mereka telah menunaikan tanggungjawab yang Dia wajibkan ke atas mereka. Adapun segala kejadian tanpa pilihan insan itu adalah bagi mewujudkan sistem hidup di alam ini dan menyedarkan insan betapa mereka semua bergantung kepada Tuhan, Allah Yang Maha Esa.


Firman Allah di dalam al-Quran:


Maksudnya:

Dan Allah telah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu apa pun. Diaa menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, mudah-mudahan kamu bersyukur.

[Surah an-Nahl ayat 78]


Firman Allah dalam al-Quran lagi:

Maksudnya:

Dia (Allah) membuat setiap yang Dia cipta sebaik-baiknya (yang paling sesuai) dan Dia telah memulai penciptaan manusia dari tanah. Kemudian Dia telah menciptakan keturunannya dari saripati air yang hina. Kemudian Dia menyempurnakan dan meniup ke dalam tubuhnya ruh dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, tetapi sedikit sekali yang bersyukur.[Surah as-Sajdah ayat 7-9]


Berbagai-bagai lagi sifat dan ciri insan yang Allah bentangkan di dalam al-Quran bagi menggambarkan betapa setiap insan faqir kepada Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.


Apabila menyedari diri sebagai makhluk (yang diciptakan) dan Allah sebagai Khaliq (Pencipta) dengan segala rahsia ciptaan dan kehebatannya maka timbulnya perasaan kehambaan dan mengharapkan Allah dalam segala hal. Timbulnya perasaan bergantung serta bertawakal kepada Allah.


Bahkan Allah juga telah membekalkan ke dalam jiwa manusia secara fitrah atau sejak kelahirannya beberapa sifat dan perasaan secara tersedih dari sisi Allah. Dibekalkan kepada insan sifat kasih-sayang, perasaan marah, perasaan sedia, perasaan ingin dihargai, ingin dikasihi, perasaan cinta antara lelaki dan perempuan dan berbagai lagi. Antara yang paling nyata dibekalkan tuhan dalam jiwa insan adalah sifat atau perasaan merasai kewujudan Tuhannya. Sebab itu kita dapat saksikan walau di mana pun manusia berada mereka tetap mempercayai Tuhan. Sekalipun ajaran agama tidak sampai kepada seseorang namun hati nuraninya tetap bertanya tentang Tuhan.


Golongan yang mengaku diri mereka komunis pun pada hakikatnya tetap merasai kewujudan Tuhan. Sifat ego sahaja yang menjadikan lidah mereka menafikannya.


Adapun golongan mereka yang mendakwa free-thinker atau bebas dari segala ikatan kepercayaan atau agama meraka sebanarnya bukan tidak percaya tentang adanya Tuhan tetapi mereka terkeliru dalam menentukan "siapakah Tuhan yang sebenar, sifatNya, juga apakah ajaran yang sebenar dariNya?" Mereka terkeliru dengan agama-agama palsu yang mereka lihat. Atau nafsu mereka ingin bebas dan bermaharaja agar mereka boleh melakukan apa sahaja tanpa ikatan agama. Sebab itu kita lihat apabila Islam yang sebenar diterangkan kepada mereka dengan jelas kita mendapati kebanyakan daripada mereka bersegera menyahut panggilan hidayah Islam dengan rela dan gembira..


Di atas ciri ini, maka Allah yang menciptakan manusia, menyebut di dalam al-Quran tentang golongan kafir yang menentang Nabi s.a.w.:


Maksudnya:

Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka (golongan kafir); "Siapakah yang menjadikan yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan (mentadbir) matahari dan bulan?" Tentu mereka akan menjawab "Allah", maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar) [Surah al-'Ankabut ayat 61]


Menentukan Tuhan Yang Sebenar


Kesimpulannya, manusia semuanya percaya wujudnya Tuhan tetapi mereka gagal menentukan bagaimanakah Tuhan yang sebenar. Bagaimanakah sifatNya dan jalan menghampiri diri kepadaNya. Lalu mereka meramalkan Tuhan mengikut fikiran dan suasana masing-masing. Ada yang meramalkan Tuhan itu seperti manusia atau seperti binatang yang besar atau beranak-pinak atau apa sahaja yang terlintas di fikiran mereka. Pengikut ajaran hindu umpamanya, mereka membayangkan Tuhan itu seperti orang-orang India. Mereka mengukir bentuk Tuhan dengan rupa paras orang-orang India. Mata, warna kulit, bentuk badan dan segala-gala seperti rupa bangsa mereka. Seakan-akan Tuhan hanyalah untuk manusia di negeri India sahaja. Begitulah juga agama-agama lain yang menyesatkan. Mereka mengukir atau melukis dengan tangan mereka lalu mereka menyembahnya.


Ada juga manusia yang memilih Tuhan berdasarkan apa yang dia takuti. Bilamana dia kagum atau gerun dengan pokok yang besar atau sungai atau laut lalu mereka merasai di situ bertahtanya tuhan lalu mereka menyembahnya, ini seperti kebanyakan suku kaum yang hidup di hutan.


Demikian gambaran kekeliruan manusia dalam mencari Tuhan yang sebenar.


Keterbatasan `Akal


Insan pasti akur bahawa segala kemampuannya sekali pun hebat ada had atau batasan yang dia tidak dapat lakukan. Mata yang dimilikinya ada batasan jarak, bentuk, warna yang tidak mampu dilihatnya. Telinga yang dimiliki ada batasan gelombang yang tidak mampu di dengar.


Bahkan kalau insan menulis angka dari satu hingga sepuluh di dalam sepuluh keping kertas yang kecil lalu dimasuk kesemuanya -secara bercampur- ke dalam sakunya dan diminta supaya dia mengeluarnya semula menurut susunan satu hingga sepuluh tanpa melihat kepada kertas-kertas tersebut, sudah pasti dia tidak mampu mengeluarkan secara tertib dan teratur kerana matanya tidak dapat mengesan, sekali kertas-kertas itu berada dalam sakunya sendiri.


Demikianlah keterbatasan jangkauan insan. Maka akal insan juga amat terbatas. Bukan semua perkara boleh dirumuskan oleh akal. Kalau hanya sepuluh keping kertas insan tidak dapat mengagaknya dengan tepat bagaimana insan ingin memikirkan tentang diri Tuhan yang sebenar, sifat Tuhan yang sebenar, kehendak atau tuntutan Tuhan kepada insan dan apa yang bakal Tuhan lakukan kepada insan. Ini semua gagal dicapai oleh insan tanpa bimbingan dari Tuhan sendiri melalui pengutusan para Rasul.

Tanggungjawab Menyokong Perniagaan Muslim



Sikap tolong menolong, bantu membantu dan jamin-menjamin sesama muslim di dalam perkara makruf atau kebaikan adalah merupakan tuntutan al-ukhuwwah al-Islamiyyah (persaudaraan Islam). Seseorang muslim sentiasa berusaha membantu saudara muslimnya yang lain. Membantu sesama muslim adalah antara tanggungjawab yang mesti dipikul oleh bahu setiap yang beriman dengan ayat Allah (maksudnya) “Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara” (Surah al-Hujurat ayat 10). Bagi membuktikan persaudaraan islam yang tulin, baginda Nabi s.a.w. menghuraikan di dalam hadithnya, daripada Abi Musa r.a., sabda Nabi s.a.w.: “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain”. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Seperti yang kita maklumi, pembabitan umat Islam di tanahair kita dalam bidang perniagaan masih dalam keadaan yang tidak kukuh. Para peniaga muslim menghadapi cabaran yang kuat di sudut persaingan. Agak sukar untuk kita dapati pasaraya-pasaraya besar dimiliki oleh muslim atau memasarkan barangan keluaran muslim. Ini berlaku disebabkan faktor-faktor tertentu, mungkin salah satunya perkauman.


Di samping itu kedai yang dimiliki oleh umat Islam juga jumlahnya terhad. Demikian juga barangan produk muslim lebih terhad. Lebih daripada itu, kita dapati agak sukar selain daripada muslim membeli barangan produk umat Islam. Keadaan ini tentu akan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam sendiri tidak membeli di gerai, kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh saudara muslim mereka. Demikian juga keadaan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam tidak membantu membeli produk muslim.

Padahal dalam keadaan sebeginilah setiap umat Islam lebih dituntut melahirkan sikap persaudaraan Islam. Menghasilkan produk keluaran muslim adalah suatu kewajipan agar kita bebas dan tidak bergantung kepada orang lain. Demikian juga membeli produk muslim, atau di kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh orang Islam adalah kewajipan agar tanggungjawab tersebut berjaya disempurnakan. Juga menunaikan tanggungjawab bantu membantu dalam menguatkan umat. Ianya juga menguatkan ekonomi umat. Sekiranya individu umat memiliki kuasa harta serta mereka beriman dan beriltizam, maka masyarakat Islam sekaligus akan menjadi kuat. Al-Syeikh Mustafa Khin di dalam Nuzhah al-Muttaqin ketika menghuraikan hadith “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain” di atas, menyebut: Bandingan yang dibuat dalam hadith ini bertujuan menggalakkan bantu membantu dan tolong menolong sesama mukmin. Ini adalah perkara yang mesti dilakukan, kerana pembinaan umat tidak akan sempurna dan berhasil kecuali sebahagian umat membantu dan menguatkan sebahagian yang lain. Seorang mukmin tidak dapat bersendiri dalam urusan dunia dan agamanya, ianya semesti memerlukan pertolongan dan bantuan saudaranya yang mukmin. Jika tidak, dia akan gagal menunaikan tanggungjawabnya dan akan cacatlah peraturan dunia dan akhiratnya serta akan termasuk dalam golongan yang binasa (Mustafa al-Khin, Nuzhah al-Muttaqin, jld 1, m.s. 199,cetakan: Muassasah al-Risalah, Beirut).

Jika ada peniaga muslim di sesuatu tempat, pembeli muslim yang lain hendak membantunya dengan membeli daripadanya. Janganlah dijadikan perbezaan harga yang sedikit menjadi ukuran. Ini kerana kita tahu, kekuatan ekonomi saudara kita masih lemah dalam menghadapi persaingan. Jadikan akidah dan persaudaraan lebih utama, dan anggaplah membeli daripada saudara kita yang muslim adalah ibadah.

Demikian juga jika ada barangan keluaran muslim, pembeli muslim yang lain hendaklah membeli daripadanya. Jangan jadikan perbezaan rasa dan kualiti yang sedikit, menyebabkan kita menggadaikan persaudaraan kita. Membeli barangan saudara kita yang muslim adalah ibadah. Apatah lagi dalam keadaan kita sedang berusaha membangkit umat yang kebelakang dalam persaingan ekonominya. Ini semua menunaikan apa yang digesa di dalam hadith yang sahih, sabda Nabi s.a.w: “Bandingan golongan mukminin di dalam kasih-sayang, simpati dan tolong menolong antara satu sama lain seperti satu jasad. Sekiranya satu anggota mengadu kesakitan, maka seluruh anggota akan berjaga malam dan demam panas” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Bayangkan kalau semua rumah muslim menggunakan barang keperluan makanan hariannya seperti rempah, sos, kicap, minyak masak dan lain-lain keluaran muslim, betapa kita telah menguatkan ekonomi saudara-saudara kita para peniaga muslim, dan memastikan wang kita sebagai pembeli muslim mengalir kepada saudara kita muslim yang lain. Terngamakkah kita menggunakan barangan “orang lain” dan meninggalkan barangan saudara muslim kita. Iman yang tulin membantah tindakan ini. Bahkan dalam arus persaingan yang ada, kita sebenarnya mengkhianati saudara kita para peniaga muslim, yang sedang melaksanakan fardu kifayah mengeluarkan barangan tersebut. Sabda Nabi s.a.w.: “Seorang muslim itu saudara muslim yang lain. Dia tidak akan mengkhianatinya, mendustainya dan menghinanya. Setiap muslim haram (mencemar) maruah, harta dan darah muslim yang lain. Taqwa itu di sini (hati). Cukuplah untuk dianggap seseorang melakukan kejahatan dengan dia menghina saudara muslimnya. (Riwayat al-Tirmizi, kata hadith ini hasan. Kata al-Sakhawi: Ianya hasan sahih)

Ibn `Allan (meninggal 1057H) ketika menghuraikan maksud “tidak mengkhianatinya”, berkata: “mengkhianatinya ialah mengurangkan haknya yang mesti ditunaikan iaitu tolong menolong dan bantu membantu” (Ibn `Allan, Dalil al-Falihin, jld. 1, m.s. 17, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut)

Hadith-hadith lain begitu banyak yang menunjukkan betapa seorang muslim wajib menolong saudaranya muslim yang lain. Seperti yang disebutkan tadi, suasana persaingan yang ada menuntut untuk semangat ukhuwwah dipertingkatkan. Malangnya sebahagian kuliah-kuliah hambar di masjid dan surau tidak menekan peri pentingnya hal ini. Sehingga kita menjadi lemah. Pengusaha-pengusaha muslim tidak mendapat sokongan daripada saudara seakidahnya sendiri.

Bayangkan sekiranya setiap kedai makan dan restoran yang dimiliki oleh orang muslim yang tumbuh bagaikan cendawan kebelakangan ini menggunakan produk buatan muslim, betapa kita berjaya menguatkan ekonomi umat membantu antara satu sama lain. Bayangkan setiap perniagaan muslim mendapat sokongan daripada saudara muslim yang lain. Tentu wang umat akan berkisar sesama umat dan penglibatan muslim dalam bidang perniagaan akan dapat ditingkatkan.

Berdasarkan hadith-hadith yang disebutkan, nyata membeli barangan muslim dengan niat persaudaraan Islam dan ingin membantunya adalah ibadah. Dalam kata lain, pembeli muslim bukan sahaja memperolehi barang, tetapi dia juga memperolehi pahala. Jika ada sedikit sebanyak kekurangan, dalam suasana lemah dan persaingan yang ada, kita hendaklah menasihati saudara kita penjual muslim dan bersabar.

Di sudut para peniaga muslim pula, mereka hendaklah mengamalkan akhlak Islam dalam perniagaan. Proses menghidupkan suasana tolong menolong di dalam memajukan perniagaan muslim tidak akan berjaya jika tidak wujudnya kesedaran dari kedua belah pihak. Perkara yang paling buruk sekali di dalam perniagaan ialah penipuan. Peniaga muslim ketika mengendalikan perniagaan, atau mengeluarkan produknya hendaklah amanah dan sama sekali mengelakkan anasir penipuan di dalam perniagaan. Para penipu umat tidak termasuk di kalangan umat Nabi s.a.w. dan tidak layak mendapat pertolongan di dalam kalangan masyarakat muslim yang kita idamkan. Dalam hadith riwayat Muslim, Rasulallah s.a.w. lalu di hadapan selonggok makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangan baginda ke dalamnya. Kemudian di dapati jari baginda lembab. Bagianda bertanya: Apa ini wahai tuan punya makanan?. Jawabnya: Ianya terkena hujan, wahai Rasululallah!. Baginda lantas bersabda: “Mengapa engkau tidak letak ianya di atas, sehingga orang boleh lihat?!!. Sesiapa yang menipu kami dia bukan dari kalangan kami”. Di dalam hadith yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bagi setiap yang belot (menyalahi janji) ada bendera pada hari kiamat, dikatakan inilah pengkhianat si pulan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata Dr. Muhammad `Ali al-Hasyimi: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. begitu keras terhadap penipuan, tipu daya dan pemungkir janji, tidak memadai sekadar mencampak jauh penipu dan pengkhianat janji dari masyarakat muslimin di dunia, bahkan mengistiharkan bahawa setiap pemungkir janji akan dihimpunkan pada hari kiamat dalam keadaan dia membawa bendera penipuan” (Dr. Muhammmad `Ali al-Hasyimi, Syakhsiah al-Muslim, m.s. 164, cetakan: Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut)

Berbekalkan perasaan takutkan azab Allah pada hari kiamat, para peniaga muslim mengeluarkan produknya, atau mengendalikan perniagaan dengan penuh amanah dan tanpa sebarang tipu daya. Masyarakat Islam pula berusaha membeli barangan para peniaga saudara muslim mereka yang dijamin kejujurannya. Para pembeli dalam masyarakat Islam beribadah ketika membeli, sementara para peniaga pula beribadah ketika menguruskan peniagaan dengan jujur dan amanah. Hasilnya para peniaga muslim mendapat jaminan pasaran daripada saudara-saudara muslim mereka, sementara para pembeli mendapat barangan yang dijamin kejujuran pengurusan dan produknya. Jaminan ini tidak tertera di atas kertas perjanjian rasmi, tetapi ianya adalah jaminan iman dan taqwa yang melahirkan ukhuwwah islamiyyah atau persaudaraan islam yang melebihi segala persaudaraan dan perjanjian. Firman Allah: “Bertolong menolonglah kamu di dalam kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong menolong di dalam dosa dan permusuhan” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Di samping itu, perlu diingatkan bahawa para peniaga muslim perlulah memastikan kualiti dalam pengeluaran dan pengurusan. Ini kerana sikap yang amanah sahaja, tanpa kualiti barangan tidak akan dapat memenuhi sasaran. Al-Quran menyebut: "Sesungguhnya sebaik-baik orang yang hendak engkau ambil bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai)."(Surah al-Qasas, ayat 26). Kelayakan mengendali sesuatu urusan mestilah bergabungnya dua faktor; pertama amanah, kedua; kemampuan atau kemahiran. Sekiranya peniaga muslim menggabungkan di dalam dirinya sikap amanah berserta kualiti perniagaan, maka dia memberikan khidmat yang memuaskan hati umat yang sedang bersiap untuk membantu mereka dengan cara membeli produk-produk yang dikeluarkan. Bersemaraklah suasana tolong menolong di atas dasar taqwa.

