Monday, February 28, 2011

Stop Pembantaian Rakyat!



ANAK MUDA MALAYSIA BERSAMA GELOMBANG KEBANGKITAN RAKYAT

Bermula dengan kebangkitan rakyat di Tunisia, merebak ke Mesir dan kini gelombangnya telah sampai ke Libya dan kami di peringkat anak muda semakin yakin bahawa revolusi ini akan terus melanda dan merubah landskap politik dunia hari ini. Seluruh dunia, telah menyaksikan akibat daripada revolusi rakyat yang terlalu hebat ini, kita telah berjaya menjatuhkan rejim kezaliman yang diketuai Ben Ali di Tunisia dan Hosni Mubarak di Mesir sebelum ini. Kini, Muammar Ghadaffi sedang menghitung nasib dirinya yang kini berada dalam genggaman rakyat Libya.

 Hari ini, jelas kita lihat bagaimana kebangkitan rakyat yang semakin berani bertindak ke atas pemimpin-pemimpin yang zalim setelah sekian lama tertindas dan dizalimi oleh mereka. Dalam era yang serba moden ini, masyarakat dunia semakin bijak dalam menilai dan mengambil tindakan terhadap mereka yang sanggup menggadai intergriti diri demi kepentinganhawa nafsu semata-mata. Bahkan, nasib rakyat dan negara dijadikan taruhan bagi mendapatkan keuntungan peribadi dalam memimpin negara. Ini bukanlah cirri-ciri kepimpinan yang dituntut Islam.

Kerana itu, saya semakin yakin dan percaya, kebangkitan rakyat ini merupakan amaran keras daripada masyarakat dunia kepada seluruh pemimpin dunia yang telah menjadikan korupsi dan penindasan sebagai gaya pemerintahan mereka. Ini merupakan simbol kesatuan rakyat demi menjatuhkan kezaliman yang nyata. Saya juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang amat tidak bertanggungjawab daripada rejim Muammar Ghadaffi yang telah membunuh  rakyat beliau tanpa sebarang belas kasihan. Kebangkitan rakyat ini tidak lain hanya demi  menuntut keadilan dan hak-hak mereka yang telah lama dicabuli.

Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, terutamanya anak muda dan mahasiswa agar bersama-sama memberi sokongan penuh kepada saudara-saudara kita yang sedang berusaha menuntut erti keadilan dan hak mereka yang sebenar. Sewajarnya, pemimpin-pemimpin Malaysia berwaspada dan mengambil iktibar terhadap apa yang telah melanda negara-negara tersebut. Hal ini kerana, kita tidak pernah mampu menafikan kehebatan kuasa luar biasa yang ada pada kelompok rakyat dan masyarakat dari dulu sehinggalah ke hari ini. Kita juga mengharapkan ruh dan semangat revolusi ini turut dirasai seluruh warga Malaysia yang mencintai keadilan.

Akhirnya, saya sekali lagi menyatakan, kami anak muda Malaysia menyokong penuh revolusi rakyat demi keadilan dan nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Kita harus bersatu menjatuhkan rejim kezaliman yang sewenang-wenangnya mengambil kesempatan ke atas golongan marhaen.

Sekian,salam kebangkitan anak muda!

Muhammad Safwan Bin Anang @ Talib
Penulis sebagai
Setiausaha Politik Presiden PMIUM 2010/2011

Monday, February 7, 2011

Pergolakan?


MESIR MENUJU SINAR BARU



Hujung Januari lepas, dunia Afrika Utara menjadi gempar dengan kemaraan rakyat Mesir yang menuntut agar Presiden mereka, Hosni Mubarak meletak jawatan dengan segera. Ia ekoran kemarahan rakyat Mesir berhubung pemerintahan Mubarak yang bersifat kuku besi.
Rakyat Mesir dikatakan bangkit selepas melihat kejatuhan Presiden Tunisia, Zine el Abidine sebelum ini. Tambahan pula, Hosni Mubarak dikatakan mahu menjadikan anak sulungnya, Alaa Mubarak sebagai Presiden Mesir sesudah beliau. Ia ternyata menimbulkan kemarahan puluhan ribu rakyat Mesir yang mahu perkara ini tidak berlaku.

Qaradhawi : Angkat kaki atau dihalau rakyat

Susulan itu, pada 2 Februari lalu, Ketua Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Muslim, Sheikh Yusuf al-Qaradawi, meminta Presiden Mesir Hosni Mubarak agar mengangkat kaki secara pilihan sebelum beliau akan pergi secara paksaan. 

Menurut Syeikh Yusuf Al-Qaradawi lagi, Mubarak perlu mengambil pengajaran dari nasib Presiden Tunisia, Zine el Abidine Ben Ali yang akhirnya terpaksa melepas jawatan akibat kemarahan rakyat Tunisia yang kian tidak terkawal. 

Kenyataan Syeikh Yusuf Al-Qardawi itu merupakan satu tamparan buat Mubarak ketika dia dilihat bersungguh hendak mempertahankan pendiriannya mahu meneruskan pemerintahannya sehingga habis tempohnya pada September ini.

Obama : Turun secara ‘baik’

Ketika Mubarak dilihat mempunyai sokongan negara luar, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama 5 Februari lalu membuat kenyatan mengejutkan.
Amerika Syarikat sebelum ini dilihat sekutu kuat Mesir khususnya dibawah pemerintahan Hosni Mubarak meminta agar Mubarak membuat keputusan yang wajar demi rakyat Mesir & Mesir sendiri.

Obama meminta agar Hosni Mubarak mendengar suara rakyat selain menyelesaikan masalah ini dengan keadaan yang aman tanpa pertumpahan darah dari mana-mana pihak.
Ia ternyata membuat Hosni Mubarak menjadi semakin tertekan ketika dia memerlukan sokongan luar khususnya dari sekutu rapatnya itu.

Mesir & Harapan

Sehingga kini, Hosni Mubarak dilihat degil untuk mempertahankan pendiriannya untuk meletak jawatan hanya pada September ini atas alasan tertentu.
Rakyat Mesir dilihat akan terus memperhebatkan desakan demi mengembalikan hak mereka seterusnya memastikan Mesir dalam keadaan lebih baik dari sebelum ini.

Harapan itu kini semakin jelas kelihatan. Saya secara jujurnya merasa kagum dengan usaha rakyat Mesir yang mahukan keadilan ditegakkan dengan sewajarnya.
Seharusnya kekejaman yang telah berlangsung hamper 30 tahun ini dihentikan dengan kadar segera. Saya menyeru kepada Hosni Mubarak agar mendengar suara rakyatnya yang telah dizaliminya selama 30 tahun.

Secebis pandangan dan pemerhatian, usaha Rakyat Mesir ini akan diabadikan dalam sejarah sebagai usaha penggulingan pemerintahan yang zalim. Selain itu, ia akan menjadi sinar baru kepada rakyat Mesir untuk menikmati hidup yang lebih baik pada masa akan datang.

Tuesday, January 4, 2011

Kuasa Mahasiswa & AUKU !




MANSUHKAN AUKU !

Kami berpendirian bahawa AUKU ini patut dimansuhkan atas EMPAT (4) teras utama iaitu :

TERAS PERTAMA: 

NIAT AUKU DIGUBAL DEMI MENGEKANG AKTIVISME MAHASISWA

1. NIAT AUKU 1971 DIGUBAL UNTUK MENUTUP “PEKUNG” KERAJAAN.

Setiap undang-undang yang digubal berdiri atas satu-satu niat penggubalan. Begitu juga dengan AUKU. GMA melihat AUKU ini digubal bertitik tolak pada beberapa peristiwa berikut:-

1.1 PMUM isytihar manifesto sokong pembangkang dlm PRU ke-4 sehingga tercetusnya Peristiwa 13 Mei 1969.

1.2 Demontrasi Anti Tunku oleh PMUM di UM pd 29 Ogos 1969

1.3 Demontrasi “Papan Tanda” 5 Okt. 1970 – pertembungan PMUM (sosialis) & PBMUM (nasionalis) sehingga membuka terlalu banyak kelemahan Kerajaan dalam isu bahasa Melayu & pendidikan; GM semakin radikal.

Kerajaan membentuk “Jawatankuasa Mengkaji Kampus” sehingga tergubal dan diwartakan AUKU pd 18 Mac 1971. Ini membuktikan niat auku digubal untuk menutup “pekung” kerajaan.

2. NIAT AUKU DIGUBALKAN DEMI MENAFIKAN HAK MAHASISWA BERSUARA & BERPERSATUAN DALAM ISU NASIONAL & ANTARABANGSA

Antara beberapa peristiwa sejarah bagi membuktikan perkara di atas adalah seperti berikut :-

2.1 14 Jun 1971 – demontrasi pertama oleh PMIUM (2000 mahasiswa UM & UKM) tentang lawatan Thanam Kitikachorn (PM Thailand) ekoran pembunuhan umat Islam Pattani. Ramai mahasiswa ditahan.
2.2 15 Jun 1971 - 3000 orang dipimpin DSAI (PBMUM) dipukul Polis ketika demonstrasi di luar UM. Lebih ramai ditahan.
2.3 16 Jun 2005 - lebih ramai berdemonstrasi mendesak kerajaan bebaskan pimpinan mereka.
2.4 17 Jun 1971 - mereka diikat jamin RM500 seorang oleh Prof Ungku Aziz & Dr. Ariffin Marzuki
2.5   PMUM menaja demontrasi protes AUKU 1971 pada 15 Mei 1972.
2.6  Kelab Sosialis UM (ditubuhkan pd 1973) kembali menguasai PMUM dipimpin oleh Hishamuddin Rais & Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) menubuhkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) 1971 demi membantu PMIUM (di bwh Siddiq Fadhil) dan berjaya kuasai PKPM pd tahun 1974 bangkit memimpin mahasiswa nasional demo membantah campurtangan Amerika Syarikat (AS) dalam Perang Arab-Israel pd 13 Okt. 1973, Polis-FRU sembur gas & 3 pemimpin ditangkap. 4000 mahasiswa sekali lagi berdemontrasi di depan kedutaan AS pada 16 Okt. 1974 atas maksud yang sama.
2.7 Kemuncaknya Gerakan Mahasiswa (GM) pada 21 Sept. 1974, 2.30ptg. PMUM menubuhkan Majlis Tiertinggi Sementara (MTS) mengambil alih UM sebagai bantahan tangkapan 5 aktivis termasuk Hishamudin Rais dalam Demonstrasi Tasik Utara Sept. 1974 dan Demontrasi Baling [seramai 400 orang] pada Nov. 1974 yang telah mengakibatkan 1000 mahasiswa ditahan polis & FRU.


Ini membuktikan niat Auku digubal demi menafikan hak mahasiswa bersuara dalam isu nasional.

TERAS KEDUA:

PERUNTUKAN-PERUNTUKAN DALAM AKTA UNIVERSITI KOLEJ UNIVERSITI 1971 (PINDAAN 1974) YANG MENCABULI HAK-HAK ASASI MANUSIA/MAHASISWA

GMA melihat AUKU ini sangat bertentangan dengan hak asasi manusia dan akta draconion ini WAJIB dimansuhkan. Berikut adalah beberapa akta yang mencabuli hak asasi manusia termasuk MAHASISWA Malaysia :-


2.1 Seksyen 7(1)
Melarang pelajar atau pertubuhan pelajar daripada memanggil berhimpun atau mengorganisasikan perhimpunan seramai lebih dari lima orang tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis dari Naib Canselor atau wakilnya.


2.2 Seksyen 7(3)
Tiada seorang pelajar boleh menyertai mana-mana perhimpunan yang diadakan kecuali mendapat kebenaran dari Naib Canselor atau orang yang diberi kuasa olehnya.


