Monday, February 28, 2011

Stop Pembantaian Rakyat!



ANAK MUDA MALAYSIA BERSAMA GELOMBANG KEBANGKITAN RAKYAT

Bermula dengan kebangkitan rakyat di Tunisia, merebak ke Mesir dan kini gelombangnya telah sampai ke Libya dan kami di peringkat anak muda semakin yakin bahawa revolusi ini akan terus melanda dan merubah landskap politik dunia hari ini. Seluruh dunia, telah menyaksikan akibat daripada revolusi rakyat yang terlalu hebat ini, kita telah berjaya menjatuhkan rejim kezaliman yang diketuai Ben Ali di Tunisia dan Hosni Mubarak di Mesir sebelum ini. Kini, Muammar Ghadaffi sedang menghitung nasib dirinya yang kini berada dalam genggaman rakyat Libya.

 Hari ini, jelas kita lihat bagaimana kebangkitan rakyat yang semakin berani bertindak ke atas pemimpin-pemimpin yang zalim setelah sekian lama tertindas dan dizalimi oleh mereka. Dalam era yang serba moden ini, masyarakat dunia semakin bijak dalam menilai dan mengambil tindakan terhadap mereka yang sanggup menggadai intergriti diri demi kepentinganhawa nafsu semata-mata. Bahkan, nasib rakyat dan negara dijadikan taruhan bagi mendapatkan keuntungan peribadi dalam memimpin negara. Ini bukanlah cirri-ciri kepimpinan yang dituntut Islam.

Kerana itu, saya semakin yakin dan percaya, kebangkitan rakyat ini merupakan amaran keras daripada masyarakat dunia kepada seluruh pemimpin dunia yang telah menjadikan korupsi dan penindasan sebagai gaya pemerintahan mereka. Ini merupakan simbol kesatuan rakyat demi menjatuhkan kezaliman yang nyata. Saya juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang amat tidak bertanggungjawab daripada rejim Muammar Ghadaffi yang telah membunuh  rakyat beliau tanpa sebarang belas kasihan. Kebangkitan rakyat ini tidak lain hanya demi  menuntut keadilan dan hak-hak mereka yang telah lama dicabuli.

Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, terutamanya anak muda dan mahasiswa agar bersama-sama memberi sokongan penuh kepada saudara-saudara kita yang sedang berusaha menuntut erti keadilan dan hak mereka yang sebenar. Sewajarnya, pemimpin-pemimpin Malaysia berwaspada dan mengambil iktibar terhadap apa yang telah melanda negara-negara tersebut. Hal ini kerana, kita tidak pernah mampu menafikan kehebatan kuasa luar biasa yang ada pada kelompok rakyat dan masyarakat dari dulu sehinggalah ke hari ini. Kita juga mengharapkan ruh dan semangat revolusi ini turut dirasai seluruh warga Malaysia yang mencintai keadilan.

Akhirnya, saya sekali lagi menyatakan, kami anak muda Malaysia menyokong penuh revolusi rakyat demi keadilan dan nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Kita harus bersatu menjatuhkan rejim kezaliman yang sewenang-wenangnya mengambil kesempatan ke atas golongan marhaen.

Sekian,salam kebangkitan anak muda!

Muhammad Safwan Bin Anang @ Talib
Penulis sebagai
Setiausaha Politik Presiden PMIUM 2010/2011

Monday, February 7, 2011

Pergolakan?


MESIR MENUJU SINAR BARU



Hujung Januari lepas, dunia Afrika Utara menjadi gempar dengan kemaraan rakyat Mesir yang menuntut agar Presiden mereka, Hosni Mubarak meletak jawatan dengan segera. Ia ekoran kemarahan rakyat Mesir berhubung pemerintahan Mubarak yang bersifat kuku besi.
Rakyat Mesir dikatakan bangkit selepas melihat kejatuhan Presiden Tunisia, Zine el Abidine sebelum ini. Tambahan pula, Hosni Mubarak dikatakan mahu menjadikan anak sulungnya, Alaa Mubarak sebagai Presiden Mesir sesudah beliau. Ia ternyata menimbulkan kemarahan puluhan ribu rakyat Mesir yang mahu perkara ini tidak berlaku.

Qaradhawi : Angkat kaki atau dihalau rakyat

Susulan itu, pada 2 Februari lalu, Ketua Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Muslim, Sheikh Yusuf al-Qaradawi, meminta Presiden Mesir Hosni Mubarak agar mengangkat kaki secara pilihan sebelum beliau akan pergi secara paksaan. 

Menurut Syeikh Yusuf Al-Qaradawi lagi, Mubarak perlu mengambil pengajaran dari nasib Presiden Tunisia, Zine el Abidine Ben Ali yang akhirnya terpaksa melepas jawatan akibat kemarahan rakyat Tunisia yang kian tidak terkawal. 

Kenyataan Syeikh Yusuf Al-Qardawi itu merupakan satu tamparan buat Mubarak ketika dia dilihat bersungguh hendak mempertahankan pendiriannya mahu meneruskan pemerintahannya sehingga habis tempohnya pada September ini.

Obama : Turun secara ‘baik’

Ketika Mubarak dilihat mempunyai sokongan negara luar, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama 5 Februari lalu membuat kenyatan mengejutkan.
Amerika Syarikat sebelum ini dilihat sekutu kuat Mesir khususnya dibawah pemerintahan Hosni Mubarak meminta agar Mubarak membuat keputusan yang wajar demi rakyat Mesir & Mesir sendiri.

Obama meminta agar Hosni Mubarak mendengar suara rakyat selain menyelesaikan masalah ini dengan keadaan yang aman tanpa pertumpahan darah dari mana-mana pihak.
Ia ternyata membuat Hosni Mubarak menjadi semakin tertekan ketika dia memerlukan sokongan luar khususnya dari sekutu rapatnya itu.

Mesir & Harapan

Sehingga kini, Hosni Mubarak dilihat degil untuk mempertahankan pendiriannya untuk meletak jawatan hanya pada September ini atas alasan tertentu.
Rakyat Mesir dilihat akan terus memperhebatkan desakan demi mengembalikan hak mereka seterusnya memastikan Mesir dalam keadaan lebih baik dari sebelum ini.

Harapan itu kini semakin jelas kelihatan. Saya secara jujurnya merasa kagum dengan usaha rakyat Mesir yang mahukan keadilan ditegakkan dengan sewajarnya.
Seharusnya kekejaman yang telah berlangsung hamper 30 tahun ini dihentikan dengan kadar segera. Saya menyeru kepada Hosni Mubarak agar mendengar suara rakyatnya yang telah dizaliminya selama 30 tahun.

Secebis pandangan dan pemerhatian, usaha Rakyat Mesir ini akan diabadikan dalam sejarah sebagai usaha penggulingan pemerintahan yang zalim. Selain itu, ia akan menjadi sinar baru kepada rakyat Mesir untuk menikmati hidup yang lebih baik pada masa akan datang.