Tuesday, July 27, 2010

Fatwa al-Qaradhawi: Tiada Bidah Hasanah dalam Islam


Soal: Apakah dia pembahagian bidah? Adakah benar di sana terdapat bidah hasanah (baik) dan bidah saiyiah (keji)?

Jawab: Berlaku pertentangan pendapat antara kalangan ulama tentang pembahagian bidah. Sebahagian mereka membahagikannya kepada bidah hasanah dan bidah saiyiah. Sebahagiannya pula menjadikan bidah kepada lima bahagian seperti hukum syari. Semua pembahagian ini tidak ada asalnya. Kerana hadis s.a.w. menyatakan: "Setiap bidah itu dhalalah." Ia adalah sesuatu yang diada-adakan yang tidak berada di bawah mana-mana asal atau sumber dari sumber-sumber tasyri (pensyariatan) atau ia bukanlah perkara yang ada dalilnya dari mana-mana dalil hukum.

Dr Syeikh Yusof al-Qaradhawi menyatakan:
Di sana sebahagian ulama membahagikan bidah kepada: Hasanah dan Saiyiah. Manakala sebahagian dari mereka membahagikannya kepada lima bahagian, menurut pembahagian hukum-hakam syarak: Bidah wajib, sunat, makruh, haram dan harus/mubah.

Al-Imam al-Syathibi telah membahaskan masalah ini secara terperinci, dan ditengah-tengah beliau membahaskannya itu beliau berpendirian: Bahawa pembahagian ini adalah perkara yang direka-reka yang tidak ditunjukkan oleh mana-mana dalil syarii pun, malah pembahagian itu sendiri saling bertolak-tolakan. Kerana hakikat bidah itu ialah sesuatu yang tidak ditunjuki oleh mana-mana dalil syarak, tidak juga oleh mana-mana nash syarak dan tidak dari qaedah-qaedahnya. Kerana jika di sana terdapat suatu dalil syarak yang menunjukkan atas wajibnya sesuatu, sunat atau harus, mengapa pula perkara berkenaan dikatakan bidah (hasanah). Ia sebenarnya (bukanlah bidah hasanah) tetapi perkara berkenaan telahpun masuk di bawah keumuman amal yang diperintahkan atau perkara yang dibolehkan (membuat pilihan).

Akhirnya natijahnya adalah satu, kerana mereka mengatakan bahawa penulisan al-Quran, menghimpunkannya dalam satu mushaf, menyusun ilmu Nahu, Usul Feqh dan ilmu-ilmu Islam lain adalah sebagai bidah wajib dan sebagai fardu kifayah.

Manakala sebahagian yang lain tidak bersetuju perkara-perkara di atas (penulisan al-Quran, menghimpunkannya dalam satu mushaf, menyusun ilmu Nahu...) itu dinamakan sebagai bidah hasanah. Kata mereka: "Pembahagian ini adalah pembahagian untuk bidah dari sudut bahasa sahaja. Yang kami kehendaki dengan bidah adalah bidah dari sudut syarak. Tentang perkara-perkara di atas, kami mengeluarkannya dari senarai bidah. Adalah tidak baik jika ia disebut sebagai sesuatu yang bidah. Yang utama adalah kita berpegang kepada Hadis yang mulia; kerana hadis datang dengan lafaz berikut dengan terang dan nyata: "Maka sesungguhnya setiap bidah itu dholalah (menyesatkan)."

Dengan keumuman lafaz hadis di atas, maka apabila dikatakan: "Setiap bidah itu dholalah" maka tidak perlulah kita katakan lagi: "bidah itu ada yang baik, ada yang keji, ada yang wajib, ada yang sunat dan seterusnya...." Pembahagian sebegini adalah tidak perlu.

Apa yang benar ialah, bahawa kita katakan apa yang telah disabdakan oleh s.a.w. di dalam hadisnya: "Maka sesungguhnya setiap bidah adalah dholalah." Yang dimaksudkan adalah bidah sebagaimana yang telah ditahqiq oleh al-Imam al-Syathibi: "Bidah ialah jalan di dalam agama yang direka-reka/diada-adakan." Iaitu yang tidak ada asal-usulnya dari syarak, tidak juga dari al-Quran, al-Sunnah, ijmak, qiyas, mashlahah mursalah dan tiada di kalangan fuqaha yang menyatakan dalil mengenainya.
Sumber: Islamonline.net
dan http://al-ahkam.net/

P/S; Jawapan entri ini khusus buat mereka yang menimbulkan persoalan ini kepada penulis. Terima kasih!

Sunday, July 18, 2010

Mahu Vs Tahu! - Tentang Usrah!

                                                          [Bersama Kepimpinan PMIUM Sesi 2010/2011]

Ada sesuatu yang menarik mengenai dua perkataan ini...sesuai untuk memacu minda agar tangkas berfikir!

Ramai yang TAHU, usrah itu budaya kita....

tapi tak ramai yang MAHU buat usrah.... (Golongan 1)

Ramai juga yang MAHU buat usrah....

tapi kurang TAHU cara yang terbaik.... (Golongan 2)

Bagi yang MAHU, insyaALLAH tak susah untuk mempelajari cara pelaksanaan Usrah terbaik!

tapi....bagi yang TAHU, tapi tidak MAHU buat Usrah, yang ini payah untuk diperbetulkan!

Semoga kalian semua orang yang MAHU dan TAHU untuk laksanakan Usrah..! Success!

Membina Kader Success!

" USRAH, Budaya PMIUM!

                                                    [Mantan Kepimpinan PMIUM Sesi 2009/2010]

Saturday, July 17, 2010

Usrah, Budaya PMIUM!

Pengenalan
Usrah dalam bahasa Arab ialah keluarga. Maksud perkataan usrah dalam pengertian kita ialah kumpulan Afradul Muslimin (individu-individu muslim) yang beriman dengan agama ini, berusaha tolong menolong antara satu sama dengan yang lain untuk memahami dan menghayati Islam.


RASIONAL USRAH
Islam memandang sangat mustahak pembentukan ikatan perpaduan untuk penganutnya. Melalui usrah kita dapat memimpin penganut Islam ke arah contoh-contoh pujian yang tinggi di samping memperkukuh ikatan yang sedia ada. Selain itu, mutu ukhuwah antara sesama ahli boleh ditingkatkan, iaitu dengan merealisasikan teori dalam perbuatan dan amalan. Oleh itu, kita hendaklah memandang berat dan bersedia untuk menjadi batu bata yang sihat lagi berguna kepada bangunan keluarga bentukan yang mulia ini, iaitu keluarga Islam.

Tujuan Usrah
Majlis usrah mempunyai beberapa tujuan, diantaranya:
•    Meningkatkan kefahaman anggota-anggota dan menentukan sikap Islam terhadap satu-satu masalah.
•    Menambahkan penghayatan dan menimbulkan perasaan tanggungjawab terhadap ajaran Islam secara peribadi dan jamaah.
•    Membina satu generasi Islam yang mengenali Islam sebagai "Din Wa Daulah", menghayatinya di dalam kehidupan peribadi, menjadikan azam dan cita-cita serta tindakan mendakwahnya sebagai sistem hidup dalam keluarga, masyarakat dan negara.
•    Membina generasi Islam yang menegakkan akhlak Islammiyah di dalam kehidupan diri dan sensitif terhadap segala perkara yang tidak Islamik.
•    Membina generasi Islam yang insaf dan sedar akan cabaran dan godaan yang berbagai bentuk yang mengancam kemurnian Islam.
•    Mendidik perasaan anggota supaya bertanggungjawab terhadap ALlah dan RasulNya. Menghubungkan anggota secara langsung dengan Al-Quran dan Al-Sunnah.
•    Mengikhlaskan diri anggota kepada ALlah, demi untuk mencari keredhaannya, mengharapkan pahala dan merasa gerun dengan siksaanNya. Bukan kerana segan dgn naqib usrah atau kumpulannya tetapi kerana ketaatan kepada ALlah. Oleh itu setiap anggota hendaklah membetulkan niatnya, kemudian diikuti dengan amalan sekalipun tanpa arahan dari sesiapa.
•    Menggiatkan dan menyelaraskan usaha mempelajari dan memahami Islam di kalangan anggota.
•    Menyediakan tenaga yang benar-benar bersedia untuk Islam demi kepentingan Islam.
•    Memelihara individu usrah dari dimasuki pemikiran yang keliru dan sumbang dari musuh.
•    Memperkukuhkan perasaan bersaudara dan memupuk semangat bertindak secara jamaah.

RUKUN USRAH
Rukun ikatan usrah ini tiga perkara iaitu berkenalan, saling memahami dan berseimbangan. Kita hendaklah mengambil berat perkara ini dan bersungguh-sungguh menjayakannya supaya ikatan itu tidaklah semata-mata menjadi beban yang tidak bererti.

1.     Berkenalan
Rukun usrah yang pertama ialah taaruf (berkenalan) antara satu sama lain. Ahli usrah hendaklah berkenal-kenalan serta berkasih sayang dengan semangat cinta kepada agama. Kita hendaklah memahami pengertian dan hakikat ukhuwah sejati. Elakkan perkara-perkara yang boleh mengeruhkan ukhuwah itu. Hal ini boleh dilakukan dengan sentiasa menjunjung titah firman Allah dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Jadikan firman Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. sebagai perkara yang wajib diutamakan.
Antara firman Allah(maksudnya): Orang-orang mukmin itu bersaudara-mara. (Al-Hujarat, 26:10)
Berpeganglah dengan tali Allah semuanya dan janganlah kamu berpecah-belah. (Ali Imran, 3:103)
Dalam hadis Nabi saw: Orang mukmin bagi orang mukmin itu laksana bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain.
Orang muslim ialah saudara bagi muslim yang lain; ia tidak menzaliminya dan tidak juga membiarkannya.
Perbandingan orang-orang mukmin dalam erti kata kasih sayang mereka, dalam perasaan belas kasihan mereka, dan dalam simpati mereka adalah laksana badan yang satu.

2.     Saling memahami: 
Rukun usrah yang kedua ialah tafahum (saling memahami). Kita hendaklah berpegang pada kebenaran dengan mengerjakan apa-apa yang diperintahkan Allah dan meninggalkan apa-apa yang dilarang-Nya. Periksalah diri sendiri dengan sehalus-halusnya sama ada diri kita benar-benar mentaati perintah Allah atau terlibat dalam arena kederhakaan.
Setelah memeriksa diri sendiri, kita hendaklah nasihat-menasihati antara satu sama lain apabila kelihatan ada sesuatu yang cacat. Rakan yang dinasihati itu hendaklah bersikap terbuka dan sanggup menerima nasihat dari sahabatnya. Pemberi nasihat pula janganlah berubah hati terhadap sahabat yang tersilap itu--walau sejarak sehelai rambut sekali pun.
Nasihat hendaklah diberi dengan cara yang baik tanpa memandang rendah sahabat yang dinasihati itu. Pemberi nasihat janganlah menganggap dirinya lebih mulia. Sembunyikan kesilapan sahabat itu daripada pengetahuan naqib selama lebih kurang sebulan. Ceritakanlah kepada naqib apabila anda tidak berdaya membaikinya. Namun demikian, jangan sekali-kali tawar hati terhadap sahabat yang silap itu. Sebaliknya, teruskanlah kasih sayang anda terhadapnya sehingga Allah melakukan apa-apa perubahan yang dikehendaki-Nya.
Sahabat yang diberikan nasihat pula janganlah keras kepala. Janganlah juga berubah hati walau sejarak rambut sekalipun terhadap si pemberi nasihat. Fahamilah bahawa martabat kasih sayang kerana Allah itu adalah setinggi-tinggi martabat bagi pengertian kasih sayang di kalangan umat manusia. Nasihat pula adalah satu dasar yang amat penting dalam agama Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya), "Agama itu adalah nasihat." Oleh itu, perhatikanlah dalam-dalam pengajaran yang mulia dalam hadis ini--mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepada kamu.

3.     Berimbangan (Saling membantu): 
Rukun usrah yang ketiga ialah takaful yang bermaksud memelihara nasib sesama sendiri agar tiada sahabat yang terbiar atau terlantar. Amalkan rukun ini dengan bersungguh-sungguh, iaitu dengan cara menolong memikul bebanan sesama sendiri. Takaful merupakan tunjang iman dan inti sari ukhuwah sejati. Takaful boleh dijelmakan dengan cara bertanya khabar sesama sendiri, ziarah menziarahi, berganti-ganti membuat kebajikan dengan jalan segera menolong antara satu sama lain sedaya upaya.
Sabda Rasulullah s.a.w.: "Kalau seseorang daripada kamu itu berjalan kerana hendak menolong saudaranya adalah lebih baginya daripada ia beri iktikaf sebulan di masjidku ini. Sabda baginda lagi (maksudnya), "Sesiapa memberikan kesukaan kepada keluarga sesebuah rumah orang muslim nescaya tidak lain yang dibalas Allah melainkan dengan syurga."

PERINGATAN
Dua perkara yang perlu dititikberatkan ialah kehadiran dan pengisian tabung usrah. Setiap anggota usrah hendaklah menghadiri pertemuan-pertemuan yang telah dijadualkan walau bagaimana uzur sekalipun. Setiap anggota usrah juga hendaklah menunaikan kewajipannya untuk tabung usrah di cawangan usrahnya. Apabila kita dapat menunaikan kewajipan yang bersifat perseorangan, kemasyarakatan, dan kewangan seperti di atas, maka rukun usrah akan terlaksana dengan jayanya. Sebaliknya, jika dicuaikan, maka segala rukun dan peraturan itu akan beransur-ansur mundur dan akhirnya terus mati. Dengan matinya peraturan usrah yang baik ini, gerakan dakwah akan serugi-ruginya sedangkan gerakan dakwah sangat dikehendaki dan menjadi tempat harapan bagi umat Islam seluruhnya.

KANDUNGAN USRAH
Apakah yang perlu dilakukan dalam pertemuan mingguan usrah yang menepati maksud, rukun dan peringatan di atas? Jawapannya mudah: Kita mempunyai banyak kewajipan sedangkan masa kita terlalu sedikit. Oleh itu pertemuan mingguan kita hendaklah dipenuhkan dengan perkara-perkara yang berikut:

1. Membentangkan Kesulitan
Setiap anggota membentangkan kesulitan masing-masing. Beri perhatian terhadap kesulitan yang diluahkan oleh dan rakan kita dan berusahalah mengatasinya. Lakukan hal ini dalam suasana ukhuwah sejati dan dengan niat kerana Allah. Dengan demikian dapatlah diperkuatkan lagi asas saling percaya-mempercayai dan tali hubungan ukhuwah dapat diperkukuhkan.
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya, "Orang mukmin itu cermin bagi saudaranya." Sabda Rasulullah s.a.w. lagi (maksudnya): Perbandingan orang-orang mukmin dalam erti kata kasih sayang mereka, dan dalam erti kata timbang rasa simpati mereka adalah laksana badan yang satu, iaitu apabila mana-mana anggota mengadukan hal turut menangguhkan seluruh badan dengan berjaga malam dan merasai demam.

2.     Bermuzakarah
Anggota usrah hendaklah bermuzakarah iaitu bertukar-tukar fikiran dalam urusan Islam. Teliti risalah yang diedarkan oleh pucuk pimpinan kepada seluruh cawangan usrah. Elakkan pertengkaran atau bertikam lidah kerana semuanya itu adalah dikira "haram" menurut undang-undang usrah. Muzakarah hendaklah merupakan penerangan dan penjelasan dengan tidak melanggar batas-batas sopan santun yang sempurna dan dengan cara harga-menghargai fikiran yang datang daripada semua pihak dalam muzakarah itu. Apabila hendak ditutup satu-satu perbincangan, atau hendak dibuat keputusan mengenai apa-apa cadangan, atau hendak diberi penjelasan lanjut mengenai cadangan yang hendak ditimbangkan itu, maka perkara itu hendaklah diserahkan kepada naqib supaya beliau sempat terlebih dahulu mengemukakannya kepada pucuk pimpinan.
Jangan dibuat keputusan dengan cara terburu-buru. Tuhan mencela umat-umat manusia yang bersikap terburu-buru dengan firman-Nya yang bermaksud: Dan apabila datang kepada mereka sesuatu perkara tentang keamanan atau ketakutan maka mereka pun terus mencanangkannya.
Setelah Allah S.W.T. mencela mereka yang berperangai begitu maka Tuhan tunjukkan pula apa-apa yang semestinya dilakukan apabila tersua dengan suasana seperti itu dengan firman-Nya yang bermaksud: Kalaulah mereka kembalikannya kepada Rasul dan kepada pihak berkuasa antara mereka sendiri nescaya orang-orang yang menimbangkannya itu mengetahui hakikatnya.

3.     Kajian Buku
Adakan studi (penelitian) terhadap sesebuah kitab yang bermutu. Jelmakan studi itu dalam kehidupan harian walaupun hanya sekadar mengamalkan bermuka manis. Panduan daripada buku boleh disampaikan dalam taklimat sesuatu projek seperti menziarahi orang sakit; menolong orang-orang yang berhajat (walaupun hanya sekadar kata-kata yang baik), mencari dan bertanyakan hal tentang anggota yang tidak kelihatan bersama-sama kumpulan, menanggung bebanan anggota yang terputus rezeki. Semuanya itu dapat menambahkan lagi tali ukhuwah dan dapat melipatgandakan perasaan kasih sayang dalam hati masing-masing.

4.     Aktiviti Sokongan
Untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama sendiri, kita hendaklah mengadakan rehlah, lawatan, aktiviti lasak seperti mendayung sampan, mendaki gunung dan berbasikal. Kita hendaklah juga mengadakan aktiviti khusus seperti berpuasa (seminggu sekali atau dua minggu sekali), solat Subuh berjemaah di masjid dan qiamullail.

TEMPAT USRAH
Usrah boleh diadakan di rumah anggota usrah dengan cara bergilir-gilir atau di masjid, disurau, dimusalla atau sebagainya.

PERLAKSANAAN
Usrah hendaklah diadakan pada tiap-tiap minggu atau paling kurang tiap-tiap dua minggu sekali dan merupakan program tarbiyah yang tetap. Majlis usrah dikendalikan oleh seorang naqib atau naqibah. Sembahyang berjamaah, berwirid, membaca Al-Quran adalah rukun utama usrah. Sebaik-baiknya majlis usrah adalah mengikut cara dibawah ini :
•    Bermula dengan sembahyang (maghrib) berjamaah Berwirid dengan Al-Mathurat (naqib hendaklah menghuraikan Al-Mathurat dari segi makna, ayat, hikmat dan kelebihan) Membahaskan dan mengkaji kertas-kertas kerja dan sebagainya, yang telah disediakan oleh naqib atau naqibah.
•    Majlis usrah mestilah mempunyai tajuk yang tertentu yang telah ditetapkan terlebih dahulu dan dimaklumkan kepada anggota, sebaik-sebaiknya telah ditentukan bahan rujukan atau teksnya. Sesudah berbincang dan berbahas dan bertukar-bertukar fikiran dengan teliti, maka majlis mengambil satu keputusan atau rumusan yang menjadi pegangan kepada semua dan usrah dan ditegah sama sekali ditamatkan tanpa menghasilkan sesuatu persetujuan.
•    Perbahasan boleh dilanjutkan kepada beberapa siri usrah sehingga dapat rumusan yang bulat dan konkrit, sekiranya tajuk perbahasan merupakan isu pokok dan memerlukan kepada pandangan pimpinan yang lebih tinggi, maka hendaklah dirujuk kepada peringkat yang lebih bertanggungjawab.
•    Tajuk yang akan dibincangkan pada minggu akan datang ditentukan oleh naqib atau menurut ketetapan bersama atau menurut arahan pimpinan. Sebahagian daripada waktu usrah hendaklah diperuntukkkan khusus kepada organisasi dan hal ehwal semasa dan perkembangan perjuangan umat Islam di dalam dan luar negara. Usrah bersurai sesudah membaca doa rabitah, tasbih kaffarah dan suratul Al-‘Ashr.

ADAB-ADAB USRAH
Diantara adab-adab usrah itu adalah seperti berikut :
1. Mengikhlas niat hanya kepada ALlah
Maksud ayat,
"Dan tidaklah mereka itu diperintahkan melainkan supaya semua menyembah ALlah dengan tulus ikhlas menjalankan agama untuknya semata-mata, berdiri lurus dan menegakkan shalat serta menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang benar".(Al-Bayyinah: 5)
Sabda Rasulullah SallaLlahu’’Alaihi Wassalam :
"Hanya segala ‘amal itu dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap sesorang itu apa yang dia niatkan". (Muttafaq ‘alaih)
2. Datang ke majlis tepat pada waktu yang dijanjikan atau ditetapkan.
Sabda Rasullullah SallaLlahu ‘‘Alaihi Wassallam :
Maksud Hadis,
Dari Abu Hurairah RadiALlahu anhu bahawasanya RasulLullah SallaLlahu ‘‘Alaihi Wasallam bersabda : "Tanda orang-orang munafiq itu tiga , iaitu jikalau ia berkata ia berdusta, jikalau berjanji dia memungkiri dan jikalau diamanahkan ia khianat". Ia menambah di dalam riwayat muslim : "Sekalipun dia berpuasa dan bersembahyang dan mengaku dirinya orang-orang Islam". (Muttafaq ‘alaih)
3. Datang ke majlis dalam keadaan berwuduk dan memakai pakaian yang sopan, bersih, suci serta sempurna.
Maksud Hadis,
Dari Abu malik Al-Asy’ari radhiALlahu anhu katanya : "RasululLah SallaLlahu’’Alaihi Wasallam bersabda : "Bersuci itu separuh dari keimanan". ( Muslim)
Sabda Rasullullah SallaLlahu ‘‘Alaihi Wassallam lagi : Maksud Hadis,
"Dari Usman bin Affan radiALlahu katanya : "Rasullullah SallaLlahu ‘‘Alaihi Wassallam bersabda : "Barangsia yang berwuduk lalu memperbaguskan wuduknya (menyempurnakan sesempurna mungkin) makakeluarlah kesalahan-kesalahannya sehingga keluarnya itu sampai dari bawah kuku-kukunya". ( Muslim)
Perkara ini diperlukan supaya :
Senang untuk mendirikan solat, memudahkan apabila memegang Al-Quran dan ayat-ayatnya dalam teks usrah, jauh dari gangguan syaitan, dapat berbincang tanpa dipengaruhinya dan lain-lain kelebihan.
4. Jika ada tidak dapat hadir kerana uzur syar’ie, hendaklah segera diberitahu kepada naqib atau naqibah atau sekurang-kurangnya kepada sahabat lain. Hal ini bertujuan untuk :
Melatih diri bertanggungjawab dalam setiap kerja supaya naqib dan sahabat tidak tertunggu-tunggu serta dapat mengelakkan prasangka yang tidak baik.
5. Datang ke majlis dengan persiapan yang telah diamanahkan setelah kita sanggup untuk menunaikannya. Firman ALlah Subhanahuwa Taa’la :
Maksud Ayat,
"Dan penuhilah perjanjian kerana sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya". (Al-Isra’ : 34)


To be continue...InsyaALLAH!

"..USRAH, BUDAYA PMIUM...
       Ayuh berUSRAH..."

Monday, July 5, 2010

Selamat Datang buat Semua Mahasiswa Baru !

Misi memburu kesarjanaan bermula, jangan sampai dibuai lena terlalu lama. Ayuh bersama Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya.

"PMIUM Bersama Semua"