2.3 Seksyen 8
Tiada seorang pelajar, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar mempunyai atau mengguna atau ada dalam milik, jagaan atau kawalannya sesuatu pembesar suara atau seumpamanya.


2.4 Seksyen 9
Melarang pelajar mengguna bendera, sepanduk, pelekat, poster dan seumpamanya.

2.5 Seksyen 11
Melarang pelajar atau pertubuhan pelajar daripada menjalankan sebarang aktiviti di luar kampus kecuali dengan kebenaran bertulis Naib Canselor.

2.6 Seksyen 12
Melarang pelajar dari mengambil bahagian dalam apa-apa perniagaan, pekerjaan atau lain-lain aktiviti sepenuh masa atau sambilan, yang menurut Naib Canselor adalah tidak diingini.

2.7 Seksyen 15 (1) dan (2) :
Melarang pelajar atau pertubuhan pelajar daripada menjadi ahli atau bersekutu dengan mana-mana persatuan, parti politik, kesatuan sekerja dan lain-lain kecuali sebagaimana diperuntukkan dibawah Perlembagaan Universiti atau diluluskan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor.

2.8 Seksyen 15 (3) dan (4) :
Melarang pelajar dan pertubuhan pelajar menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik, kesatuan sekerja dan lain-lain badan.

2.9 Seksyen 15 A (1) dan (2) :
Melarang pelajar atau pertubuhan pelajar daripada memungut wang atau menganjurkan dengan apa cara untuk memungut wang.

2.10 Seksyen 15 B (1) :
Pemegang jawatan atau orang yang menguruskan kumpulan pelajar adalah disifatkan melakukan kesalahan sekiranya kesalahan dilakukan atas nama atau bagi pihak persatuan atau kumpulan pelajar itu, melainkan dapat dibuktikan bahawa kesalahan itu dilakukan tanpa pengetahuannya dan dia/ mereka telah berusaha mencegah kesalahan itu. Dia atau mereka boleh didakwa atas kesalahan itu walaupun dia/ mereka tidak mengambil bahagian dalam melakukan kesalahan itu.

2.11 Seksyen 16 :
Jika mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti menjalankan urusannya dengan cara yang, pada pendapat Naib Canselor, boleh merosakkan atau mendatangkan mudarat kepada kepentingan atau kesentosaan Universiti, atau kepada kepentingan atau kesentosaan mana-mana daripada pelajar atau kakitangan Universiti, atau kepada ketenteraman atau keselamatan awam, atau jika mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan itu melanggar mana-mana peruntukan mana-mana undang bertulis, maka bolehlah Naib Canselor menggantung atau membubarkan pertubuhan, badan atau kumpulan itu.

2.12 Seksyen 15D (1) :
Jika seseorang pelajar Universiti dipertuduhkan atas suatu kesalahan jenayah maka ia hendaklah dengan itu serta merta digantung daripada menjadi seorang pelajar Universiti dan ia tidak boleh, dalam masa menunggu keputusan pembicaraan jenayah itu, tinggal atau masuk dalam kampus Universiti atau Kampus mana-mana Universiti lain.

TERAS KETIGA:

PERUNTUKAN-PERUNTUKAN DALAM AKTA UNIVERSITI KOLEJ UNIVERSITI 1971 (PINDAAN 1974) MEMPUNYAI UNSUR ZALIM, DISKRIMINASI DAN TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN

GMA melihat AUKU ini boleh membawa kepada tindakan penggantungan atau pembuangan pelajar yang didakwa di bawah kesalahan jenayah atau terhadap siapa yang suatu kesalahan jenayah telah dibuktikan dalam beberapa keadaan tertentu. Antaranya:-

Seksyen 15D (1) :
Jika seseorang pelajar Universiti dipertuduhkan atas suatu kesalahan jenayah maka ia hendaklah dengan itu serta merta digantung daripada menjadi seorang pelajar Universiti dan ia tidak boleh, dalam masa menunggu keputusan pembicaraan jenayah itu, tinggal atau masuk dalam kampus Universiti atau Kampus mana-mana Universiti lain.

Di dalam disiplin ilmu undang-undang terdapat satu maksim yang menegaskan bahawa seseorang individu tidak akan bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah (a man is not guilty until he is proven guilty).

Peruntukan ini memberikan kuasa kepada Universiti untuk menjatuhkan hukuman pra-penghakiman (pre-judgment conviction) ketika kes sedang berlangsung di mahkamah dan ianya jelas bertentangan dengan maksim undang-undang yang disebut itu. Pelajar tersebut dijatuhkan hukuman terlebih dahulu oleh pihak Universiti iaitu sama ada dengan menggantung atau membuangnya daripada pengajian sebelum mahkamah membuktikannya bersalah.
Peruntukan ini bukan sahaja bertentangan dengan disiplin ilmu undang-undang malah ianya terbukti tidak adil dan menindas pelajar yang terbabit. 

Salah satu contoh paling tragis menurut GMA ialah isu ISA 7 pada tahun 2001. Tujuh mahasiswa digantung dan dibuang universiti walaupun mahkamah masih belum membuktikan mangsa-mangsa ini bersalah. AUKU sangat ZALIM dan TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN.

GMA melihat AUKU mempunyai unsur diskriminasi kerana tidak terdapat pun sebarang peruntukan samada di dalam AUKU mahupun di dalam Kaedah Tatatertib Pelajar yang memberikan hak kepada pelajar yang didakwa di hadapan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar untuk mendapatkan khidmat seorang Peguambela dan Peguamcara bagi mewakilinya di dalam perbicaraan tersebut. Sedangkan bagi kakitangan universiti termasuk pensyarah yang turut di dakwa atas suatu pertuduhan tatatertib, mereka dibenarkan untuk diwakili oleh seorang peguam berdasarkan peruntukan di dalam Statutory Bodies (Discipline and Surcharge) Act 2000. Unsur diskriminasi ini jelas terdapat dalam Syeksen 15A, AUKU. 

Diskriminasi ini adalah bertentangan dengan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan manakala penafian hak untuk diwakili oleh seorang peguam (right to counsel) adalah melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Di samping itu, GMA juga Perkara 15A (1), AUKU merupakan diskriminasi terhadap mahasiswa. Mahasiswa dinafikakan hak untuk mendapatkan peguam. Tetapi dalam Akta Disiplin Dan Surcharge, kakitangan universiti dibenarkan.

Kesan diskriminasi ini juga terdapat dalam Seksyen 16(C) AUKU kerana peruntukan kuasa mutlak pihak “Universiti” ke atas mahasiswa dari segi menjalankan perbicaraan tatatertib. Menteri sendiri mempunyai kuasa pengampunan mahasiswa. Sebenarnya realiti ini bertentangan dengan nature law dan doktrin pengasingan kuasa dalam sebuah negara demokrasi. Isu Norlia Bte. Syukri Vs Universiti of Malaya, 1978 merupakan antara contoh tragis yang boleh dirujuk.


TERAS KEEMPAT:

PERUNTUKAN-PERUNTUKAN DALAM AKTA UNIVERSITI KOLEJ UNIVERSITI 1971 (PINDAAN 1974) MEMBUNUH BAKAT DAN AKTIVISME MAHASISWA MALAYSIA

GMA juga melihat AUKU ini juga membunuh aktivisme mahasiswa. Mahasiswa tidak lagi bebas berfikir, berpersatuan, menyuarakan pandangan (secara idealis dan akademik) hattan kehidupan mereka sentiasa diancam. Natijahnya, mahasiswa Malaysia dasawarsa ini tidak lagi menjadi jurubicara ummah demi pembangunan negara sebagaimana mahasiswa Malaysia era 1960-an dan 1970-an. 

Realiti ini senantiasa diwar-warkan bukan sahaja di kalangan mahasiswa, malah ahli akademik sendiri.

Antaranya:-.

Fakta Pertama :

Prof. Madya Dr.Sanusi Osman seorang tokoh dari Parti Rakyat Malaysia menyebut dalam kertas kerjanya, “Mengapa Akta Universiti dan Kolej Universiti di tentang”. Dalam kertas kerja tersebut, beliau menyatakan “penglibatan dan peranan mahasiswa penting sebagai jurubicara rakyat, imej mereka tinggi dan pengaruh mereka juga meluas dalam masyarakat. Sungguh pun begitu, kelantangan kritikan mereka terhadap dasar-dasar kerajaan, pendedahan di surat-surat khabar mengenai kecurangan dan penyelewengan kerajaan, pendedahan terhadap pemimpin-pemimpin yang rasuah dan opurtunis yang disertai pula dengan demonstrasi di dalam dan di luar kampus menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan elit yang memerintah“.

Fakta Kedua :

Menurut Mohamad Suhaimi al-Maniri, “Dengan peruntukan ini mahasiswa tidak bebas lagi memperjuangkan konsep ‘bersama rakyat’ sepertimana yang dipelopori oleh rakan-rakan mereka sebelum akta berkuatkuasa. Mahasiswa selepas akta seolah-olah di’penjara’ dikampus-kampus dengan kehidupan mereka yang tersendiri. Peruntukan ‘ugutan’ mental secara halus oleh pihak berkuasa boleh melemahkan pemimpin-pemimpin mahasiswa berbuat sesuatu kerana boleh ditafsirkan melanggar akta dan menjadikan mereka ragu-ragu dan bimbang sama ada apa yang dilakukannya bertentangan dengan akta ataupun tidak. Penderaan mental seperti ini sudah cukup untuk memberi kesan kepada aktiviti kemahasiswaan. Akibatnya kegiatan kemahasiswaan menjadi semakin suram dan tidak bermaya.”

GMA melihat, AUKU ini meninggalkan pelbagai implikasi. Antaranya ialah membentuk Budaya “Culture of Fear & Complesent Zone” Ke Atas Mahasiswa.

Sebagai contoh, aksi Demontrasi Tasik Utara & Demontrasi Baling 1974 merupakan zaman keemasan mahasiswa. Namun, Pasca penggubalan AUKU 1975, pola gerakan mahasiswa semakin tidak bertaring. Buktinya, Peristiwa Memali 1985, mahasiswa tenggelam dalam menjuarai isu besar ini.

~Perkongsian artikel ini dipetik daripada Web Rasmi Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku ; http://mansuhkanauku.wordpress.com/

Ayuh reform solidariti dan kuasa mahasiswa dalam HIMPUNAN BESAR-BESARAN nanti! 

2011 Masa untuk berubah!

Bangkit bersama RAKYAT! 



Wednesday, December 8, 2010

Mahasiswa Kini

Kerajaan lancar langkah awal sekat mahasiswa




Oleh : Muhammad Safwan bin Anang @ Talib

Sejak dua, tiga tahun kebelakangan ini, gerakan mahasiswa dilihat lesu dan tidak lagi lantang dalam mendepani isu-isu di peringkat kampus dan nasional. Namun, khabar-khabar angin tersebut dengan sendiri terpadam apabila melihat partisipasi anak muda khususnya mahasiswa dalam perhimpunan membantah kenaikan kadar tarif air di Selangor, ahad lalu.

Partisipasi golongan yang menjadi third force dalam negara dalam siri-siri perhimpunan yang melumpuhkan kota Kuala Lumpur sebenarnya dinanti-nantikan. Maka, kehadiran anak muda yang mengujakan pada perhimpunan lalu menjentik rasa sesetengah pihak yang mempunyai kepentingan.

