Saturday, October 8, 2011

Bajet P Ramlee buat Mahasiswa


Bajet 2012 kali ini seolah-olah menggambarkan apa yang sebenarnya terkandung dalam pemikiran Perdana Menteri kita sepertimana dialog dalam filem P Ramlee yang masyhur, “ budak-budak tak boleh pegang duit banyak-banyak ”. Justeru, mahasiswa sekali lagi kecewa dengan pembentangan bajet kali ini yang juga seolah-olah tidak langsung memikirkan soal pembinaan generasi akan datang. Boleh jadi kerajaan sekarang beranggapan mahasiswa tidak boleh terlalu selesa, nanti mereka malas belajar.

Cadangan peringkat kita mahasiswa sebelum ini antaranya seperti pemberian pinjaman Ptptn mengikut zon berdasarkan kenaikan kos sara hidup mutakhir ini, namun ia ibarat mencurah air ke daun keladi. Belum lagi kita cadang supaya Ptptn diubah menjadi biasiswa! Lahirlah pelacur daripada kalangan mahasiswi yang rata-rata tidak sanggup untuk berhadapan dengan krisis kewangan walaupun telah menuntut ke menara gading. Boleh jadi ianya bukan menara gading lagi, tapi menara taring yang misinya membunuh masa depan mahasiswa dan belia remaja! Banyak lagi berita-berita di dada akhbar yang mengejutkan kita, ada yang jadi keldai dadah kerana bayarannya sangat lumayan dan tidak kurang ada yang sanggup menjadi pencuri kecil-kecilan di kampus!

Mana tidaknya, sebaik sahaja mahasiswa keluar bergraduasi mereka sudah punyai belenggu hutang kiri dan kanan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. Mahasiswa juga dikenali sebagai OKU iaitu orang kuat utang!

Pendirian di peringkat mahasiswa adalah untuk pihak kerajaan mempertimbangkan soal yuran pengajian di universiti. Sebagai contoh mudah, yuran internet dan ICT di sebuah IPTA sehingga mencecah RM100 untuk satu semester. Dalam masa sama juga dikenakan yuran perpustakaan RM100. Tidak kurang lagi bas universiti pun dikenakan kos perkhidmatan. Bas kilang pun percuma,ini pula bas universiti!

Boleh jadi ia jumlah yang tidak besar di mata para Menteri dan mereka yang menaiki kereta import yang mewah, namun ia adalah beban di peringkat kami mahasiswa! Ada yang ikat perut dek kerana kos sara hidup benar-benar menjerut kehidupan mahasiswa terutama mereka yang berada di lokaliti Lembah Klang.

Kenapa tidak kerajaan memperuntukkan sejumlah bajet bagi menampung kos kemudahan internet dan ICT di IPT-IPT ini? Bukankah kerajaan sebelum ini beria-ria sangat mahu memperkenalkan emel percuma kepada seluruh rakyat Malaysia? Mana mahu guna emel tanpa internet! Nah, itulah persoalannya. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga pula. Malang sungguh mahasiswa di Malaysia! Bukan tidak bersyukur dengan kerajaan yang memberikan baucer RM200 untuk pembelian buku melalui syarikat kroni ini, tetapi tidak lagi percaya. Jom ubah kerajaan sekarang!


Penulis adalah ;

MUHAMMAD SAFWAN BIN ANANG @ TALIB
PRESIDEN
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA