Wednesday, April 27, 2011

Tiong, AUKU & Mahasiswa

Akhirnya, KEBENARAN membadai penindasan!

Tahniah Tiong Dan Lee Kee!

Pengguguran kes Tiong dan Lee Kee baru-baru ini daripada hukuman oleh mahkamah universiti pada 24 April lalu menunjukkan sesuatu yang amat jelas kepada semua pihak. Mereka berdua tidak bersalah!
Bahkan dituduh dengan melulu tanpa dibenar membuat pembelaan sehingga dinafikan hak untuk membawa saksi sekalipun pihak pendakwa juga menggunakan saksi!

Di sini penulis juga ingin merakamkan jutaan tahniah kepada mereka berdua atas kebenaran tersebut.
Ternyata mereka berdua menjadi mangsa keadaan pihak tertentu yang tidak berpuas hati terutama dalam
pilihanraya kampus 2011 yang telah menceritakan peristiwa kelam di universiti perdana ini.


Penulis juga menyeru kepada mana-mana pihak supaya berhenti daripada mempolitikkan isu ini.
Ini isu keadilan mahasiswa. Keadilan sejagat!

Antara perkara penting juga, jangan dilupakan tarikh 29 April sebagai tarikh ulang tahun seluruh aktivis mahasiswa disergah ke tali gantung yang ternyata sebenarnya teori lemah orientalis bobrok! Maka Auku digubal dan telah dicop mohor oleh YDP Agong pada 29 April 1971!

Sedikit mengenai Auku!

Peningkatan kesedaran berpolitik, impak peristiwa 13 Mei dan pengaruh parti luar ke dalam pertubuhan pelajar membimbangkan kerajaan. Kerajaan berkeputusan mengawal aktiviti politik di kampus. AUKU diwartakan pada 24 Februari 1971 dan diluluskan oleh parlimen pada 17 Mac 1971 dan diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong pada 29 April 1971. Kebangkitan pelajar pada tahun 1974 secara militan dan radikal mendesak kerajaan melakukan pindaan pada AUKU. Pada 8 April 1975, Dr. Mahathir Mohamad mengusulkan agar AUKU dipinda dan ianya dikuatkuasa pada 12 Mei 1975.

Pengarahan kepada AUKU berlaku apabila kerajaan menegaskan pelajar tidak dibenarkan bergabung atau menyokong mana-mana parti politik dan kesatuan sekerja. Penegasan ini merupakan satu kesedaran kerajaan bagi mencegah ketidakstabilan melalui perundangan. Larangan ini termaktub dalam Undang-undang Darurat (kuasa perlu) no. 74, Artikel 150 (2) yang dipinda pada 18 Februari 1971. PMUM membantah perundangan ini, Jai Mohan (Setiausaha Agong) menjelaskan larangan ini akan menjauhkan pelajar dengan rakyat dan menyekat idea pelajar untuk menyumbang ke arah pembangunan. Sokongan pihak pelajar kepada mana-mana pertubuhan politik tidak bermakna pelajar menyokong pertubuhan politik tersebut.

AUKU diusulkan setelah kegagalan Akta Universiti Malaya 1961 yang tidak berkesan mengekang peranan pelajar terutamanya keterlibatan pelajar dalam pilihanraya 1969. Para pimpinan parti oposisi dan pelajar membidas AUKU terutamanya Bahagian III (fasal 15 dan Fasal 16) dan Bahagian V (Seksyen VI Fasal 48, Seksyen VI Fasal 50 dan Seksyen VI Fasal 51). Di Parlimen, Dato Asri meminta AUKU ditangguhkan manakala Lim Kit Siang dan Dr. Tan Chee Khoon mempersoalkan prosedur penubuhan persekutuan pelajar peringkat nasional dan antarabangsa. Kerajaan bersedia melonggar perkara tertentu dalam AUKU tetapi AUKU perlu diteruskan bagi menghalang anasir-anasir subversif dalam gerakan pelajar.

Pada 6 Julai 1971, PBMUM dan PKPM menghantar memorandum kepada kerajaan. Gan Yap Swe, Setiausaha Agung PKPM dan Noordin Razak, Presiden PBMUM yang mewakili 15 pertubuhan pelajar menyatakan AUKU akan membantut pemikiran kritikal dan rasional pelajar. PMUM pula mengadakan forum pada 23 Ogos 1971 dan 9 Disember 1971 disamping sudut pidato pada 4 Disember 1971. Namun, reaksi pelajar tidak berjaya memujuk kerajaan menlonggarkan AUKU.

Pada tahun 1975, kerajaan memugarkan kembali AUKU agar lebih tegas bagi mengekang budaya politik pelajar yang semakin radikal dan revolusioner. Perkara ini terbukti dalam tindakan pelajar sepanjang tahun 1974 terutamanya isu Tasik Utara dan Baling. Menurut Dr. Mahathir Mohamad, AUKU adalah alat mengekang pelajar daripada membuat kacau apabila sesi 1975/76 bermula. Usul agar pindaan AUKU 1975 ditangguh ditolak. Penolakkan penangguhan ini memulakan era baru bagi gerakan pelajar dalam perjuangan mereka.

Tegasnya , Mahasiswa tolak Auku!

Akhirnya, penulis menyeru kepada semua sahabat mahasiswa di seluruh kampus supaya meneruskan
agenda kebangkitan mahasiswa di seluruh kampus dalam Negara. Kita akan terus menjadi lidah rakyat sebagai jurubicara dalam memperjuangkan hak rakyat marhaen yang kini kian terhakis dek kerakusan pihak tertentu demi kepentingan mereka sendiri!

PMIUM optimis dengan tema Bersama Menerajui Perubahan untuk cuba memacu kembali Gerakan Kebangkitan Mahasiswa Malaysia! Tahniah buat seluruh mahasiswa Malaysia!

Saturday, April 23, 2011

Berbaloi-baloi kah e-mel 1 Malaysia?

 Emel percuma untuk rakyat Malaysia, berbaloikah?

Satu lagi siri keputusan terburu-buru yang dibuat oleh kerajaan walaupun Perdana Menteri dengan tegasnya menyebut bahawa dana yang digunakan bagi membangun projek ini  tidak sama sekali menggunakan duit rakyat. Nah, kalau bukan duit rakyat soalnya duit siapa? Kerajaan mana yang sediakan peruntukan tersebut? Perkara ini sebenarnya mengelirukan banyak pihak termasuk kakitangan kerajaan sendiri yang belum tentu mampu mengendalikan projek ini dengan jayanya.

Bagi saya bukan emel percuma sebagai pilihan utama kepada rakyat sekarang. Setahu saya banyak lagi pilihan untuk rakyat untuk menggunakan perkhidmatan emel percuma. Sebagai contoh mudah di bank-bank dan perkhidmatan emel daripada universiti pun percuma. Jadi, tidak perlulah kerajaan mewar-warkan inisiatif tersebut yang bagi saya mempunyai kepentingan lain. Nama emel sahaja pun sudah cukup menggambarkan ianya berkepentingan.

Apa yang lebih utama diusahakan pihak kerajaan adalah memperuntukkan internet ke seluruh negara kalau benar-benar ingin jadikan Malaysia sebagai negara maju. Belum pun internet, nak disediakan emel percuma. Saya sebutkan internet yang lebih utama dek kerana sumber maklumat yang sangat terhad sekarang menyebabkan rakyat terdedah kepada maklumat-maklumat asas yang boleh jadi benar dan boleh jadi salah. Justeru, saya mencadangkan sediakan internet terlebih dahulu. Sebagai contoh,apa yang sedang diusahakan oleh kerajaan negeri Selangor yang sedang menggiat usaha meluaskan jalur internet ke seluruh negeri Selangor.

Bahkan pelaburan untuk projek ini sehingga mencecah RM50 juta! Seperti yang dipetik dari sebuah laporan akhbar mengenai ucapan Perdana Menteri ;

“ He said that the RM50 million investment would have a GNI impact of RM39 million up to 2015 Further the 1 Malaysia email initiative will allow direct and secure communications between Malaysian citizens and government as well as enhance delivery of public services..”