Apabila bahang pilihanraya umum ke-13 kian terasa, dibuktikan dengan kemunculan isu-isu tradisi yang menjadi modal pihak tertentu seperti isu ketuanan Melayu, isu rasis dan isu kenaikan harga barang yang kembali dimainkan, maka mahasiswa juga turut tidak terlepas. Golongan mahasiswa, yang memegang kuasa ‘undi termahal’ tidak terlepas diperhati. Bagi pihak-pihak tertentu, golongan ini tidak boleh dibiarkan mengacau-bilau strategi yang telah diatur bagi memenangi pilihanraya akan datang.

Justeru, tidak hairanlah timbulnya sekatan-sekatan terhadap mahasiswa yang sengaja dibuat, khususnya kepada aktivis gerakan yang dilihat semakin ‘garang’. Terbaru, isu Kes Rosmah Puaka yang melibatkan lima mahasiswa Universiti Malaya yang awalnya dibebaskan, namun kembali diheret ke mahkamah. Bagi aktivis gerakan mahasiswa, sebenarnya ia bukanlah suatu kejutan baru. Namun, ia harus difahami sebagai langkah awal mereka menuju kemenangan.

Bagi gerakan mahasiswa, perjuangan yang tidak berlandaskan kepentingan individu dan mengharapkan balasan ini akan terus bertahan. Perjuangan menegakkan keadilan dan meruntuhkan benteng kezaliman tidak akan selesai. Mahasiswa, sebagai agen perubah negara berikrar tidak akan sesekali berundur walaupun dihadapkan dengan gergasi pengkhianat ummah dan masyarakat. Hidup mahasiswa!

*Penulis merupakan mahasiswa Tahun kedua, Sarjana Muda Pendidikan Islam Universiti Malaya. Beliau juga merupakan bekas Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2008/2009 Asasi Nilam Puri Universiti Malaya.

Mahasiswa bangkit!

Tuesday, November 23, 2010

Salam Imtihan buat warga UM!

Selamat menempuh peperiksaan kepada semua warga Universiti Malaya. Semoga terus success!

Tingkatkan spirit bersama,sedikit renungan ;

~ Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Daud a.s.: "Wahai Daud! Sesungguhnya Engkau berkehendak dan Aku juga berkehendak. Maka sekiranya engkau menerima kehendak-Ku, Aku akan mencukupkan segala kehendakmu. Tetapi sekiranya engkau tidak menerima kehendakKu, engkau akan memenatkan dirimu sendiri untuk mendapatkan kehendakmu, sedangkan yang berlaku adalah kehendak-Ku jua " ~

-Antara petikan dari buku Syarah Al-Hikam (Jilid 1) disusun oleh Dr Zulkifli bin Mohammad al-Bakri.

Wednesday, November 17, 2010

Salam Aidiladha Buat Semua!

Salam Aidiladha buat semua yang mengenali, rakan-rakan dan juga teman-teman bloggers. Moga kita sama-sama dapat menghayati sebuah erti Pengorbanan yang hakiki!

Monday, November 8, 2010

Jawapan Dr. Asri kepada Ustaz Mohd Nor Idris !

Jawapan Dr. Asri kepada Ustaz Mohd Nor Idris berikutan tuduhan melampau kepada Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat :

Kaedah Penilaian Mohd Nor Idris Tidak Normal
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Merujuk kenyataan bekas calon BN, Ustaz Mohd Nor Idris mengenai YAB Menteri Besar Kelantan, Dato Nik Aziz Nik Mat: “Apabila dia hulur tangan itu, solah-olah saya nampak tangan itu tangan syaitan…dengan kasyaf saya, tangan dia itu macam tangan syaitan yang dihulurkan kepada saya. Jadi saya tidak sambut tangan dia, saya tidak mahu jamah (pegang) tangan syaitan”. (Malaysiakini)

Saya melihat perlu perkara ini diulas, agar tidak menjadi ikutan atau pegangan sesetengah pihak. Walaupun itu merupakan kenyataan peribadi, tetapi apabila disiarkan dalam media, saya rasa terpanggil untuk memberikan pandangan. Bukan kerana hendak membela MB Kelantan semata, tetapi saya ingin menyanggah cara penghujahan sebegini agar tidak menjadi trend golongan agama nanti.

Saya fikir jika kita membenarkan hujah seperti digunakan untuk menilai insan lain, maka rosaklah alam ini. Bagaimana mungkin dengan mendakwa kasyaf atau dapat menyingkap rahsia seseorang dengan menggunakan unsur spiritual dijadikan ukuran dalam menilai seseorang? Jika ini dijadikan hujah dalam menilai atau menghukum seseorang, maka ramailah yang akan terzalim. Nanti akan datang pihak lain pula, lalu menghukum orang pula sebagai buruk berdasarkan kasyafnya atau mimpinya atau ilhamnya yang kesemua itu disandarkan kepada Tuhan. Lalu nama Allah dijadikan mainan. Dalam Islam, walaupun seseorang mungkin mempunyai ‘perasaan dalaman’nya yang tersendiri, namun itu tidak boleh dijadikan hujah dalam memburuk atau menilai orang lain tanpa bukti apath lagi untuk tatapan umum.

Nabi s.a.w yang menerima wahyu pun, namun dalam hadis baginda menyebut:
“Kamu mengangkat perbalahan kamu kepadaku. Boleh jadi sesetengah kamu lebih petah hujahnya daripada yang lain. Lalu aku berikan untuknya berdasarkan apa yang aku dengar. Sesiapa yang aku berikan sesuatu hak saudaranya janganlah dia ambil, kerana sesungguhnya aku memotong untuknya potongan api neraka (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ertinya, dalam menghukum dan menilai baginda berteraskan hujah. Maka kita dalam menilai seseorang hendaklah berdasarkan bukti dan hujah bukan sekadar perasaan hati, atau bisikan kasyaf atau mimpi. Jika hal itu dibolehkan, tentu baginda Nabi s.a.w terlebih dahulu melakukannya. Sebaliknya, penilaian atau hukuman tetap berteraskan bukti dan hujah.
Jika beliau (Mohd Nor) ingin mengkritik atau menilai MB Kelantan sebagai tangan syaitan, beliau hendaklah mendatang hujah dan bukti kejahatan yang melayakkan dinilai sedemikian rupa. Jika ada hujah, ia diterima. Jika tiada, ia tuduhan tanpa dalil.

Maka hendaklah kita ingat, bahawa kasyaf, mimpi, ilham dan seumpamanya bukan hujah dalam menentukan kebenaran atau kesalahan. Penentuan salah betul dalam Islam adalah fakta dan bukti. Al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) menyebut:
“Selemah-lemah hujah mereka (ahli bid`ah) ialah puak yang dalam mengambil amalan agama bersandarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut. Mereka berkata: “Kami bermimpi lelaki solih tertentu berkata kepada kami: Tinggalkan ini!, buat ini”. Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan tasawwuf. Di kalangan mereka ada yang berkata: “Aku melihat Nabi S.A.W dalam mimpi, baginda berkata kepada sebegini..dan memerintah aku sebegini”. Lantas dia pun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang ditetapkan oleh syari`at. Ini adalah salah, kerana mimpi selain para nabi tidak boleh menghukum ketetapan syarak, dalam apa keadaan sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syariat yang ada. Jika dibolehkan, maka ianya diamalkan, jika tidak ianya ditinggalkan”( Al-Syatibi, Al-`Itisam, 198, cetakan Dar al-Kitab al-`Arabi, Beirut).
Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi:
“Di sana ada golongan sufi yang melampaui batas dalam menilai ilham. Bahkan ada di kalangan mereka yang mengiranya sebagai jalan mengetahui kebenaran yang tidak akan silap. Mereka mencerca ulama syariat yang berpegang kepada dalil dan tidak menerima sesuatu dakwaan tanpa bukti daripada hujah yang baik atau akal atau wahyu”. (Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu`asir, m.s. 134, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut.)
 sumber :- http://drmaza.com/home/?p=1276#more-1276

Bertanyalah pada ahlinya sekiranya kamu tidak mengetahui...