Juga antara ciri tolong-menolong ialah memudahkan pembeli. Sebagai contohnya; adalah mendukacitakan, apabila kita dapati ada kedai runcit muslim yang sebahagian barangan penting yang menjadi keperluan tidak dijual di dalamnya. Bila ditanya, jawab empunya kedai “untungnya tidak seberapa” atau “untungnya tipis”. Tidakkah dia berfikir sekiranya dia menyediakan barangan tersebut dia telah memudahkan pembeli yang datang ke kedainya, supaya mereka tidak perlu ke kedai lain lagi. Dalam masa yang sama ianya adalah tarikan kepada pembeli dan memudahkan urusan mereka. Memudahkan urusan orang lain adalah ibadah, dan juga membawa faedah kepada perniagaan. Perkara seperti ini sepatutnya difahami dengan baik oleh peniaga muslim. Dalam hadith Nabi s.a.w. bersabda: “..engkau menolong orang lain mengangkat barang ke atas kenderaannya adalah sedekah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Tentulah peniaga yang menolong pembeli memudah kerja pembelinya adalah sedekah. Demikian dia berniaga dan beribadah.

Hendaklah kita semua meniru apa yang dilakukan oleh kaum al-`Asy`ariyin (kaum Abu Musa al-`Asy`ari) yang sentiasa tolong menolong antara mereka. Rasulullah s.a.w. memuji mereka, sabda baginda: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila keluar berperang, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maksud “ Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” ialah menggambarkan redhanya Nabi s.a.w. dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati ketaatan kepada Allah.

Hadith ini memperlihatkan betapa sikap tolong menolong dan bantu membantu sesama sendiri dalam keadaan terdesak sangat dituntut. Demikianlah membeli barangan muslim dalam keadaan kekuatan ekonomi tidak berada di tangan umat adalah lebih dituntut. Ini bukanlah menggambarkan sikap jumud dan taksub kepada puak. Nabi s.a.w. dalam hadith di atas memuji kaum al-`As`ariyin yang sentiasa tolong menolong sesama sendiri dan tidak menganggap itu sebagai sikap berpuak yang dicemuh. Sebaliknya baginda memuji mereka. Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadith di atas: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. memerangi `asabiyyah (perkauman) yang semata-mata disebabkan keturunan, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun baginda menganggap kaum al-`As`ariyin sebahagian daripada baginda. Ini disebabkan prinsip yang sama iaitu jamin-menjamin dan bantu membantu dalam harta. Juga membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan. (Muhammad al-Mubarak, Nizam al-Islam, mabadik wa qawa`id `ammah, m.s. 134, Dar al-Fikr, Beirut).

Selagi kita tidak dapat membina kekuatan ekonomi umat, sehingga kita mampu berdiri dengan sendirinya, kita akan terus menjadi umat yang lemah. Umat wajib terus berusaha mengeluarkan berbagai produk dan keperluan sehingga kita tidak bergantung kepada orang lain. Setiap individu muslim hanya ada dua pilihan di hadapannya, samada dia menjadi pengeluar barangan atau pembeli barang keluaran saudara muslimnya yang lain. Mereka yang tidak menyertai kempen ini, melupai bahawa diri mereka adalah satu juzuk daripada umat, juga melupai tanggungjawab ukhuwwah islamiyyah. Maulana Abu Hasan `Ali al-Nadwi r.h. pernah mengkritik dunia Arab dalam tulisannya dengan menyatakan: “Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya…sesungguhnya dunia Arab tidak dapat dapat memerangi Barat- jika keadaan memerlukan demikian- selagi meraka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain..” (Abu Hasan `Ali al-Nadwi, Maza khasira al-`Alam bi Inhitat al-Muslimin, m.s. 416, cetakan: Maktab al-Sunnah, Kaherah).

Marilah kita mengambil pengajaran daripada apa yang disebut oleh Maulana Abu Hasan `Ali al-Nadwi ini agar kita bersegera membaiki diri dan kekuatan umat. Umat Islam di tanahair kita jumlahnya banyak, kita memiliki kuasa membeli yang tinggi, malangnya kita tidak tahu bagaimana mengalirkannya dengan tepat.
Freeware © 2006, al-ahkam.net
This help file has been generated by the freeware version of HelpNDoc