Soalnya,adakah projek ini adil untuk semua rakyat Malaysia walaupun namanya emel 1 Malaysia? Bagaimana para penduduk di kawasan pedalaman yang kawasannya pun belum tentu mempunyai sumber asas seperti bekalan air bersih dan elektrik ! Hak asasi ini yang perlu pihak kerajaan lebih peka dan prihatin. 

Cuma baru-baru ini saya juga dimaklumkan projek pemberian mini komputer riba secara percuma apabila membuat penyambungan internet pun telah dihentikan oleh pihak kerajaan dengan alasan tidak cukup dana dan kehabisan peruntukan sedangkan projek ini sangat besar manfaatnya untuk rakyat. 

Janganlah terlalu ghairah mengejar impian sehingga hak asasi rakyat diabaikan. Ibarat kata Karam Sigh Walia, kera dihutan disusukan anak dirumah mati kelaparan!

Bagi saya juga, pendidikan percuma lebih utama diusaha dan diharmonikan oleh kerajaan berbanding sekadar emel percuma yang katanya bakal mengganti surat-surat rasmi kerajaan kepada rakyat Malaysia dalam usaha berjimat cermat. Bagaimana pula masa depan para posmen di Malaysia? Agaknya mereka pula hilang kerja gara-gara surat sudah bertukar dalam bentuk emel !

Sekadar pandangan!

Muhammad Safwan Bin Anang @ Talib
Mahasiswa Tahun Kedua di Universiti Malaya
Penulis adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya sesi 2011/2012

Sumber  ;  


Tuesday, April 19, 2011

Memimpin Perubahan!



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Salam perkenalan dan salam perjuangan saya ucapkan kepada semua rakan-rakan mahasiswa. Alhamdulillah, saya bersyukur kehadrat Allah Taala kerana masih membenarkan kita meniti usia muda di alam kampus yang mengajar kita pelbagai pengalaman dalam kehidupan. Di alam universiti, mahasiswa juga tidak terlepas daripada memegang amanah kepimpinan dengan harapan status mahasiswa sebagai manusia yang lahir dari kelompok inteligensia serta mampu memberi sumbangan penuh terhadap universiti, masyarakat dan negara.

Menyorot kembali prinsip akar penubuhan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), saya melihat PMIUM mempunyai kelainan daripada persatuan-persatuan yang lain. PMIUM berdiri di atas prinsip-prinsip syariat Islam yang menjulang prinsip keadilan, kebebasan, persamaan hak, keamanan, kesejahteraan dan prinsip yang lainnya yang juga didokong oleh agama lain. Di atas asas ingin menyebarkan idea faham Islam kepada masyarakat kampus, PMIUM menjadi gerakan sepenuh masa dan semakin hari mendapat partisipasi daripada ramai mahasiswa yang bersedia menjadi aktivis sukarelawan PMIUM.

PMIUM bukanlah sekadar persatuan yang hanya bergerak melalui aktiviti dan program tahunan sahaja. Malah PMIUM tampil menjadi jurubicara masyarakat yang berusaha memberi partisipasi dalam semua aspek termasuk ekonomi, politik, institusi sosial, hiburan, kesukanan dan lainnya. PMIUM berusaha untuk menjadi wakil anak muda yang berbekalkan semangat aktivisme dan idealisme perjuangan Islam di samping memegang nilai keintelektualan mahasiswa serta nilai-nilai sejagat.

Dengan usia yang sudah menjangkau 54 tahun, PMIUM menjadi sebuah gerakan yang matang dalam mencorakkan aktivisme. Sejarah membuktikan bahawa PMIUM sudah berjaya menerajui gerakan mahasiswa terutamanya dalam memperjuangkan isu-isu di peringkat kampus dan nasional. Kita patut berbangga menjadi salah seorang pendokong PMIUM yang juga sudah berjaya melahirkan tokoh-tokoh negarawan yang cemerlang dalam bidang masing-masing.

Pertemuan pertama kita kali ini, saya ingin mengisytiharkan bahawa semua mahasiswa Universiti Malaya adalah ahli PMIUM sama ada bagi mereka yang berdaftar atau tidak. Di atas tanggungjawab meneruskan tradisi kecemerlangan dengan melahirkan negarawan, saya mengharapkan partisipasi penuh daripada semua masyarakat kampus agar kita sama-sama menggerakkan PMIUM sebagai wadah aktivisme dan menimba pengalaman selama usia pengajian kita di universiti ini. Semoga dengan usaha kita yang sedikit ini mampu memberi sumbangan dan mencetus perubahan di peringkat masyarakat dan negara.

 
"Bersama Menerajui Perubahan"

Salam hormat daripada saya,

Muhammad Safwan Bin Anang @ Talib

Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)
sesi 2011/2012

Saturday, April 9, 2011

Politik aib: JK Fatwa didesak keluar pendirian rasmi!


PUTRAJAYA, 8 April: Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dituntut mengeluarkan pendirian rasmi berhubung isu politik mendedahkan aib yang kini sedang bermaharajela dalam negara ini.

Tuntutan tersebut dibuat atas dasar Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memiliki kuasa untuk mengadakan Sidang Panel Kajian Syariah bagi membincangkan isu yang dikemukakan oleh masyarakat.
Para pemimpin pelajar dalam tuntutannya menggesa jawatankuasa itu menyatakan pandangan Islam dengan jelas terhadap budaya politik seperti itu yang kini ternyata semakin mencelarukan lagi suasana politik dalam negara.

Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Muhammad Safwan Anang Talib menegaskan, PMIUM amat kesal apabila kesemua pemimpin yang terlibat dalam permainan politik aib itu adalah mereka yang beragama Islam.Menurut beliau, hal itu secara tidak langsung boleh mendatangkan persepsi negatif masyarakat khususnya yang bukan Islam terhadap ajaran Islam.

Katanya, oleh itu, pendirian rasmi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu amat perlu bagi memberikan kefahaman kepada seluruh masyarakat Malaysia bahawa Islam melarang keras budaya itu, di samping menyediakan hukuman tegas bagi sesiapa sahaja yang cuba mengamalkan budaya yang tidak sihat seperti itu.

"Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga perlu menyatakan pendirian rasmi berhubung hukuman yang perlu dikenakan kepada pendedah aib berdasarkan hukum Islam," tegasnya ketika menyerahkan memorandum kepada jawatankuasa itu di pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Putrajaya, hari ini.
Memorandum tersebut diserahkan oleh beliau kepada Penolong Pengarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sekitar jam 11 pagi tadi.

Turut bersama beliau dalam majlis penyerahan memorandum itu 14 pemimpin pelajar lain yang mewakili Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) dan Pro Mahasiswa Nasional (PRO-MN).

Dalam kenyataan bersama PMIUPM dan persatuan-persatuan terbabit, Muhammad Safwan menegaskan, banyak daripada kalangan NGO Islam sudah memberi pandangan masing-masing berhubung si pelaku yang mendedahkan video perlu diheret di bawah undang-undang syariah di bawah peruntukan Qazaf.
"Namun sehingga ke hari ini, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan selaku institusi yang berautoriti belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Semoga memorandum yang diusulkan ini dapat diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak Prof Emeritus Tan Sri Datuk Dr Abdul Shukor Husin Razak, bagi membolehkan semua pihak khususnya rakyat Malaysia dapat kembali merasai suasana demokrasi yang aman, bersih dan adil," katanya.

PMIUM, tegasnya, menolak sebarang budaya politik sama ada yang berlaku di peringkat nasional mahupun dalam universiti yang memaparkan budaya bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh menyebabkan salah faham masyarakat terhadap ajaran Islam.

Selain itu, PMIUM juga menyokong penuh pelancaran Gerakan Mahasiswa Selamatkan Rakyat yang diumumkan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) baru-baru ini dan akan turun ke lapangan hari Ahad ini bagi kempen kesedaran Anti-Politik Aib.

"Malah, penghantaran memorandum itu juga adalah salah satu daripada agenda Gerakan Mahasiswa Selamatkan rakyat yang akan diteruskan lagi dengan beberapa agenda yang telah disusun," tegasnya.
Sementara dalam memorandum tersebut, mereka amat kesal dengan pihak terbabit yang sanggup bertindak sedemikian hina demi mengejar kuasa, biarpun cara tersebut amat bercanggah dengan nilai yang digariskan oleh Islam.

Mengenai isu video seks, mereka tidak melihat isu tersebut sebagai isu tunggal yang perlu diberikan perhatian, tetapi menilai isu yang berlaku adalah hasil daripada pemainan politik yang kotor lantas menghasilkan budaya pemerintahan yang bobrok.

Mereka tidak meragui betapa rosaknya integriti seorang pemimpin yang sanggup mendendangkan politik murah demi menjatuhkan pesaing politik. Sudah pasti sistem pemerintahan negara akan semakin tempang jika pemimpin yang tidak berintegriti seperti itu terus dibenarkan menduduki kerusi pentadbiran.

Sumber berita ; 

MerdekaReview

Harakahdaily

Tuesday, April 5, 2011

Justice For Tiong And Lee Kee!


Seorang mahasiswa, yang digantung pengajian satu semester, ditarik semula biasiswa JPA, dikehendaki membayar semula biasiswa sebanyak RM 20 000, dikenakan denda sebanyak RM 200 oleh pihak universiti di atas tuduhan yang tidak munasabah. Lalu apakah lagi yang diharapkan daripada sebuah universiti?

Saya simpati terhadap nasib yang menimpa Tan Tiong Yih dan Yeong Lee Kee. Sebagai seorang mahasiswa, saya dapat merasai kesusahan, bebanan dan tekanan yang dihadapi mereka. Bagi saya, apalah gunanya tempoh rayuan yang diberikan selama 14 hari jika pihak universiti seolah-olah sudah tekad menghukum mereka sedemikian rupa.

Saya berjumpa sendiri dengan Tiong yang sudah kelihatan kurus dan cengkung. Mana tidaknya, seorang mahasiswa yang lahir daripada keluarga yang sederhana terpaksa menanggung bayaran balik biasiswa dan digantung pengajian hanya di atas tuduhan memalsukan dokumen surat cuti sakit yang digunakan untuk mendapat pengecualian daripada menghadiri bengkel persediaan calon yang diadakan oleh pihak universiti?
Tanpa PEMBELAAN DIRI...!

Hukuman yang dikenakan seolah-olah kedua mereka sudah membuat suatu jenayah berat. Padahal mereka sendiri tiada peluang membela diri ketika prosiding dijalankan. Saya melihat pihak universiti seperti membalas dendam atas sesuatu sehinggakan kuasa budi bicara Naib Canselor yang bertunjangkan belas ihsan tidak dilenturkan sebaik mungkin. Apa yang menghairankan, mereka dituduh atas kesalahan yang kecil bahkan mereka sudah pun tidak mengaku bersalah dan mahu membuat pembelaan diri dengan membawa saksi (saudara Che Rozaihan-pelajar tahun 2 API) yang turut bersama beliau sewaktu hari kejadian. Namun, SEKALI LAGI diNAFIKAN hak untuk membela diri serta menjawab pertuduhan melampau ini.

Lalu apalah gunanya kedua mahasiswa ini mengerahkan tenaga dan masa sehingga mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang sehingga mereka menawarkan diri untuk berbakti kepada masyarakat mahasiswa! (Bertanding pilihanraya kampus).

Apakah tiada langsung simpati dan belas ihsan yang boleh ditawarkan oleh Naib Canselor atas kuasa budi bicara beliau? Jika bebanan ini menimpa anak mereka sendiri, apakah mereka akan terus bertahan tanpa mengalirkan airmata dek kerana tekanan yang sedang dihadapi oleh ibubapa Tiong dan Lee Kee kini?

Sama menuntut keadilan buat mahasiswa!






- penulis merupakan aktivis dan mewakili Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya