Saturday, July 23, 2011

Kebangkitan Golongan Intelektual Muda

Memacu Kebangkitan!

Saya merasakan bahawa kita perlu memberikan konotasi yang kritikal terhadap istilah golongan intelektual muda agar setanding dengan nilai dan fungsi golongan ini terhadap masyarakat.  Saya tidak mahu menyempitkan ruang lingkup perbincangan dengan hanya meletakkan latar belakang pengajian sama ada formal atau tidak formal sebagai tanda aras golongan ini.

Pada pandangan saya, apa yang perlu diberi perhatian ialah sejauhmana mereka yang mempunyai latar belakang pengajian ini memberi kesan terhadap masyarakat dan negara.  Raja Ahmad Aminullah dalam bukunya Minda Tertawan meletakkan lima ciri penting golongan intelektual, termasuklah memiliki pengetahuan tinggi, mempunyai keupayaan untuk menelaah permasalahan masyarakatnya, mampu mengemukakan saranan-saranan untuk pembaikan, mempunyai komitmen dan iltizam yang tinggi terhadap masyarakat dan mempunyai keupayaan serta keberanian untuk menyampaikan hujah dan nasihat-nasihat kepada penguasa!


Konotasi yang merangkumi ciri yang kritikal ini sepatutnya menyedarkan mereka yang menganggap diri sebagai golongan intelektual mengoreksi semula diri.  Mereka yang mengangkat diri sebagai golongan intelektual seharusnya malu jika sekiranya ketinggian pendidikan formal yang sudah mereka capai tidak setanding dengan fungsi mereka kepada masyarakat dan negara.

Lebih memalukan apabila para intelektual sanggup menjual nilai harga intelektual itu demi kepentingan peribadi atau kepentingan periuk nasi.  Kita tidak dapat menafikan fenomena para intelektual "plastik" ini berlaku dalam negara kita.  Para intelektual "plastik" lebih sanggup melihat kehancuran masyarakat dan negara demi memastikan survival mereka terjaga.

Walau bagaimanapun akhir-akhir ini kita sudah mendengar suara-suara keramat kelompok inteligensia yang sudah berani menyampaikan nasihat dan kritikan kepada penguasa.  Kebangkitan golongan intelektual ini amat mengujakan, bermula dengan tampilnya Sasterawan Negara A. Samad Said (gambar kanan), diikuti oleh para sasterawan yang lain.  Tidak ketinggalan juga para agamawan muda, para doktor, para peguam, para pensyarah, penjawat kakitangan awam dan lain-lain kelompok yang sedar dan bangkit menentang kezaliman.

Femonena kebangkitan ini mengingatkan kita kepada sejarah lampau, sejarah perjuangan kelompok inteligensia ini dalam menentang penjajahan.  Sumbangan nama-nama besar seperti Burhanuddin Helmi, Syed Shaykh Al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Abu Bakar Baqir dan tokoh-tokoh yang lain memberi inspirasi kepada perjuangan golongan intelektual yang berprinsip.
Perjuangan mereka adalah perjuangan yang mandiri.  Mereka bebas menyatakan pendirian, kritikan atau saranan kepada para penguasa tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.  Mereka juga jauh sekali untuk memperbaiki saranan dan kritikan mereka sesuai dengan kehendak dan citarasa para penguasa.

Kini sudah tiba masanya perjuangan yang dipelopori oleh orang terdahulu kita sambut semula.  Seluruh sosok intelektual khususnya mahasiswa dalam negara ini perlu sedar bahawa tanggungjawab para intelektual ialah menyatakan kebenaran dan keadilan setanding dengan nilai keilmuan yang mereka ada.  Golongan intelektual muda kini tidak terkecuali dalam usaha untuk terus memberi pencerahan kepada masyarakat demi menyaksikan tanahair yang kita cintai ini tertegak di atas norma-norma keadilan dan kebenaran.

Salam kebangkitan anak muda! Road to BERSIH 3.0!

*Muhammad Safwan b. Anang @ Talib selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)

Sumber ; http://www.merdekareview.com/bm/news