Wednesday, April 27, 2011

Tiong, AUKU & Mahasiswa

Akhirnya, KEBENARAN membadai penindasan!

Tahniah Tiong Dan Lee Kee!

Pengguguran kes Tiong dan Lee Kee baru-baru ini daripada hukuman oleh mahkamah universiti pada 24 April lalu menunjukkan sesuatu yang amat jelas kepada semua pihak. Mereka berdua tidak bersalah!
Bahkan dituduh dengan melulu tanpa dibenar membuat pembelaan sehingga dinafikan hak untuk membawa saksi sekalipun pihak pendakwa juga menggunakan saksi!

Di sini penulis juga ingin merakamkan jutaan tahniah kepada mereka berdua atas kebenaran tersebut.
Ternyata mereka berdua menjadi mangsa keadaan pihak tertentu yang tidak berpuas hati terutama dalam
pilihanraya kampus 2011 yang telah menceritakan peristiwa kelam di universiti perdana ini.


Penulis juga menyeru kepada mana-mana pihak supaya berhenti daripada mempolitikkan isu ini.
Ini isu keadilan mahasiswa. Keadilan sejagat!

Antara perkara penting juga, jangan dilupakan tarikh 29 April sebagai tarikh ulang tahun seluruh aktivis mahasiswa disergah ke tali gantung yang ternyata sebenarnya teori lemah orientalis bobrok! Maka Auku digubal dan telah dicop mohor oleh YDP Agong pada 29 April 1971!

Sedikit mengenai Auku!

Peningkatan kesedaran berpolitik, impak peristiwa 13 Mei dan pengaruh parti luar ke dalam pertubuhan pelajar membimbangkan kerajaan. Kerajaan berkeputusan mengawal aktiviti politik di kampus. AUKU diwartakan pada 24 Februari 1971 dan diluluskan oleh parlimen pada 17 Mac 1971 dan diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong pada 29 April 1971. Kebangkitan pelajar pada tahun 1974 secara militan dan radikal mendesak kerajaan melakukan pindaan pada AUKU. Pada 8 April 1975, Dr. Mahathir Mohamad mengusulkan agar AUKU dipinda dan ianya dikuatkuasa pada 12 Mei 1975.

Pengarahan kepada AUKU berlaku apabila kerajaan menegaskan pelajar tidak dibenarkan bergabung atau menyokong mana-mana parti politik dan kesatuan sekerja. Penegasan ini merupakan satu kesedaran kerajaan bagi mencegah ketidakstabilan melalui perundangan. Larangan ini termaktub dalam Undang-undang Darurat (kuasa perlu) no. 74, Artikel 150 (2) yang dipinda pada 18 Februari 1971. PMUM membantah perundangan ini, Jai Mohan (Setiausaha Agong) menjelaskan larangan ini akan menjauhkan pelajar dengan rakyat dan menyekat idea pelajar untuk menyumbang ke arah pembangunan. Sokongan pihak pelajar kepada mana-mana pertubuhan politik tidak bermakna pelajar menyokong pertubuhan politik tersebut.

AUKU diusulkan setelah kegagalan Akta Universiti Malaya 1961 yang tidak berkesan mengekang peranan pelajar terutamanya keterlibatan pelajar dalam pilihanraya 1969. Para pimpinan parti oposisi dan pelajar membidas AUKU terutamanya Bahagian III (fasal 15 dan Fasal 16) dan Bahagian V (Seksyen VI Fasal 48, Seksyen VI Fasal 50 dan Seksyen VI Fasal 51). Di Parlimen, Dato Asri meminta AUKU ditangguhkan manakala Lim Kit Siang dan Dr. Tan Chee Khoon mempersoalkan prosedur penubuhan persekutuan pelajar peringkat nasional dan antarabangsa. Kerajaan bersedia melonggar perkara tertentu dalam AUKU tetapi AUKU perlu diteruskan bagi menghalang anasir-anasir subversif dalam gerakan pelajar.

Pada 6 Julai 1971, PBMUM dan PKPM menghantar memorandum kepada kerajaan. Gan Yap Swe, Setiausaha Agung PKPM dan Noordin Razak, Presiden PBMUM yang mewakili 15 pertubuhan pelajar menyatakan AUKU akan membantut pemikiran kritikal dan rasional pelajar. PMUM pula mengadakan forum pada 23 Ogos 1971 dan 9 Disember 1971 disamping sudut pidato pada 4 Disember 1971. Namun, reaksi pelajar tidak berjaya memujuk kerajaan menlonggarkan AUKU.

Pada tahun 1975, kerajaan memugarkan kembali AUKU agar lebih tegas bagi mengekang budaya politik pelajar yang semakin radikal dan revolusioner. Perkara ini terbukti dalam tindakan pelajar sepanjang tahun 1974 terutamanya isu Tasik Utara dan Baling. Menurut Dr. Mahathir Mohamad, AUKU adalah alat mengekang pelajar daripada membuat kacau apabila sesi 1975/76 bermula. Usul agar pindaan AUKU 1975 ditangguh ditolak. Penolakkan penangguhan ini memulakan era baru bagi gerakan pelajar dalam perjuangan mereka.

Tegasnya , Mahasiswa tolak Auku!

Akhirnya, penulis menyeru kepada semua sahabat mahasiswa di seluruh kampus supaya meneruskan
agenda kebangkitan mahasiswa di seluruh kampus dalam Negara. Kita akan terus menjadi lidah rakyat sebagai jurubicara dalam memperjuangkan hak rakyat marhaen yang kini kian terhakis dek kerakusan pihak tertentu demi kepentingan mereka sendiri!

PMIUM optimis dengan tema Bersama Menerajui Perubahan untuk cuba memacu kembali Gerakan Kebangkitan Mahasiswa Malaysia! Tahniah buat seluruh mahasiswa Malaysia!

0 Pandangan: